OLEH : NURUL MUNAWWIRAH

Saya dijemput untuk menjadi pewacana terhadap tajuk gerakan mahasiswi Islam perlu perubahan. Pada mulanya, pelbagai persoalan bermain di minda saya apabila diajukan soalan sedemikian. Perubahan?

Ada yang berpandangan gerakan wanita Islam perlu berubah selaras kehendak massa, ada yang kata perlu lebih menonjol dan ada juga yang kata perlu lebih bermasyarakat.Di mana silapnya apabila kita melihat gerakan muslimah kelihatan lebih lesu daripada gerakan feminisme?

Saya teringat pada kata-kata saudara Syeikh Umar dalam satu forum. Katanya, beliau amat kagum dengan Sisters In Islam, namun bukan atas perkara dasar yang dibawa mereka yakni kesaksamaan gender tapi atas dasar sikap dan keberanian yang mereka miliki dalam mempertahankan pendirian dan fahaman mereka. Katanya lagi, seharusnya wanita Islam kini harus mula lantang kembali mewarnai massa dengan kefahaman sebenar Islam mengenai isu-isu wanita.

Kesilapan terbesar gerakan wanita Islam sekarang adalah salah faham terhadap konsep malu. Ya, wanita dan malu sememangnya tidak dapat dipisahkan. Namun biarlah bertempat. Jika ingin menyatakan pendirian dalam mesyuarat ataupun sewaktu sesi brainstorming pun malu-malu alah, berat kes ni. Apabila kita membicarakan soal ummah, kita harus menjadi serius mengembleng tenaga jihad berfikir dan sepatutnya semangat jihad itu bisa membuahkan pula keberanian kepada kemahuan untuk bercakap dan bertindak. Entah di mana tarbiyyah kita, sesudah digelar ahli gerakan, masih ramai yang terpotret menjadi tawaddhu’ tak kena tempat. Ini menjadi masalah besar sekiranya kita menanam keinginan untuk mendidik masyarakat.Bagaimana mereka hendak yakin pada kita sekiranya kita sendiri tidak mempunyai keyakinan kepada diri sendiri?

Kedua, ahli gerakan muslimah perlu lebih matang apabila bermasyarakat. Pernah saya bertembung dengan beberapa kejadian di majlis keramaian, terdapat segelintir ahli gerakan muslimah tidak pandai membawa diri. Seharusnya, apabila ditarbiyyah dengan kefahaman Islam, kita sepatutnya mengepalai adab-adab yang diajar oleh Islam selaku anak gadis muslim apabila berada dalam majlis yang bersama orang tua. Sukar senyum dan agak lambat bergerak turun ke dapur mahupun ringan-ringankan tangan untuk membantu apa yang patut, walau nampak remeh, sebenarnya memberi impak besar pada orang ramai untuk menilai akhlak kita.

Apabila bertembung dengan pelbagai jenis orang dalam sesebuah majlis, tidak kira yang tua atau muda, yang kelihatan baik atau sebaliknya, kta seharusnya terlebih dahulu memulakan salam dan merendahkan diri menyapa mesra. Apabila berbual dengan yang lebih tua, janganlah kelihatan seperti kita mahu menang dalam setiap perbualan.

Ketiga, ahli gerakan muslimah perlu lebih aktif, pantas dan kreatif dalam bertindak. Seandainya dilihat kaum lelaki kelihatan semakin lesu bergerak, sebagai tiang kepada gerakan, orang perempuan perlu bangkit memberikan satu tekanan, simbolik kepada provokasi untuk membantu kaum lelaki kembali sedar akan tanggungjawab mereka. Isu-isu wanita yang berkaitan dengan hak dan penindasan yang seringkali dijaja oleh golongan feminisme haruslah punya penyelesaian yang disediakan oleh gerakan wanita Islam.Gerakan wanita Islam sekarang haruslah lebih banyak cuba menerobosi media untuk kembali menjuarai pendominasian cara masyarakat umum berfikir. Golongan feminisme sangat berani dan lantang dalam mencanangkan pendirian mereka kerana mereka lihat tidak ada gerakan wanita lain yang berani menonjol seperti mereka dalam memperjuangkan isu wanita.

Keempat, ahli gerakan muslimah perlu lebih banyak membaca dan menambah pengetahuan mengenai isu semasa. Hal-hal semasa politik perlulah dititikberatkan dalam kefahaman seharian. Ibu Imam A-Syafie telah bersedia menyiapkan diri sebelum Imam As-Syafie lahir lagi untuk membentuk keperibadian mujahid ulung terhadap beliau.Begitu juga dengan ibu-ibu para pahlawan lain. Seharusnya, kita harus sedar peranan kita dalam melahirkan generasi pejuang masa hadapan. Jika kita mahukan anak-anak kita mahupun seluruh keturunan kita menjadi mujahid dan mujahidah ulung dalam perjuangan, kita harus terlebih dahulu memantapkan diri. Seorang wanita yang mampu membaca politik dan mempunyai pengetahuan yang bagus insyaAllah akan mampu melahirkan anak yang mampu mempunyai dayajuang politik dan punya kefaqihan agama yang tinggi. Perhatikan mengapa ada kata pepatah berbunyi, tangan yang menghayun buaian, bisa menggoncang dunia.

Kelima, walaupun, ahli gerakan telah ditanamkan dengan jatidiri sebagai aktivis dakwah, namun jangan sesekali kita tinggalkan tugas asasi kita sebagai seorang wanita. Kebolehan memasak, mengurus rumahtangga juga sangat penting diambilkira sebagai didikan utama terhadap setiap ahli gerakan wanita. Semuanya perlu persediaan dari awal agar apabila bergerak kerja dalam lapangan sesudah berumahtangga tidak menimbulkan masalah. Perlu diingat, tidak guna gerak kerja dakwah masyarakat sangat aktif, sekiranya kita tidak pandai menguruskan keluarga sendiri di rumah. Cara bekerja ahli gerakan dakwah muslimah yang belum berkahwin dan sudah adalah sangat berbeza kerana keutamaan sudah bertambah. Maka di sini, teknik pengurusan masa dan pembahagian tanggungjawab adalah penting untuk di pelajari.

Wanita memainkan peranan yang amat penting dalam sesebuah organisasi apatah lagi gerakan. Ahli gerakan muslimah harus kembali merebranding imej agar menjadi ikon kepada semua wanita tidak kira bangsa, agama dan keturunan. Yang penting , wanita Islam menerajui perjuangan isu hak wanita selaras dengan kehendak syara’. Apapun, tidak dilupakan juga, muslimin juga memainkan peranan penting dalam membimbing wanita dalam memperjuangkan isu mereka.

Kemungkinan besar, isu feminisme tidak akan timbul seandainya semua lelaki benar-benar menghayati ajaran Islam.Adalah satu penipuan seandainya mengatakan tidak langsung berlaku penindasan terhadap hak wanita dalam kes-kes tertentu. Sesetengah lelaki yang berfahaman kolot dan tidak melihat wanita sebagai anugerah Tuhan, sewenangnya memanipulasi kelemahan wanita demi keuntungan mereka. Maka, tidak wajar sama sekali jika dikatakan tidak perlu ada perjuangan terhadap isu-isu wanita. Isu perjuangan wanita bermula di Malaysia dalam tahun 1962 di mana tika itu, Kesatuan Guru-Guru perempuan dengan kerjasama Badan Wanita Kebangsaan mengadakan sebuah konvesyen menuntut gaji sama rata dengan pekerja lelaki. Waktu itu, walaupun wanita bekerja sama masa malah lebih daripada lelaki, gaji mereka tetap rendah. Malah lebih malang lagi, ada di antara sector yang tidak memberikan wang pencen pada bekas pekerja wanita. Ini menyulitkan wanita terutama yang bergelar ibu tunggal. Oleh, kesedaran kaum lelaki dalam menjaga kaum wanita juga berupaya membantu menangani masalah feminisme.

Fitnah banyak dimomokkan oleh para musuh Islam. Muslimah Islam kolot, ditindas dan dinafikan hak bersuara. Justeru, wanita Islam itu sendiri perlu bangkit menjernihkan kekotoran khabar angin tersebut. Mahasiswi Islam harus mula bertindak dan buat persediaan.

Persoalannya, bila kita mahu mulakan?

Layari:
http://mawarmunawwarah.blogspot.com/