Kerjasama PAS dalam BA

Sejak dari Pilihanraya Umum Pertama 1959, PAS telah mengadakan pakatan dengan parti pembangkang lain dalam menghadapi Umno (ketika itu dalam gabungan PERIKATAN). Dan dalam pilihan raya-pilihan raya berikutnya kerjasama ataupun persefahaman dengan pelbagai parti telah di adakan. Hakikatnya kehadiran masyarakat majmuk di Malaysia tidak memungkinkan PAS untuk menyertai pilihan raya secara bersendirian.

Tahaluf Siasi atau perjanjian persefahaman dengan parti-parti lain ini pada dasarnya diizinkan oleh syariat. Dalam sebuah Hadis Rasulullah saw dinyatakan:

Daripada Talhah bin Abdullah bin Auf bahawa Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya aku telah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jad’an satu pakatan yang aku amat suka kepadanya seperti sayang kepada unta merah (barang yang sangat berharga), kalau aku diajak kepadanya di zaman silam niscaya aku menyahutnya.”
(Riwayat Ibnu Ishaq)

Sejak PRU ke 10 tahun 1999, PAS telah berpakat bersama PKR (dan DAP yang keluar selepas PRU tersebut) di dalam sebuah gabungan dikenali BA. Dan insyallah pakatan BA ini akan kita teruskan bagi menghadapi PRU ke 12 nanti. BA akan memastikan yang BN akan ditentang satu lawan satu disemua kerusi Parlimen dan DUN yang dipertandingkan.

Kemampuan kita untuk membuktikan pakatan pembangkang yang berpadu ini sangat penting bagi meyakinkan masyarakat darihal kesediaan kita untuk mengambil-alih kepimpinan negeri dan Negara dari BN. Oleh itu seluruh jentera PAS perlu menghormati keputusan yang diambil bersama dalam pakatan BA ini dan kita akan hadapi PRU ke 12 dengan memusatkan seluruh kekuatan kita terhadap musuh bersama yang satu dan tidak sebaliknya menyerang sesama kita.

Sekiranya calon yang diputuskan bertanding disatu-satu kawasan itu adalah calon selain PAS, maka jentera PAS wajar bekerja seolah-olah yang bertanding itu adalah calon kita sendiri. Ini sebagaimana kita juga mengharapkan ditempat dimana calon kita bertanding maka layanan yang sama diberikan oleh pihak yang bersekutu dengan kita itu.

untuk pembacaan lanjut:
layari- http://nasharudin-matisa.net/