UJIAN

Ada yang mengatakan ujian adalah kesusahan pada tubuh badan
kesusahan pada jiwa
apa untungnya Allah menyusahkan jasad dan jiwa
bukankah ia tidak menambahkan keagungan dan kemuliaan-Nya
apalagi Dia Maha Mengasihani Maha Sopan-santun.
Pandanglah ujian dengan hatimu
ujian adalah perbuatan Tuhanmu
bukan untuk menghancurkan tetapi untuk meneguhkanmu
bila kamu memperolehi keteguhan baharu kamu menjadi pilihan
bila sudah lulus dan dipilih
Dia bangga memperkenalkan kamu kepada makhluk-Nya
keteguhan kamu melintasi ujian
menjadi dalil pilihan-Nya adalah tepat
inilah keadilan-Nya.

Ujian ditujukan kepada rohani bukan kepada jasad atau jiwa
tujuannya untuk mengukur tauhid
bukan sekadar untuk kesabaran
apakah nilai sabar tanpa tauhid
bukankah sabar juga bersama si kafir.

Ujian yang diterima dengan iman meneguhkan tauhid
menambahkan kekuatan pandangan hati
tidak berkelip memandang kepada Tuhan
sehingga kepedihan ujian menjadi kemanisan.

Ujian adalah pentas sandiwara
mempamerkan kebijaksanaan Tuan Pengarah
bila engkau diberi watak menderita
hingga berjaya membuat penonton menangis
ketahuilah
engkau adalah pelakun penting
diasuh untuk menjadi bintang
bakal menerima ganjaran lumayan.

Apabila engkau menjadi pelakun
apa bezanya watak gembira dengan watak duka
skrip di tangan Tuan Pengarah.

Saya terkenang zaman saya berprogram bersama beberapa orang sahabat. kami di taklifkan untuk melakarkan graf impian sebagai seorang mujahidah.

Ramai dikalangan kawan-kawan saya yang meletakkan graf perjuangan mereka akan sedikit menurun setelah berumahtangga kecuali kumpulan saya. Alasannya nak tumpu untuk menjaga anak. Al-maklumlah anak-anak masih kecil lagi masa tu.

Beberapa orang sahabat yang sudah masak dengan perangai saya menunjukkan memek muka kurang puas hati bila saya asyik dengan mengkritik graf mereka. Sungguh saya benar-benar rindu saat itu. Rindu untuk melihat wajah comel protes sahabat-sahabat saya.

"Kenapa perlu turunkan lakaran graf itu selepas berumahtangga?" Soalan saya yang pertama.

Pada saya ya, memang tidak dapat kita nafikan ramai muslimat yang sedikit menurun penglibatan mereka selepas berumahtangga. Tapi bilamana dari awal-awal lagi kita telah melakarkan graf impian kita sebegitu bermakna kita memberitahu umum itu lah kita pada masa akan datang.

"Bukankah lebih baik kita merancang sekurang-kurang kita akan 'maintain' pada masa tu?" saya menambah.

"Masalahnya, memang realiti kita tengok ramai muslimat begitu". Seorang muslimat membangkang cadangan saya.

Realiti, aduh sampai bila kita harus mengikut arus? Sebagai mujahidah akhir zaman, kadangkala kita perlu menongkah arus. Memang kadangkala ada muslimat yang berdepan cabaran mendapat suami yang tidak faham perjuangan Islam. Tapi, itu bukan alasan utama kerana sebagai perempuan kita di berikan peluang untuk buat ta'liq sebelum mendirikan rumahtangga. Lihat 'Hari-hari dalam hidupku' karangan al-marhumah Zainab al-Ghazali.

"Amboi, berkobarnya awak cakap ye. Jangan hanya pandai cakap je, saya nak tengok awak jadi senator ganti ketua muslimat yang ada sekarang ni kat depan satu hari nanti." Sinis seorang teman saya suatu hari.

Wah, tercabar juga saya. InsyaAllah, untuk keizahan masa depan Islam saya akan cuba untuk buat yang terbaik dan saya mengajak seluruh sahabat-sahabat saya untuk turut punya keazaman sebegitu. Amin ya Allah!


MUSLIMAT DAN TARBIAHNYA

http://geraktarbiyah.blogspot.com/

Secara fizikalnya, batinnya, hatinya, perasaannya, tutur katanya, sentuhannya amat berbeza sama sekali dengan kaum muslimin. Selalu benar muslimah itu dikatakan sebagai sayap kiri perjuangan muslimin ataupun berdiri hebatnya seorang wira ada muslimah di sebaliknya.. Jika kena dengan cara didiknya, betul niatnya, dan beragama pula maka tenanglah dunia ini dan damailah hidup ini kerana di sebalik kejadian seorang wanita telah tersurat yang dia merupakan fitnah kepada dunia..Songsang langkahnya maka ramailah yang terjerat, salah niatnya maka ramailah yang merana..

Lembut bukan bererti lemah
….tangan yang lembut menghayun buaian boleh menggoncang dunia…..

Barangkali muslimat gerakan kampus ( yang belum mempunyai anak sendiri ) belum lagi merasakan bagaimana yang dimaksudkan atau apa keadaannya daripada menghayun buaian kepada menggoncang dunia..Menghayun buaian di sini bukanlah diertikan sebagai ‘post’ babysitter yang mendodoikan si kecil agar segera melelapkan matanya, bukan juga menyusukan atau memberikan si kecil makan tetapi melebihi daripada itu.

Dia dilihat sopan menghayunkan langkah, kadang-kadang sekali-sekala melihat mentari luar. Dia adalah seorang suri dan juga seorang ibu bukan sekadar kepada anak-anak tetapi juga seorang pendidik kepada pemimpin dunia! (Isk, ada kalanya, jangan dilihat zahirnya sahaja, kadang-kadang muslimat yang tegas dan garang yang itulah sebenarnya muslimah yang halus dan lembut…lepas kahwin baru tahu…..! )

1.Didikan untuk muslimah

Muslimat merupakan sayap kiri perjuangan…dia mesti dididik ke arah itu. Tatkala kawan-kawan wanita yang lain berperap di dalam bilik mengulangkaji pelajaran, atau juga ketika mereka selalu pulang ke rumah untuk menjalankan amanah kepada keluarga, atau juga ketika mereka menjadi puteri lilin yang sangat menjaga penampilan diri daripada habuk kotoron,pancaran matahari dan sebagainya, tetapi ini jauh berbeza dengan muslimat kita yang betul-betul berjuang.

Mereka menguis jauh keinginan itu, mereka memendam rasa dalam perkara itu, mereka tidak mengutamakan perkara lain melainkan rasa kuat ingin berjuang dan bersusah payah dan berpenat lelah di belakang perjuangan muslimin. Namun dalam masa yang sama mereka tetap mencari ruang seberapa yang ada untuk urusan itu, bukan kosong semata-mata…

…” ana tak kisah enti, berjuang macam mana pun,di posisi manapun, jadi menyapu sampah pun..kalau tugas menyapu sampah itu boleh menjadi asbab kemenangan Islam ana rela melakukannya…” bisik seorang sahabat muslimat suatu ketika…

Ainul mardhiyyah..seharum kuntuman di taman syurga…
Bisakah dicari di dunia ini sepertinya lagi…?

Sahabat- sahabat muslimat sekalian,

Tahu kisah Ummu ‘Imarah yang mulia itu?Ummu ‘Imarah (Nusaibah) zaman sekarang mungkin anda sekalianlah…Beliau merupakan pejuang muslimah sulung dalam Islam…
Imam Al-Zahabi pernah menyebut : “ Ummu ‘Imarah yang mulia adalah seorang mujahidah, ikut serta menyaksikan Bait’at Al-‘Aqabah, Perang Uhud, Perang Al-Hudaibiyyah, Perang Hunain dan Perang Yamamah.

Aduhai muslimat, nak cakap hebatnya Ummu ‘Imarah ni beliau bukan sahaja memberikan minuman dan merawat pejuang muslimin yang haus dan yang tercedera ketika perang Uhud tetapi beliau berani menghunus pedang sambil memakai perisai perang untuk menjadi back up tentera muslimin yang ketika itu ramai yang telah syahid dan lari setelah diasak tentera musuh..Ummu ‘Imarah juga telah melindungi nabi kita, Rasulullah SAW daripada pihak musuh sepanjang keadaan genting itu sehinggakan Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud “ Aku tidak menoleh ke kiri dan ke kanan kecuali aku melihat Ummu ‘Imarah berperang di hadapanku” … MasyaAllah..Subhanallah… Segala puji hanya bagi Allah…


Hebat berperang memang Ummu ‘Imarah hebat tetapi beliau juga berusaha untuk mengusai ilmu agama kerana antara ahli ilmu dan ahli ibadah ternyata ahli ilmu lebih ditakuti oleh syaitan kerana mereka bukan golongan yang mudah dihasuti… Mereka beribadah atas dasar ilmu dan kefahaman….Yea, Ummu ‘Imarah juga telah menunjukkan selain mantap di medan peperangan tetapi beliau juga memahami Al-Quran setanding hebatnya beliau ketika berperang..Seperti yang diriwayatkan dalam sebuah kitab yang berjudul ‘nisa’ min ‘asadul nubuwwah hasil tulisan Abu Azka Al-Madani dan Harun Ar-Rasyid Hj Tuskan yang menceritakan tentang peristiwa ini. Suatu ketika Ummu ‘Imarah datang menghadap Rasulullah SAW sambil berkata …’Ya Rasulullah! Aku tidak pernah melihat kaum wanita disebut di dalam Al-Quran sebagaimana halnya kaum lelaki’… Maka turunlah firman ALLAH SWT yang bermaksud : ‘Sesungguhnya lelaki muslimin dan perempuan-perempuan muslimah, lelaki yang mukmin dan perempuan-perempuan yang mukminah…’(Surah Al-Ahzab : 35 ).

( Mungkin kita perlu katakan kepada muslimat kita yang bertungkus lumus dalam gerak kerja Islam di kampus sebagai muslimah obor perjuangan…ini sebagai ganti kepada ayat tangan yang menghayun buaian itu tadi. Namun pepatah menghayun tadi perlu dipegang sekuat-kuatnya oleh muslimat kerana kita perlu ‘menghayun buaian’ juga suatu hari nanti…InsyaAllah… )

Persediaan
Bonda kepada Imam Al-Ghazaali telah melakukan persediaan sekian tahunnya sebelum melahirkan seorang anak yang menjadi cahaya dalam Islam…itu tidak termasuk lagi amalan sepanjang mengandung yang menjadi bayangan kepada anak yang bakal dilahirkan nanti.

Duhai muslimah…. Untuk mendapatkan generasi yang memahami agama yang sebenarnya dan menghafaz kalamullah ini juga datangnya daripada ibu yang mengandungkannya. Jika bonda para ilmuan Islam dahulu telah melakukan persediaan melebihi hampir 20 tahun sebelum melahirkan seorang anak cuba kita hitung dengan umur kita sekarang.Sekiranya anda sudah berumur 22 tahun adakah anda patut bersalin ketika berumur 42 tahun?atau sepatutnya anda sudah melakukan persediaan itu seawal usia kanak-kanak yang mumayyiz lagi….? Kita renungkan bersama.

Wanita yang Faqih dan Al-Hafizah

Antara wanita yang mulia yang banyak menghafaz hadith NABI SAW ialah Ummu ‘Athiah. Hafalannya cukup bagus dan beliau sering berusaha untuk mendalami ilmu agama. Imam Nawawi telah berkata bahawa telah diriwayatkan dari Ummu ‘Athiah hadith yang diriwayatkannya daripada Rasulullah SAW adalah sebanyak 40 hadith. Enam hadith yang sama telah diriwayatkan bersama Bukhari dan Muslim dalam buku mereka. Satu hadith yang tidak sama masing-masing diriwayatkan mereka berdua 1

Ayuh akhowat sekalian… tidak pernah mendapat pentarbiyyah sekolah agama atau latar belakang keluarga yang bukan islamik bukan sebab untuk kalian dan diri ini daripada tidak faqih tentang ilmu agama..dan usahlah sekali-sekali perkara ini menjadikan kita bersifat rendah diri untuk bersuara atau membidas pendapat orang lain sekiranya perlu. Malu? ye. Mungkin betul tetapi jika niat kalian untuk mencari redha Sang Pencipta pasti akan terpecahlah tembok itu.

Sehari selembar benang…lama-lama jadi kain..Sehari hafaz satu ayat lama-lama lengkap satu surah..InsyaALLAH boleh.

Untuk mendalami ilmu agama bagi menyempurnakan tarbiyyah fardhi sangat-sangat dituntut dalam Islam.Walaupun ia jatuh kepada sunat muakkad mengikut setengah pendapat, namun mencari ilmu itu wajib. Sebelum kita pandai sembahyang sudah tentu kita menuntut ilmu tentangnya.Sebelum kita pandai buat blog,tentu kita belajar mengenainya…bahkan sebelum kita ke Petaling Jaya dari arah Serdang tentu menuntut kita bertanyakan orang arah tujunya walaupun papan tanda jelas ‘berterbangan’ dipandangan mata. Ilmu ini banyak seperti ilmu akademik yang antara contohnya fizik,kimia,biologi, matematik dan sebagainya atau ilmu khusus bidang agama yang menjurus kepada seluruh kehidupan ini.. Tetapi,bukanlah niat untuk menyatakan ilmu ini sekular atau terasing antara satu sama lain

Apa salahnya mencari ilmu tanpa henti.Datang ke majlis ilmu sebanyak mungkin dan sesempat mungkin.Fitnah jika keluar rumah sudah tidak berlaku pada zaman sekarang bahkan ramai muslimat keluar rumah untuk melaksanakan kewajiban dan memenuhi tuntutan. Mereka dilihat keluar untuk bekerja, mnuntut ilmu, ke pasar, rumah saudara bahkan ke masjid atau surau secara berjemaah. Di masjid, surau, fakulti, pondok, usrah, blog atau buku.. Ye,buku. Pelbagaikanlah buku dan sumber rujukan. Sebolehnya bukan kita sekadar membaca buku tetapi menelaah..bukan sekadar memahami tetapi menjiwai..dan bukan sekadar mengingati bait-baitnya yang indah tetapi mengupas. Jika dapat, mintalah para murobbi mengupasnya..

Terkenang pula kepada arwah kak Shafa yang kuat menghafaz Al-Quran…..

Penutup

Lembut tuturmu tegas membela agama..
Gagah berani tiada tandingnya..
Mulia akhlakmu didikan rumah kenabian…
Menyintainya adalah suatu ‘ibadah..
Puteri kesayangan Rasulullah …


Muslimah gerakan hari ini bukan tak hebat, bukan tak kuat, bukan tak mantap tetapi kita tak cukup menguatkan antara satu sama lain lagi... Ramai antara kalian yang tinggi mujahadahnya, unggul dalam bait al-muslimnya, maju mendepani masalah ummahnya, tinggi pengorbanannya..Namun berapa ramai yang mampu bertahan dan istiqomah sehingga ke hujung nyawa. Berapa ramai pula yang mampu melahirkan dan mendidik generasi pembela agama? Untuk melahirkan muslimah yang tegar tarbiyyah, kuat kakinya dalam perjuangan, tabahnya melalui saat-saat kesunyian dan cekal memikul amanah sayap kiri perjuangan sedangkan kita mempunytai had – hadnya, batasannya dan terciptanya kita daripada tulang rusuk kiri kaum adam memerlukan muhasabah dan persediaan yang cukup rapi dan perbincangan yang matang. Memang wanita dikenali sebagai golongan yang halus hatinya, teliti pemikirannya dan sarat dengan emosi malah cepat mengalir air matanya tatkala berhadapan situasi yang menyentuh hati tetapi katakanlah kepada diri yang kita akan banyak menangis di tikar sejadah…tak mudah untuk tersungkur lemah tetapi cepat sujud mengharap kekuatan hanya daripada-NYA…

Demi Allah Yang Maha Esa,
Sesungguhnya tidak disediakan jalan yang mudah
untuk menuju cinta-Mu,
Menitis air mata, tatkala merindu,
Menitis air mata, tatkala semakin menjauh,
Tetapi janji Allah tetap segar dan mekar
tanpa pengkhianatan,
Kerana ku tetap yakini,
Allah menyatakan "Wajiblah cintaku kepada oran-orang yang berkasih sayang kepada-Ku"


Nota kaki ;
1 Tahzab Al-Asma wal-Lughat(2/364)

OLEH : NURUL MUNAWWIRAH

Saya dijemput untuk menjadi pewacana terhadap tajuk gerakan mahasiswi Islam perlu perubahan. Pada mulanya, pelbagai persoalan bermain di minda saya apabila diajukan soalan sedemikian. Perubahan?

Ada yang berpandangan gerakan wanita Islam perlu berubah selaras kehendak massa, ada yang kata perlu lebih menonjol dan ada juga yang kata perlu lebih bermasyarakat.Di mana silapnya apabila kita melihat gerakan muslimah kelihatan lebih lesu daripada gerakan feminisme?

Saya teringat pada kata-kata saudara Syeikh Umar dalam satu forum. Katanya, beliau amat kagum dengan Sisters In Islam, namun bukan atas perkara dasar yang dibawa mereka yakni kesaksamaan gender tapi atas dasar sikap dan keberanian yang mereka miliki dalam mempertahankan pendirian dan fahaman mereka. Katanya lagi, seharusnya wanita Islam kini harus mula lantang kembali mewarnai massa dengan kefahaman sebenar Islam mengenai isu-isu wanita.

Kesilapan terbesar gerakan wanita Islam sekarang adalah salah faham terhadap konsep malu. Ya, wanita dan malu sememangnya tidak dapat dipisahkan. Namun biarlah bertempat. Jika ingin menyatakan pendirian dalam mesyuarat ataupun sewaktu sesi brainstorming pun malu-malu alah, berat kes ni. Apabila kita membicarakan soal ummah, kita harus menjadi serius mengembleng tenaga jihad berfikir dan sepatutnya semangat jihad itu bisa membuahkan pula keberanian kepada kemahuan untuk bercakap dan bertindak. Entah di mana tarbiyyah kita, sesudah digelar ahli gerakan, masih ramai yang terpotret menjadi tawaddhu’ tak kena tempat. Ini menjadi masalah besar sekiranya kita menanam keinginan untuk mendidik masyarakat.Bagaimana mereka hendak yakin pada kita sekiranya kita sendiri tidak mempunyai keyakinan kepada diri sendiri?

Kedua, ahli gerakan muslimah perlu lebih matang apabila bermasyarakat. Pernah saya bertembung dengan beberapa kejadian di majlis keramaian, terdapat segelintir ahli gerakan muslimah tidak pandai membawa diri. Seharusnya, apabila ditarbiyyah dengan kefahaman Islam, kita sepatutnya mengepalai adab-adab yang diajar oleh Islam selaku anak gadis muslim apabila berada dalam majlis yang bersama orang tua. Sukar senyum dan agak lambat bergerak turun ke dapur mahupun ringan-ringankan tangan untuk membantu apa yang patut, walau nampak remeh, sebenarnya memberi impak besar pada orang ramai untuk menilai akhlak kita.

Apabila bertembung dengan pelbagai jenis orang dalam sesebuah majlis, tidak kira yang tua atau muda, yang kelihatan baik atau sebaliknya, kta seharusnya terlebih dahulu memulakan salam dan merendahkan diri menyapa mesra. Apabila berbual dengan yang lebih tua, janganlah kelihatan seperti kita mahu menang dalam setiap perbualan.

Ketiga, ahli gerakan muslimah perlu lebih aktif, pantas dan kreatif dalam bertindak. Seandainya dilihat kaum lelaki kelihatan semakin lesu bergerak, sebagai tiang kepada gerakan, orang perempuan perlu bangkit memberikan satu tekanan, simbolik kepada provokasi untuk membantu kaum lelaki kembali sedar akan tanggungjawab mereka. Isu-isu wanita yang berkaitan dengan hak dan penindasan yang seringkali dijaja oleh golongan feminisme haruslah punya penyelesaian yang disediakan oleh gerakan wanita Islam.Gerakan wanita Islam sekarang haruslah lebih banyak cuba menerobosi media untuk kembali menjuarai pendominasian cara masyarakat umum berfikir. Golongan feminisme sangat berani dan lantang dalam mencanangkan pendirian mereka kerana mereka lihat tidak ada gerakan wanita lain yang berani menonjol seperti mereka dalam memperjuangkan isu wanita.

Keempat, ahli gerakan muslimah perlu lebih banyak membaca dan menambah pengetahuan mengenai isu semasa. Hal-hal semasa politik perlulah dititikberatkan dalam kefahaman seharian. Ibu Imam A-Syafie telah bersedia menyiapkan diri sebelum Imam As-Syafie lahir lagi untuk membentuk keperibadian mujahid ulung terhadap beliau.Begitu juga dengan ibu-ibu para pahlawan lain. Seharusnya, kita harus sedar peranan kita dalam melahirkan generasi pejuang masa hadapan. Jika kita mahukan anak-anak kita mahupun seluruh keturunan kita menjadi mujahid dan mujahidah ulung dalam perjuangan, kita harus terlebih dahulu memantapkan diri. Seorang wanita yang mampu membaca politik dan mempunyai pengetahuan yang bagus insyaAllah akan mampu melahirkan anak yang mampu mempunyai dayajuang politik dan punya kefaqihan agama yang tinggi. Perhatikan mengapa ada kata pepatah berbunyi, tangan yang menghayun buaian, bisa menggoncang dunia.

Kelima, walaupun, ahli gerakan telah ditanamkan dengan jatidiri sebagai aktivis dakwah, namun jangan sesekali kita tinggalkan tugas asasi kita sebagai seorang wanita. Kebolehan memasak, mengurus rumahtangga juga sangat penting diambilkira sebagai didikan utama terhadap setiap ahli gerakan wanita. Semuanya perlu persediaan dari awal agar apabila bergerak kerja dalam lapangan sesudah berumahtangga tidak menimbulkan masalah. Perlu diingat, tidak guna gerak kerja dakwah masyarakat sangat aktif, sekiranya kita tidak pandai menguruskan keluarga sendiri di rumah. Cara bekerja ahli gerakan dakwah muslimah yang belum berkahwin dan sudah adalah sangat berbeza kerana keutamaan sudah bertambah. Maka di sini, teknik pengurusan masa dan pembahagian tanggungjawab adalah penting untuk di pelajari.

Wanita memainkan peranan yang amat penting dalam sesebuah organisasi apatah lagi gerakan. Ahli gerakan muslimah harus kembali merebranding imej agar menjadi ikon kepada semua wanita tidak kira bangsa, agama dan keturunan. Yang penting , wanita Islam menerajui perjuangan isu hak wanita selaras dengan kehendak syara’. Apapun, tidak dilupakan juga, muslimin juga memainkan peranan penting dalam membimbing wanita dalam memperjuangkan isu mereka.

Kemungkinan besar, isu feminisme tidak akan timbul seandainya semua lelaki benar-benar menghayati ajaran Islam.Adalah satu penipuan seandainya mengatakan tidak langsung berlaku penindasan terhadap hak wanita dalam kes-kes tertentu. Sesetengah lelaki yang berfahaman kolot dan tidak melihat wanita sebagai anugerah Tuhan, sewenangnya memanipulasi kelemahan wanita demi keuntungan mereka. Maka, tidak wajar sama sekali jika dikatakan tidak perlu ada perjuangan terhadap isu-isu wanita. Isu perjuangan wanita bermula di Malaysia dalam tahun 1962 di mana tika itu, Kesatuan Guru-Guru perempuan dengan kerjasama Badan Wanita Kebangsaan mengadakan sebuah konvesyen menuntut gaji sama rata dengan pekerja lelaki. Waktu itu, walaupun wanita bekerja sama masa malah lebih daripada lelaki, gaji mereka tetap rendah. Malah lebih malang lagi, ada di antara sector yang tidak memberikan wang pencen pada bekas pekerja wanita. Ini menyulitkan wanita terutama yang bergelar ibu tunggal. Oleh, kesedaran kaum lelaki dalam menjaga kaum wanita juga berupaya membantu menangani masalah feminisme.

Fitnah banyak dimomokkan oleh para musuh Islam. Muslimah Islam kolot, ditindas dan dinafikan hak bersuara. Justeru, wanita Islam itu sendiri perlu bangkit menjernihkan kekotoran khabar angin tersebut. Mahasiswi Islam harus mula bertindak dan buat persediaan.

Persoalannya, bila kita mahu mulakan?

Layari:
http://mawarmunawwarah.blogspot.com/

my site

Islamic Calendar

Islamic Clock

Profail Penulis

Profail Penulis
No. 201, Blok E2, Seksyen 2, Wangsa Maju, Setapak, Kuala Lumpur, Malaysia.

Suamiku kekasihku, Kunci syurgaku.

Suamiku kekasihku, Kunci syurgaku.

Pengikut

Ayahanda, bonda dikau sumber inspirasiku.

Ayahanda, bonda dikau sumber inspirasiku.

Powered By Blogger

About this blog

“Barangsiapa disibukkan dengan mengkaji Al-Qur’an dan menyebut nama-Ku, sehingga tidak sempat meminta kepada-KU, maka Aku berikan kepadanya sebiak-baik pemberian yang Aku berikan kepada orang-orang yang meminta. Dan keutamaan kalam Allah atas perkataan lainnyaadalah seperti, keutamaan Allah atas makhluk-Nya.

(Riwayat Tirmidzi dan katanya: hadits hasan)