KEMENANGAN KJ
"Khairy ada aura Anwar". demikian tajuk yang menjadi pilihan msomelayu.com.

KEMENANGAN Khairy Jamaluddin sebagai ketua pemuda Umno yang baru tepat dan sekaligus menunjukkan kebijaksanaan perwakilan pemuda membuat pilihan mereka. Kemenangan Khairy menjelaskan pemuda memilih mengikut citarasa mereka dan tidak terikat dengan kebendaan. Mereka tahu memilih antara intan dengan kaca.

Ada beberapa perkara menarik tentang Khairy yang meletakkan kemenangan baginya.

* Ada keberanian dan bersikap terbuka dan melatari suasana semasa.

* Gigih, tabah menghadapi kecaman ke atasnya terutamanya oleh Dr Mahathir Mohamad.

* Mempunyai keyakinan diri yang kuat dan sanggup menerjah sesiapa saja dengan pandangan dan akalnya sendiri.

* Dia juga lebih rapat dan mesra dengan pemuda.

* Perwatakannya menampakkan kepemudaan berbanding dengan dua calon lain.

* Mendapat simpati apabila beliau dikacau oleh Lembaga Disiplin.

* Kerana langsung tidak didokong oleh bapa mertuanya, Abdullah Badawi.
di petik dari msomelayu.com.

Saya bersetuju dengan apa yang dilontarkan oleh msomelayu di atas. Saya juga berasa amat tercabar dengan keterampilan KJ. Bagaimana dengan 'rijal' dan nisa' kita di luar sana? Adakah masih senang berpeluk tubuh, sekadar bekerja makan gaji, kemudian pulang ke rumah bertemu anak isteri, hidupnya hanya untuk makan tidur dan berlibur, bercerita tentang artis itu dan ini dengan gosip yang tidak habis-habis, masih bertelingkah sesama sendiri itu ini bid'ah, jamaah aku lah yang terbaik sedang yang lain semuanya salah. Adakah aku juga tersenarai dalam kelompok ini?

Alangkah sadisnya kita andai di saat bumi waqafan ini ketandusan susuk pimpinan yang berminda negarawan sedang kita masih asyik dan mahsyuk dalam dunia sendiri.


MUSLIMAT JUGA PERLU BERPERANAN.


Biarpun KJ seorang lelaki, tetapi muslimat juga perlu berperanan.

Jika KJ dilihat sebagai political will yang akan cuba memperbaiki dirinya, mempamirkan kepimpinannya dan paling bahaya ialah idea geliga yang cukup mencabar oposisi, maka muslimat juga perlu berminda politik negarawan.

Kita tidak boleh hanya terlalu berharap kepada tubuh kecil nurul izzah seorang kerana dunia memerlukan pemimpin pelapis akan datang.

Apa yang perlu kita lakukan? Bagi mereka yang masih di alam kampus, libatkan diri untuk turut serta dalam aktiviti persatuan yang ada. Buangkan selimut yang membaluti minda 'pedulikan apa yang berlaku, yang penting assigment aku siap dan aku lulus peksa'. Jika itu adalah kita, maka berubahlah! usah kita menjadi seperti Dinasour yang pupus dek kerana tidak mampu menyesuaikan dengan iklim dunia.

Muslimat era ini perlu berperanan dalam melengkapkan diri dengan sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dan thaqafah. Bagi yang telah mempunyai anak, mereka perlu bersungguh-sungguh memjadikan rumah yang didiami menjadi 'kilang' yang mampu menghasilkan 'produk' yang berkualiti tinggi. Bagi yang belum berkahwin usah berduka lara, kerana inilah masanya untuk kita mempersiapkan diri sebagaimana bonda Hujjatul Islam menyiapkan diri berpuluh tahun lamanya sebelum kelahiran beliau.

Mereka yang bergelar suami juga tidak kurang penting. Jika dahulu, hanya ibu kita sahaja yang menjaga kita, sedang ayah keluar bekerja. Maka suami yang mempunyai 'serikandi' abad ini perlu belajar untuk bersama-sama menguruskan dan menyiapkan kelengkapan anak, mengemas, memasak dan lain-lain kerana muslimat juga perlu turun untuk 'merawat' ummah yang kronik, kerana wanita lebih memahami wanita.

Membaca artikel-artikel berkenaan 'pemikiran' yang ditulis oleh PROF. DR. Sidek Baba dari laman Prof.Dr. Sidek Baba, saya menyimpulkan bahawa Muslimat hari ini bukan sahaja semata-mata perlu senantiasa mengasah minda agar tajam dan 'mekar' daya fikirnya tetapi juga perlu berfikir secara lebih; QURANI, IKUT SUNNAH, ISLAMI, TADABBUR, PROAKTIF, ANALITIKAL, HOLISTIK, KREATIF, LOGIKAL, REFLEKTIF,STRATEGIK, SAINTIFIK QURANI
(Kupasan lanjut idea pemikiran blh di rujuk ke laman web drsidekbaba.blogspot.com)


Ayuh muslimat kita gilapkan diri. Yakinlah setiap kita di anugerahkan Allah Taala punya kelebihan dan kekuatan yang lebih besar dan hebat dari yang kita sangkakan. Usah biarkan bakat itu terpendam dan terbenam, kerana bakat itu ibarat benih. Benih yang baik dan berkualiti apabila disemai dan ditanam di tanah yang subur dan dijaga dengan baik, ia akan tumbuh, membiak dan menghasilkan bunga dan buah yang berkualiti dan memberi guna kepada orang lain.

Allah Taala tidak kurniakan kita dengan bakat yang sama, kecenderungan yang serupa dan minat yang sealiran. Kerana itu, bakat yang ada pada kita semua harus dikenalpasti.

Tidak memadai jika bakat yang ada hanya untuk memacu diri ke arah kejayaan dan tidak cukup untuk mencapai sesuatu cita-cita. Ia perlu disertai dengan minat, lantas menjadi simbiosis atau gandingan yang penting agar cita-cita ke arah kecemerlangan dapat disempurnakan.

Bakat ibarat sumber, minat ibarat bahan bakar. Menyalanya lampu atau pelita kerana ia ada sumber iaitu minyak. Terangnya cahaya bakaran hasil adanya sumbu atau lampu. Apabila cahaya menerangi sekitar sifat bakat dan ilmu adalah memberi guna kepada yang lain. PROF.DR. SIDEK BABA.

Jika manusia seperti Ibn Sina punya kekuatan bakat sebagai pakar perubatan, Ibn Nafis sebagai pakar bahasa dan ilmu perputaran darah, al-Khawarizmi pakar matematik, Al-Zahrawi pakar bedah, Ibn Haitam pakar Mata dan ramai lagi yang di disebabkan oleh keyakinan mereka menguasai ilmu pelbagai dimensi dan multi-disiplin, maka bagaimana dengan kita? Adakah kita telah kenal bakat diri kita?


Hari itu, sambil menceduk lauk ikan keli bakar di Kafe setia murni, mata saya sempat mengerling skrin television yang memaparkan sambutan maulidur rasul yang di buat di dataran Merdeka tahun ini. saya lihat rakan-rakan cina yang berada di kafe itu turut tidak melepaskn peluang menonton acara gemilang tersebut.

Sungguh meriah! getus hati kecil saya. Namun entah kenapa hati saya berasa sungguh sunyi. Pada usia yang semakin dewasa ini, saya menghitung-hitung… apakah saya semakin dekat dengan baginda? Mencintai, menegakkan dan memperjuangkan sunahnya? Rasa benar-benar tidak layak. Rasa tidak tergamak memuji dan menyanjung Nabi Muhammad SAW dengan lidah dan hati yang berdosa.

betapa kita hanya mampu menjadikan Rasulullah SAW sebagai teladan jika memiliki tiga syarat - pertama, rasa harap kepada Allah. Kedua, rasa harapkan Hari Akhirat dan ketiga, bila hati mengingati Allah dengan banyak. Ini syarat yang dinyatakan secara jelas oleh surah yang sering dibacakan bila tiba musim maulid.“Untuk kita merasai perlunya Tuhan dan mengharapkan-Nya, terlebih dahulu kita mesti menginsafi kelemahan diri dan terasa kebesaran Ilahi.” “Umat ini juga mesti diajak dan dididik kembali meyakini akan adanya Hari Pembalasan sekali gus rindukan syurga dan takutkan neraka,” Pahrol Joi.

Oh.Alangkah jauhnya aku dari dari semua itu. Maka layakkah aku mengatakan aku mencintai Rasulullah s.a.w. sedang Allah Maha Mengetahui bahawa lidah ini tidak lebih dari berdusta hanya semata untuk halwa pendengaran manusia?



DIPETIK DARI:http://genta-rasa.com/

Seorang isteri mengeluh mengapa suaminya sudah semakin jarang mengirim pesanan ringkas berisikan kata-kata cinta, sayang, rindu seperti mula-mula kahwin dahulu. Kalau adapun tidak sehangat dan sekerap dulu. Mungkin sepatah hanya sepatah OK, “ya” atau “tidak” sahaja yang tertera di layar telefon bimbit. Apakah dia sudah jemu? Atau cintanya sudah berkurang? Begitulah detik hati si isteri. Kadang-kadang suami sudah semakin mahal dengan senyuman. Kata-katanya boleh dikira. Sudah banyak diam. Pujuk rayu? Ah, jauh sekali.

Memang begitulah resmi lelaki, semakin banyak bebanan semakin sedikit luahan perkataan. Kesukaran kekadang menimbulkan kebisuan. Itu petanda ketenangan semakin dihakis. Dihakis oleh cabaran kehidupan. Menjadi seorang suami bererti mengucapkan selamat tinggal kepada alam bujang yang penuh kebebasan dan serba boleh. Jika tidak pandai mengawal hati, mengurus emosi… semakin bertambah usia perkahwinan, hidup akan menjadi semakin sunyi.

Namun, saya sedar apa yang saya tulis ini kemungkinan akan dicebikkan oleh pasangan yang sedang hangat bercinta. Mana mungkin pasangan yang begitu setia berSMS (kekadang sampai mencecah 100 kali sehari!) atau “bergayut” berjam-jam lamanya di gagang telefon boleh menjadi beku dan kaku seperti itu. Tidak mungkin “kami” ataupun aku jadi begitu. Mungkin itulah yang berbunga di hati kini. Tetapi nanti dulu, pesan saya cinta itu pasti diuji.

Seorang sahabat saya secara bergurau menjelaskan betapa mulut seorang wanita semakin becok apabila berumah tangga, sebaliknya mulut seorang lelaki menjadi semakin terkunci bila bergelar suami. Mengapa? Menurutnya lagi, isteri yang mula diasak oleh kesibukan tugas sebagai suri rumah (lebih-lebih lagi apabila menjadi seorang ibu), akan banyak bercakap, mengarah, menegur itu dan ini. Jika tidak dikawal, seorang isteri boleh bertukar daripada seorang wanita penyengap menjadi peleter yang tidak pernah rehat.

Manakala suami yang dahulunya begitu besar ketawa dan lebar senyumnya, perlahan-lahan menjadi seorang pemenung dan pendiam. Kesukaran tugas dan beban tanggung-jawab menyebabkan seorang lelaki banyak berfikir dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah. Ya, potensi lelaki menjadi “ahli falsafah” semakin menyerlah apabila menjadi seorang suami apatah lagi menjadi seorang ayah!

Rupa-rupanya ketawa yang lebar dahulu bukan kerana benar-benar gembira tetapi kerana belum mengenal erti kesusahan. Begitu juga yang senyap dahulu bukan kerana benar-benar pemalu tetapi kerana belum dicabar kesibukan dan cabaran tugasan. Hakikatnya, lelaki dan wanita sama-sama teruji di dalam sebuah gelanggang mujahadah yang dinamakan sebuah rumah tangga.

Musim cinta sudah berlaku. Tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa perlahan-lahan bertukar menjadi taufan. Jika tidak bijak dan sabar mengawal kemudi hati, pasti tersungkur peribadi dan runtuhlah pertautan dua hati. Benarlah kata hukama, perkahwinan boleh dimulakan oleh sebuah cinta, tetapi hanya disempurnakan oleh satu tanggung jawab.

Apa maksud tanggung jawab? Ia adalah satu beban, tugasan atau amanah yang mesti kita “tanggung” di dunia, “disoal” di akhirat dan mesti kita jawab di hadapan Allah SWT kelak. Sekalipun badai ujian rumah tangga ada kala begitu dahsyat, tetapi kita akan teruskan juga demi satu tanggung-jawab. Kita sedar bahawa menjadi seorang suami mahupun seorang isteri bukan hanya untuk menikmati keseronokan dan kemanisan yang diingini oleh fitrah setiap manusia tetapi yang lebih penting berkahwin itu adalah perintah dan amanah daripada Allah.

Telah sering kita diingatkan, bahawa untuk mengukuhkan hubungan antara makhluk (dalam konteks ini antara suami dengan isteri), Khalik (Allah) wajib menjadi matlamatnya. Begitu juga dengan perkahwinan, matlamatnya ialah mencari keredaan Allah. Rumah tangga hakikatnya adalah satu gelanggang ibadah untuk meraih pahala dan keredaan-Nya. Bukan cinta isteri atau cinta suami yang menjadi matlamatnya, tetapi itu hanya alat. Alat yang digunakan untuk mencapai matlamat. Ertinya, cintakan suami dan isteri mesti berdasarkan rasa cinta kepada Allah. Bila ini menjadi asas dan terasnya, maka itulah yang dikatakan bercinta dengan rasa tanggung jawab.

Cinta tidak boleh terpisah daripada tanggung jawab. Gabungan keduanya yang melahirkan rumah tangga yang bahagia. Jika ada cinta tetapi tidak ada rasa tanggung jawab, lambat laun cinta akan meluntur dan rumah tangga akan terkubur. Sebaliknya, jika ada tanggung jawab tetapi tidak ada rasa cinta, maka hilanglah seri dan kemanisan sebuah rumah tangga… umpama hidup segan, mati tak mahu.

Ketika kemanisan bertukar pahit, ketika keseronokan beralih kepada kesukaran, maka tinggallah rasa tanggung jawab untuk menyempurnakan sebuah perkahwinan. Ketika itu rasa cinta mungkin sedikit terumbang-ambing atau seakan-akan mula meminggir, tetapi rasa tanggung jawablah yang akan mengikatnya kembali dengan setia dan sabar. Genggam bara api biar sampai jadi arang. Begitulah kekuatan satu tanggung jawab, yang mampu bertahan ketika cuaca rumah tangga tenang ataupun bergelombang.

Salah satu ujian terbesar dalam rumah tangga ialah terserlahnya warna sebenar pasangan kita. Saat itu akan tiba. Dan jangan terkejut jika kita dapati dia seolah-olah insan lain yang belum pernah kita kenali. Hairan melihat perubahannya? Jangan, kerana dia pun hairan juga melihat perubahan kita. Hakikatnya, kita dan dia sama-sama berubah. Warna sebenar (true colours) yang menurut pakar-pakar psikologi hanya akan muncul apabila mencecah lima tahun usia perkahwinan.

Justeru, jangan sekali-kali kita merasakan sudah kenal dengan pasangan kita walaupun telah lama hidup bersama sebagai suami isteri. Proses perkenalan antara sesama pasangan mestilah diusahakan dan diteruskan secara konsisten. Ini adalah satu langkah ke arah pengukuhan cinta dalam rumah tangga. Bukankah tak kenal maka tak cinta? Jadi, apabila cinta tergugat, itu adalah petanda yang menunjukkan proses pengenalan juga telah terencat.

Oleh itu, tunggu apa lagi? Teruskanlah berkenalan dengan pasangan anda dengan cara bertanya, berkongsi, meluahkan dan meminta pandangan. Jangan sekali-kali menggunakan “fail lama” untuk mencipta keserasian baru. Terimalah hakikat bahawa kesukaan, minat, hobi dan kecenderungan pasangan kita berubah. Warna yang terang kesukaannya dahulu mungkin bertukar menjadi warna redup seiring pertambahan usianya kini. Mungkin corak seleranya juga turut berubah bersama penyakit fizikalnya yang mula singgah. Begitu jugalah dengan apa yang gemar ditonton, didengar, dilihat dan dirasainya. Mungkin jauh berbeza daripada saat mula-mula kahwin dahulu.

Membina cinta ketika tarikan fizikal dan keinginan seksual sudah menurun memerlukan keikhlasan. Di mana lagi sumber keikhlasan jika tidak kembali kepada iman? Ertinya, kembali kepada Allah. Percayalah keadaan yang serba-serbi tak kena, hilang tumpuan, kurang selera makan, tidak ada “mood” untuk bercerita dan berbicara adalah bukti terhakisnya ketenangan dalam hati. Dan itu semua adalah berpunca darinya lalai dan alpanya hati daripada zikirullah (mengingati Allah). Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” Ar Ra’d: 28

Iman dalam hati akan menyebabkan suami dan isteri saling bertanggung-jawab. Walaupun berat terasanya mulut untuk berbual dengan isteri akibat beban masalah menyara rumah tangga, namun digagahi jua oleh kesedaran kata-kata yang baik itu adalah satu sedekah. Walaupun terasa sukarnya mengukir senyuman di hadapan suami bahana kerenah anak-anak, tetapi isteri yang beriman terus bermujahadah… dan terus tersenyum di hadapan suaminya justeru menyedari senyuman itu adalah satu sunah. Sedekah dan sunah yang dilakukan oleh suami dan isteri inilah yang menurunkan sakinah dan mawaddah dalam sebuah rumah tangga.
Ya, bila musim cinta sudah berlalu, semailah “pohon” tanggung jawab. Insya-Allah, musim cinta akan kembali dan ketenangan dan kebahagiaan akan kembali harum dan mewangi!

Tip untuk bertanggung jawab:

Kenangkan selalu bahawa isteri atau suami kita adalah milik Allah bukan milik kita.
Dalam apa jua perselisihan, carilah di mana kedudukan syariat dalam hal itu.
Sentiasa bermuzakarah dalam membuat keputusan.
Sering melakukan solat istikharah dan hajat dalam menghadapi sesuatu ujian.
Bayangkan pertemuan yang indah dengan semua anggota keluarga di syurga nanti apabila masing-masing bertanggung jawab dengan perintah Allah.
Takutkan neraka dan bimbangkanlah seksanya jika mengabaikan tanggung jawab.
Bila suasana terlalu sukar, bisikan di hati… itu semua sementara, pertolongan Allah sudah dekat.

P/S; Tahniah buat sahabat-sahabat trutama sahabat saya Nadia ganu yg baru mndirikn rumahtangga. Moga kebahagiaan milik kalian hingga ke syurga. amin..

my site

Islamic Calendar

Islamic Clock

Profail Penulis

Profail Penulis
No. 201, Blok E2, Seksyen 2, Wangsa Maju, Setapak, Kuala Lumpur, Malaysia.

Suamiku kekasihku, Kunci syurgaku.

Suamiku kekasihku, Kunci syurgaku.

Pengikut

Ayahanda, bonda dikau sumber inspirasiku.

Ayahanda, bonda dikau sumber inspirasiku.

Powered By Blogger

About this blog

“Barangsiapa disibukkan dengan mengkaji Al-Qur’an dan menyebut nama-Ku, sehingga tidak sempat meminta kepada-KU, maka Aku berikan kepadanya sebiak-baik pemberian yang Aku berikan kepada orang-orang yang meminta. Dan keutamaan kalam Allah atas perkataan lainnyaadalah seperti, keutamaan Allah atas makhluk-Nya.

(Riwayat Tirmidzi dan katanya: hadits hasan)