MUKTAMAR gabungan mahasiswa islam se-malaysia (gamis)
KALI KE-18
25-26 julai 2008

“MENUJU WAHDAH MENGEMBALI IZZAH”

GERAKAN MAHASISWA YANG MENOREH SEJARAH DUNIA

Wahai saudara-saudaraku, anak-anak muda Islam yang beriman! Wahai orang-orang yang ingin lepas dari ikatan! Wahai orang-orang yang ingin memecahkan belenggu, yang memasung kaki dunia Islam, dari hujung ke hujung, dari barat ke timur!

Ketahuilah! Sejarah itu ada kerana adanya pemuda, sejarah itu pun hidup kerana hidupnya para pemuda. Hidup yang bererti bercahaya ruhaninya, mengakar pemikirannya, dan berkembang gerakannya. Anes Baswedan, Rektor Universiti Paramida menyebut “….Kalau kita berbicara tentang anak muda, kita tidak boleh menempatkan diri mereka pada lapangan lokal saja, tetapi harus dilihat pada lapangan global, sekurang-kurangnya benua Asia. Kerana anak muda dilahirkan tidak hanya untuk negeri, tapi juga untuk dunia…”

Gerakan mahasiswa adalah sebahagian dari gerakan anak muda yang sangat ditakuti pemerintah. Rejim Papandreou di Yunani tumbang dengan keguguran seorang mahasiswa National Union of Greek Students pada saat memperjuang hak asasi manusia di gedung Parlimen. Di Amerika Latin, diktator Batista ditumpas oleh tokoh muda revolusioner Che Guevara. Di Turki pada tanggal 29 Mei 1960, para mahasiswa berhasil menggulingkan Bapak Menderes yang korup dengan korban nyawa hampir 20 Mahasiswa. Pada tahun yang sama, Mahasiswa Korea Selatan membuat sejarah dengan menurunkan rejim korup Dr. Syngman Rhee yang berkuasa selama 12 tahun. Peristiwa Black Friday menyaksikan gerakan mahasiswa berperanan menjatuhkan kerajaan Shah Iran yang zalim di Iran. Kejatuhan 32 tahun pemerintahan diktator Soeharto di Indonesia juga dikaitkan dengan peranan dan pengorbanan gerakan mahasiswa Universiti Trisakti. Jose Rizal adalah pengerak kebangkitan patriotik mahasiswa dalam menghalau kemasukan penjajah ke Filipina. Begitu juga kita melihat kebangkitan mahasiswa di China, Korea.

Di negara-negara Asia Barat, munculnya kepimpinan pejuang yang telah mengembalikan maruah dan kemuliaan bangsa seperti apa yang berlaku di Mesir. Lihatlah kebangkitan mahasiswa diterajui oleh salah seorang pelajar Al-Azhar yang berasal dari Daerah Halab (Aleppo) di Syria iaitu Sulaym an Al-Halabi mengusir keluar tentera Napoleon Bonaparte yang telah menyerang Al-Azhar. Penubuhan Ikhwan Muslimin pimpinan Ustaz Hasan Al-Banna antara penyebab kebangkitan mahasiswa dalam menyebarkan Islam ke pelusuk dunia. Kebangkitan ini kebanyakan dipelopori oleh mahasiswa universiti al-Azhar. Di Afghanistan, golongan yang bersusah payah menghalau kemasukan Soviet Union ke atas bumi ini ialah golongan mahasiswa yang dikenali Taliban yang dipimpin oleh Mullah Omar. Di Malaysia, pemuda dan mahasiswalah yang merencana Angkatan Perpaduan Ummah dan Parti Keadilan Rakyat. Dan banyak lagi peristiwa dalam lipatan sejarah yang membuktikan kehebatan dan peranan mahasiswa dalam mencatur politik dunia.

Dominasi Gerakan Mahasiswa Islam di Malaysia pada awalnya bermula dengan tertubuhnya Barisan Bertindak Mahasiswa Negara. Namun, kedudukan minoriti Islamic Groups dalam MPP telah meletakkan BBMN tidak lagi releven. Realiti ini telah membawa pada penubuhan Gerakan Mahasiswa Islam Se-Menanjung (GAMIS) pada sesi akademik 1989/90. GAMIS ditubuhkan oleh Mohd Yusof Abdullah, Presiden PMIUM. Pertimbangan kepemimpinan mahasiswa Islam pada ketika itu cukup unik. Walaupun Islamic Groups gagal menguasai MPP di kampus-kampus utama, namun mereka masih mendominasi PMIUM, ISIUKM, PMUTM, PMIUSM dan mempunyai circle tersendiri di beberapa kampus kecil. Demografi di atas ini adalah suatu kekuatan (strenght) dan peluang (opportunity) bagi Islamic Groups demi menggarapkan semula gelombang perubahan walaupun BBMN tidak releven lagi.

Para muktamirin-muktamirat yang saya kasihi,

Demikianlah kuasa mahasiswa, kuasa anak muda yang bisa menggoncangkan bukit-bukau dan mencipta gelombang perubahan dalam memimpin minda rakyat. Namun, saya ingin menegaskan supaya tiada guna kita terus nostalgic dengan sejarah, sedangkan kita masih tercari-cari arah. Ingatlah :

”Bukan seorang pemuda yang begitu asyik dengan sejarah ayahnya, saudaranya, atau datuknya, tetapi pemuda yang sebenarnya akan berkata, inilah aku”.

Kita telah disajikan betapa golongan pemuda yang menjadi tulang belakang paling ampuh dalam 23 tahun perjuangan Rasul menegakkan Islam. Kita juga telah acapkali didodoikan dengan kisah pembukaan Kota Constantinopel oleh anak muda 23 tahun, Sultan Muhammad Al-Fateh. Namun, kenapakah kita dan gerakan kita terus dilihat bergerak secara bermusim dan “sekejap ada sekejap tiada” ? Kelesuan gerakan mahasiswa Islam hari ini dalam memaksimakan peranan sebagai jurubicara ummah berbekalkan modal intelektual yang mahal amat dikesali pelbagai pihak yang meletakkan high-expectation kepada kita, khususnya apabila memasuki era baru pasca ‘tsunami’ politik Malaysia pada 8 Mac 2008. Hampir setiap hari, bahkan kurang dari 24 jam sahaja, akan berlaku pelbagai gempa pergolakan politik-sosial-ekonomi Malaysia yang menuntut kita dan GAMIS bangkit menyatakan pendirian. Namun harapan rakyat untuk melihat aksi itu terus tidak kesampaian. Mengapa ?

Adakah kita masih menuding jari pada kekangan-kekangan musuh atas nama AUKU sebagai punca kelesuan kita? Atau tarbiyah dan sistem pembinaan jatidiri kita yang selama ini gagal memberi jawapan kepada gejala kelesuan ini?

AYUH MENUJU WAHDAH MENGEMBALIKAN IZZAH GAMIS !

Adik-beradik keluarga GAMIS yang saya cintai kerana Allah,

Sang pujangga Iqbal pernah bersajak,

“Walaupun satu keluarga kami tidak mengenal,

Himpunlah daun-daun yang berhamburan ini,

Hidupkanlah ajaran saling mencintai,

Ajar lagi kami berkhidmat seperti dahulu”

Secara praktikalnya, GAMIS, walaupun dianggap “keluarga” gerakan-gerakan mahasiswa Islam kampus, ia belum mencapai “wahdah” yang kita kehendaki. Bahkan, kita seolah-olah terperangkap dalam sangkar kampus, atau blok kenegerian, atau mungkin saya boleh sifatkan kita terikat dengan pembentukan tarbiah di kampus masing-masing. Ya, kita menghormati dan memahami setiap kampus memiliki identiti tarbiah dan upaya kualiti yang tersendiri, namun sekiranya kekuatan dan keunikan ‘domestik’ itu tidak mampu kita himpunkan bersama, lalu kita hapuskan “blok kampus” yang banyak memerangkap kita selama ini, maka percayalah anda dan GAMIS akan terus lesu dan terkebelakang. Sesungguhnya, natijah daripada kesatuan yang wujud dengan telus, saksikanlah kasih sayang dan ukhuwah Islamiah sesama kita pasti terserlah, walaupun kita berjauhan geografi dan berbeza kekuatan. Kepimpinan GAMIS tidak mahu lagi melihat kampus terus sibuk hanya urusan kampusnya, negeri dengan negerinya, sebaliknya kita inginkan lihat SATU dan KESATUAN dalam melahirkan gerakan yang lebih cergas lagi lugas.

Seolah-olah, semuanya adalah GAMIS. Ya, seolah-olah semuanya GAMIS. Bedanya, kita berada di kampus yang berlainan sehingga menuntut kita memainkan aksi berdasarkan realiti tempat dan suasana kita. Namun, pemikiran, keinginan, keazaman, kasih sayang, semangat bahu-membahu, semangat ukhuwah, daya eksistensi, idealisme, semuanya adalah satu, ibarat anak-anak panah yang berada dalam satu busur, namun dilepaskan ke sasaran yang berlainan.

Tidak akan kuat melainkan melalui kesatuan. Nah, kalian saksikan bagaimana kawasan Amerika Utara, Tengah dan Selatan yang bernaung di bawah NAFTA, kesatuan Negara-negara Pasifik dalam APEC dan Negara-negara Eropah dalam EU, maka kita mesti bersatu dalam GAMIS. Sekiranya kita masih lagi mengamalkan budaya acuh tak acuh tentang nilai ukhuwah dan sense of belongings, sikap tidak concern dan malas mengambil berat berkenaan kampus lain, maka dibimbangi gerakan Islam GAMIS tetap statik dalam suasana kejumudan dan kebekuan.

Justeru, bagi menjayakan misi besar GAMIS akan datang ke arah “Menuju Wahdah Mengembalikan Izzah” yang hilang, saya ingin rumuskan 7 paksi utama iaitu :

1. Laksanakan “Orde Baru” Tarbiyah
2. Agresifkan Dakwah Sebagai “Movement”, Bukan Sekadar Program
3. Tajamkan Agenda Siasah Untuk Lahirkan “Future Leader”
4. Menjuarai Isu-isu Kewanitaan Secara Tepat di Arus Perdana
5. Tingkatkan Daya Intelektual Aktivis
6. Terapkan Budaya Kerja GAMIS
7. Hidupkan GAMIS Negeri

PAKSI PERTAMA : LAKSANAKAN “ORDE BARU” TARBIAH

Wahai jiwa yang membara-bara demi menegakkan tertegaknya daulah Islamiah,

Telah lama GAMIS melaungkan gagasan tarbiah kepemimpinan yang dinamika, percambahan kaderisasi yang produktif, pembinaan karismatik minda dan keupayaan praktikal. Telah lama GAMIS gagaskan pembangunan infrastruktur daya kepemimpinan yang sofistikated dan canggih-manggih dalam mencabar dunia ultra-moden yang sarat dengan simpang-siurnya yang tersendiri. Ia bukannya retorika fatamorgana atau bahasa propaganda yang kosong lagi kontang. Inilah asas yang diletakkan oleh kepimpinan GAMIS kali ini apabila bertekad untuk melakukan “down to earth” kepada 70 buah kampus GAMIS melalui Ijtimak-ijtimak Zon yang telah diadakan.

Tidak melampau jika saya katakan bahawa kita mahukan peremajaan tarbiah, yang tidak terikat dengan kepegunan warisan tanpa penilaian semasa dan waqi’i. Kita umpamakan tarbiah sebagai peneguh terlazim menyeluruh yang mampu mencetuskan al-yaqazah al-ruhiyyah (kesedaran rohani) kalangan ahli dalam memangkin pembentukan Order Baru GAMIS. Kita tidak mahu tarbiyyah yang kita jana tidak subur dek kerana kita tidak punya keprihatinan dalam mengembalikan nutrien berkhasiat yang mampu meransang kembali pertumbuhan kualiti dan kuantiti ahli-ahli JIK.

Ayuh semua kita bajakan kembali tanah ini. Kita perlukan mekanik-mekanik tarbiah yang berkemahiran tinggi dan punya hati yang bernyala-nyala dan tidak kering dengan keindahan akhlak serta ketinggian budi pekerti juga kemolekan ilmu. Kita inginkan penggerak-penggerak tarbiah yang berselera dan ghairah menjadikan agenda jihad dan pemerkasaan terlekat dalam hati mereka.

Wahai sekalian pencinta tertegaknya Negara Islam,

Apakah kalian lupa bagaimana ‘Asim bin Amru bersama-sama 600 orang tentera yang menyeberangi Sungai Dajlah dengan kuda-kuda mereka dalam menakluk Istana Putih Parsi sehingga musuh menganggap mereka jin bukannya manusia. Apakah kalian lupa al-‘Ala’ bin al-Khadrami yang turut menyeberangi lautan Bahrain hanya dengan kuda? Apakah kalian lupa peristiwa batalion malaikat terbaik yang turun membantu tentera Badar? Semua mereka mendapat pertolongan daripada Allah kerana hati mereka bersih, sebersih salju yang turun berguguran. Mereka berjuang untuk Islam dan dalam masa yang sama mereka menjaga hati dan ibadat mereka, seolah-olah merekalah singa di siang hari dan abid yang soleh di malamnya.

Mulut mereka terkumat-kamit dan senantiasa basah dengan bacaan al-Quran dan zikir yang tidak putus-putus. Jiwa mereka sentiasa terang dengan semangat mujahadah dan muhasabah sehingga menerbitkan kesedaran jiwa dan pencerahan hati. Kalangan mereka, ada yang mengerjakan solat Isya’ dua jam lamanya. Kalangan mereka tenggelam dan lemas dalam tangisan sehingga orang menyangka mereka hilang akal pemikiran. Kalangan mereka menjadikan al-Quran sebagai sahabat mereka sehingga mereka boleh resah jika berjauhan dengan al-Quran.

Wahai sekalian perindu negeri akhirat, kita tegaskan, GAMIS bukan sahaja gerakan politik yang tenggelam dalam dunia idealisme dan aktivisme, bahkan GAMIS menyediakan pemimpin gerakan dan negarawan masa depan yang meletakkan Allah dalam hati, sentiasa bertaubat, sentiasa merendah diri, banyak dan khusyu’ beribadat, sentiasa berasa tidak puas dengan zikir yang diungkapkan, malah tenggelam, tenggelam dan hanyut dalam keasyikan bercinta dengan Sang Pencipta.

Sehubungan dengan itu, pemerkasaan tarbiah dalaman ahli itu paling kita utamakan, sebelum kita memukau orang lain untuk menyertai perjuangan kita dengan hati yang khalis dan keinginan yang hanya untuk Allah yang Maha Perkasa. Maka saya menyeru di kesempatan yang ada ini supaya kita semua menyemai perasaan zuhud dalam diri yang menyebabkan kita tidak melihat kepada keduniaan, perasaan tawadhu’ yang menjauhkan kita daripada perasaan egoistik, qanaah dengan bercukup pada apa yang ada dengan penuh keredhaan dan kesyukuran, khusyu’ dan khudhu’ dalam menunaikan segala perintah Allah dengan saksama, amanah dalam melaksanakan segala tugasan yang diberikan, siddiq dalam percakapan, tabligh dalam menyebarkan kebenaran tanpa perasaan gentar serta bijaksana dalam mengembangkan sayap Islam ke merata alam.

PAKSI KEDUA : AGRESIFKAN DAKWAH SEBAGAI “MOVEMENT”

Para soldadu Islam yang berani,

Dakwah yang kita maksudkan adalah menarik masyarakat Islam masa sekarang yang kian gersang dengan mata air Islam kepada dunia Islam yang sebenar. Perjuangan untuk memindahkan manusia daripada satu dimensi kehidupan kepada satu dimensi kehidupan yang lebih baik menuntut kepada kesungguhan dan komitmen yang tinggi dan upaya yang berterusan tanpa rasa lemah dan mudah berputus asa.

GAMIS mengimpikan al-sahwah al-fikriyyah yang tercerna melalui kesungguhan gerak kerja ahli-ahli GAMIS di semua kampus. Kita ingin tegaskan bahawa kita mahu menyahkan fenomena budaya acuh tak acuh dengan gerak kerja dakwah. Kita tidak mahu ahli GAMIS rentung dalam dunia retorika yang hanya melaung tetapi tidak bertindak, bercakap tetapi tidak beraksi, mengkritik tetapi tidak konstruktif. Dakwah bukannya kata-kata keramat yang ada kuasa tersendiri, sebaliknya dakwah adalah praktikal, kerja, dan lebih banyak “memberi” dari “menerima”. Tiada guna dakwah jika tahu tetapi tidak mahu melaksana. Tiada guna juga mahu tetapi tidak mampu bertahan dengan karenah mad’u.

GAMIS mahu mengintegrasikan antara idealisme dengan aktivisme. Kita tidak mahu ahli-ahli GAMIS mandul upaya dan eksistensi dalam melestarikan renstra (rencana-rencana strategik) yang munazzamah dan al-nahdah al-harakiyah (kebangkitan yang dirasai oleh orang lain, bukan “syok sendiri”). Kebejatan sosial, budaya kuning yang kian menular, meluasnya penderhakaan, mampatnya hiburan, rosaknya pemikiran, semuanya saya tegaskan merupakan perancangan dan konspirasi musuh Islam dalam melembapkan bahkan menghapuskan umat Islam dari mukabumi. Mereka tidak kisah sekiranya kita tidak mengikut agama mereka asalkan kita mengikut budaya dan pemikiran mereka sehinggalah ke lubang biawak sekalipun. Ambillah pengajaran daripada kejadian makhluk kecil seperti serangga perosak tanaman kobis plutella yang sehingga hari ini tidak ada racun yang mampu melenyapkan serangga itu disebabkan perubahan demi perubahan selepas ancaman racun yang dikenakan padanya.

PAKSI KETIGA : TAJAMKAN AGENDA SIASAH UNTUK MELAHIRKAN FUTURE LEADER

Wahai para pencinta keadilan,

Saya ingin tegaskan bahawa GAMIS mesti memperjuangkan politik nilai (value political movement) dan kuasa moral (moral force) yang merentasi politik kekuasaan (power political movement), dalam menjana satu biah yang solehah. GAMIS mesti bergerak sebagai satu gerakan yang bertindak untuk memperbetulkan nilai sosial yang kian songsang melalui gagasan social engineering. Sebab itulah kita tidak pernah gentar untuk memberikan teguran bukan sahaja kepada kerajaan malah parti pembangkang itu sendiri. Budaya nilai, bukan budaya kekuasaan. Budaya nilai adalah budaya yang telus lagi mulus. Budaya perjuangan nilai tidak terperangkap dengan budaya memperjuangkan kekuasaan sebagaimana yang berlaku dalam kancah dunia politik. Nah, saya tegaskan! GAMIS mesti bebas daripada rantaian kepartian. GAMIS mesti kaya dengan pandangan tersendiri dan miliki kredibiliti yang sukar digugah dan digugat. Atas dasar menggalas sumpah bahawa “ agama itu nasihat” kepada sesiapa sahaja, GAMIS mesti berani untuk memberikan teguran tanpa berselindung kepada mana-mana pihak dengan kita jelas memahami satu perkara yang tidak perlu saya terangkan secara jelas di sini, bahawa kita sudah punya bai’ah, namun manifesto dan terjemahan bai’ah itu tidak perlu kita zahirkan demi kebaikan yang merata.

PAKSI KEEMPAT : MENJUARA ISU-ISU KEWANITAAN SECARA TEPAT DI ARUS PERDANA

Kekuatan kuantiti yang dimiliki muslimat sekarang menyaksikan muslimat memegang peranan sangat penting dalam meneruskan kesinambungan kecemerlangan GAMIS. Oleh itu, HELWANI GAMIS yang mewakili “womens’ wing” di dalam GAMIS harus tetap lurus dengan perjuangan asasinya atau ‘basic job’ iaitu; menggerakkan semua muslimat untuk bersama-sama membantu menjayakan agenda perjuangan GAMIS melalui segenap cara di samping menjuarai isu-isu yang berkaitan wanita.

Agenda pemerkasaan HELWANI akan datang harus terlebih dahulu menganalisa masalah utama yang melanda masyarakat. Kedudukan Malaysia yang sedang pesat membangun dan sedang membina nama di persada dunia menyaksikan rakyatnya didominasi oleh dua golongan iaitu golongan sederhana atau ‘middle class’ di bandar-bandar dan pinggir bandar - yang berpendidikan dan terdedah kepada isu-isu yang berlaku di dalam dan luar negara - dan berpendapatan sederhana. Golongan kedua yang juga besar kuantitinya adalah golongan luar bandar. Negara sekarang sedang berhadapan dengan ketidakstabilan yang sedikit sebanyak menyaksikan rakyat terhambat di dalam kekeliruan dan keserabutan dunia politik dan ekonomi yang tidak menentu. Akhirnya ada sesetengah daripadanya menjadi taksub membabi buta atau liberal keterlaluan di dalam menilai sesuatu isu atau masalah. Hasil daripada mentaliti yang keliru ini akan menatijahkan banyak tindakan-tindakan yang tidak tepat.

Maka adalah diharap HELWANI GAMIS di dalam rangka awalnya mengorak langkah maju ke hadapan tidak sama terjebak di dalam kekeliruan dan keserabutan berfikir masyarakat sekarang. Agenda membetul dan meluruskan mentaliti dan fahaman muslimat sangat penting agar respon dan tindak balas yang diberikan terhadap apa sahaja permasalahan ummah adalah tepat dan relevan.

Pemerkasaan muslimat tidak terhenti setakat itu sahaja, HELWANI GAMIS juga diharap menggerakkan muslimat melalui apa sahaja wadah untuk mengembalikan muslimat ke dalam arus perdana dunia. Perjuangan dunia Islam kini menuntut kita sentiasa maju dan peka dengan setiap isu berkait akademik, isu ekonomi, isu politik, isu sosial, isu alam sekitar, isu antarabangsa dan domestik. “Berada di bawah gelas kaca” tidak boleh terus menerus dijadikan budaya di dalam jamaah ini. Jika perubahan mentaliti dan sikap ini dapat dijayakan, muslimat akhirnya diharap dapat menyumbang seoptimum mungkin melalui pelbagai channel ke arah kecemerlangan ummah, lantas menyelesaikan masalah keciciran golongan muda dari arus perdana yang hanyut dalam hiburan keterlaluan dan hal remeh-temeh.

Di samping meneruskan perjuangan muslimat yang punya kelainan dan keunikannya yang tersendiri, muslimat GAMIS mestilah tetap terus dengan kebersamaannya bersama muslimin di dalam menjayakan pelbagai agenda bersama. Prestasi cemerlang yang dipamerkan muslimat dalam pelbagai lapangan adalah aset penting untuk melahirkan ummah yang lebih berdaya saing akan datang.

PAKSI KELIMA : TINGKATKAN DAYA KEINTELEKTUALAN AKTIVIS

Era tahun 90-an menyaksikan zaman kejatuhan gerakan mahasiswa Islam sesudah ia mencapai zaman kegemilangannya pada tahun 80-an. Entah di mana silapnya, gerakan mahasiswa Islam hari ini seperti kehilangan arah. Tiada pemikiran terbuka, tidak kritikal, tahap keupayaan intelektual yang rendah, sangat dogmatik dan cenderung untuk menolak idea-idea lain yang dilihat bertentangan dengan pandangannya atau pandangan bapak-bapaknya yang terdahulu. Adakah kerana kemalasan untuk membaca dan menelaah bahan-bahan bacaan baru masakini, menyebabkan pengartikulasian hujah juga lemah dan tidak meyakinkan serta mudah pula dibidas. Ini menyebabkan isu-isu yang cuba dibawa oleh mahasiswa Islam tidak berupaya untuk mempengaruhi mahasiswa-mahasiswa yang lain. Kelemahan di dalam pengartikulasian isu adalah kesan dari kurang membaca dan kurang diskusi dan justeru itu analisa yang dihasilkan oleh mahasiswa Islam tentulah cetek dan tidak mendalam (sharp). Bahkan, kebanyakan mahasiswa Islam lebih cenderung mengangkat isu-isu moral dan isu-isu “kulit” seperti isu konsert, isu percampuran lelaki perempuan, isu aurat, isu tubuh perempuan, isu tudung, isu muzik, isu gaya hidup dan yang lainnya sebagai isu utama. Sedangkan isu-isu “isi” yang lebih mustahak seperti isu keadilan, isu kebajikan mahasiswa, isu rakyat, isu demokrasi, isu pendidikan, isu hak asasi dan isu-isu yang melibatkan semua mahasiswa dari pelbagai kaum, agama dan budaya sering gagal diartikulasikan dengan baik oleh mahasiswa Islam.

Teman – teman sepejuanganku dunia akhirat,


Realitinya, gerakan mahasiswa Islam hari ini gagal untuk pergi lebih jauh dari perjuangan “politik simbol” dan yang bersifat “kulit” ini berbanding falsafah atau isi Islam itu sendiri di dalam kerangka perjuangannya. Kerana itu perjuangan persatuan-persatuan mahasiswa Islam (PMI) cenderung menjadi “eksklusif” dan hanya merangkumi mahasiswa Melayu-Islam sahaja sedangkan realiti di dalam kampus universiti (dan juga negara Malaysia) terdapat pelbagai kelompok lain seperti Cina, India, Iban, Kadazan, Serani, Orang Asli dan sebagainya yang juga merupakan kelompok yang harus dirangkumkan di dalam gagasan perjuangan PMI yang lebih bersifat “inklusif” . Kita harus ingat selalu, orang Islam di negara ini hanya 54% daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia!. Kegagalan untuk aktivis mahasiswa Islam mengemukakan pemikiran dan gagasan-gagasan perjuangan yang sesuai dengan konteks masyarakat Malaysia yang plural, kelemahan mengartikulasi isu-isu isi dengan baik dan kecenderungan untuk membawa isu-isu moral dan kulit serta obsesi berlebih-lebihan terhadap ritual dan simbol agama adalah antara faktor-faktor kenapa kelompok mahasiswa gerakan Islam ini semakin terpinggir dan menjauh dari masyarakat mahasiswa yang lain. Kejatuhan kelompok mahasiswa Islam ini tidak akan berhenti, malah semakin lama ia akan semakin jatuh dan tidak akan naik-naik lagi kecuali beberapa perubahan radikal berlaku di tahap pemikiran dan gagasannya

PAKSI KEENAM : TERAPKAN BUDAYA KERJA GAMIS

Dalam proses menggilap potensi ahli bagi melahirkan world-class leaders, maka saya menyeru seluruh saf pimpinan kampus untuk meningkatkan takat keilmuan dan kadar thaqafah dengan membudayakan tradisi membaca bahan-bahan yang berat sifatnya, mewacanakan pemikiran-pemikiran dan isu-isu semasa dalam mempertajamkan sudut pandang politik, menghidupkan budaya brainstorming yang berterusan, berdampingan dengan tokoh-tokoh ilmuan yang berpandangan jauh di samping cuba semampu mungkin untuk menguasai maklumat-maklumat antarabangsa. Read to lead, hapuskan culture of inferiority complex, diskusikan tokoh-tokoh, wacanakan pemikiran dan upaya berfikir di luar batasan sempadan kebiasaan, lateral bukannya vertikel, luas bukannya sempit, mencair bukannya membeku. Jangan sesekali kita terperangkap dengan himpitan information super highway tanpa kita sendiri tidak membudayakan amalan mengkaji dan menyelidik.

Budayakan aksi, bukannya budayakan retorika percakapan. Cukuplah selama ini kita dengan perjuangan air liur, kita mahukan tindakan yang menceritakan siapakah kita. Kita tidak mahukan ahli yang hanya pandai mengkritik tetapi tidak memberikan cadangan yang prolifik. Kita tidak mahu gerakan kita ditegakkan dengan bahasa mulut semata-mata bahkan kita mahukan ia tertegak melalui bahasa tindakan, praktikal dan juga jihad. Namun kita tidak menafikan al-ihatah al-nazariyyah (pencermatan teori) dalam meneguhkan tindakan. Kita yang ingin memimpin politik negara (initiator), bukannya kita terikut-ikut (reactor) dengan politik negara. Mahasiswa yang sepatutnya mencipta dan menggores suasana, bukannya mahasiswa yang terikut-ikut dengan suasana.

Maka teladanilah ashab Yaa Siin yang rela tubuhnya dicincang-cincang demi mempertahankan kebenaran. Contohilah ashab al-kahfi yang merempuh kebatilan walau dihimpit konspirasi terancang. Telitilah perjuangan ghulam al-dakwah yang tidak kering dengan semangat dakwah dan keberanian yang kental dalam mentalqinkan ashab al-ukhdud. Jadilah seperti golongan ashab al-yamin yang menampilkan cerminan Islamik yang tulen.

Ahli GAMIS juga perlu mengamalkan budaya pantas bertindak, tangkas berfikir, on-call, cepat refleksi, responsif, berdisiplin, tidak banyak alasan, mencari kerja untuk Islam bukannya melarikan diri, rasa ghairah dan sangat berselera untuk memuliakan ummah dan melonjakkan Islam ke tempat asalnya, sentiasa resah mengenangkan nasib Islam yang kian tandus dalam kekejaman musuh yang membenci kemurnian Islam. Saya teringat bagaimana Sa’id Hawwa menceritakan perihal gurunya yang sentiasa bergerak untuk memastikan kebaikan buat Islam seolah-olah Islam merupakan kambing yang akan disembelih.

Ahli GAMIS mesti berani. Ahli GAMIS mesti jangan bersikap bacul, pengecut dan penakut. Ahli GAMIS mesti sedia berkorban. Disebabkan itulah kita ingin menyeru kepada seluruh ahli GAMIS untuk melepaskan diri daripada menjadi mangsa himpitan globalisasi yang kian mengekang. Apa mungkin kita boleh bergerak selaju cahaya jika kita sendiri mengkapankan pemikiran kita dalam dunia kejumudan! Apa mungkin kita mampu mensinergikan gerakan yang lebih energetik jika kita masih berada dalam kepompong lama tidak mahu berubah! Apakah mungkin kita mampu memberikan satu sinar harapan yang baru buat ummah sedangkan pemikiran kita masih berada pada tahun 2000 dan jasad kita berada dalam tahun 2008! Apakah mungkin kita mampu mengejutkan kesedaran kita yang masih tertidur nyenyak dibuai mimpi indah sedangkan kita takut melawan sejarah dan warisan!

Ahli gerakan Islam yang saya cintai,

Bergerak dan terus bergerak. Jangan jadi seperti air yang bertakung sebaliknya mengalirlah sebagaimana seruan al-Syafei. Singa akan terus kelaparan jika ia tidak keluar daripada guanya. Panah tidak akan mengena sasaran jika masih berada dalam busurnya. Think globally, act locally. Jasad berada di kampus, tapi pemikiran seluas negara. Jadilah champion dalam domestik kita dalam mempamerkan keizzahan mahasiswa Islam sehingga memukau seluruh lensa. Sehubungan dengan itulah kita menyeru seluruh ahli kampus untuk mengimplementasikan campus development secara vertikel dan horizontal bukan sekadar konseptual yang terawang-awangan.

PAKSI KETUJUH : PERKASAKAN GAMIS “NEGERI”

Dalam memperkasakan GAMIS secara holistik di seluruh negeri, maka kepimpinan GAMIS melakukan satu transformasi yang bersepadu dengan menghapuskan sistem zon kepada sistem negeri. Perkara ini berdasarkan kepada beberapa tujuan seperti mengatasi masalah ketempangan mutu kepemimpinan kampus, menangani kerapuhan generasi pelapis pimpinan negara yang kian kronik dan membarah, memperkasa wahdah, meneguhkan istiqamah, serta membentuk sofwah al-mukhtarah yang punya abjadiyyat al-khutuwwat dan al-ma’rifah al-maydaniyah yang terpimpin selain mengikis kegersangan ahli daripada igauan idealisme dan kerapuhan eksistensi selaku jurubicara ummah.

Dalam menjayakan agenda bertindak yang jauh daripada omongan kosong ini, kita telah mengadakan program-program untuk pimpinan tertinggi kampus melalui blok zon. Kita cuba sedaya upaya untuk membentuk ketrampilan intelektual melalui wacana-wacana yang bersifat berat dan berjiwa, mencorak kekuatan berfikir melalui slot asak minda dan brainstorming yang mana semuanya bertujuan untuk membentuk kepimpinan yang berdaya dan bernafas segar.

Kita cukup mengerti bahawa terdapat agenda-agenda tersembunyi yang bertujuan mengongkong pemikiran, menjajah keberanian dan emansipasi gerakan melalui racun-racun ideologi berbisa. Namun peremajaan inteligensia dan keampuhan intelektual hasil refleksi keimanan telah bangkit untuk menentang segala usaha pengekangan itu daripada terus berakar umbi dan membekukan kita.

Biarkan saya menyatakan impian saya…

Kita mahukan GAMIS negeri yang tidak mandul teori dan praktikal…

Kita mahukan GAMIS negeri yang tidak kering dengan aksi yang memukau lensa…

Kita mahukan GAMIS negeri yang berani melawan ketakdiran sejarah…

Kita mahukan GAMIS negeri yang mampu menjadi mekanik kepada usaha-usaha tarbiah, siasah, dan dakwah…

Kita mahukan GAMIS negeri yang tidak membeku dalam warisan silam…

Kita mahukan GAMIS negeri yang mampu mempamerkan visual Islamik yang kontemporari…

Seolah-olah, GAMIS seluruh Malaysia sama rentaknya, sama kuatnya, sama teguh dan utuhnya, ibarat mendayung perahu menongkah samudera yang kacau ombaknya, jika patah pendayung, dengan tangan kita sama-sama tongkahkan jua. Ketika itulah, kita akan sama-sama mengepal tangan ke angkasa melaungkan impian kita, bahawa kita mahukan ahli GAMIS yang soleh lagi muslih, bahawa kita mahukan jamaah kampus yang berdaya dan bernyawa, bahawa kita inginkan GAMIS yang akan membuka satu lanskap renaissanse yang baru dalam perjuangan menegakkan Islam agar subur buahnya, menyediakan seramai mungkin bakat kepemimpinan yang bukan calang-calang kepada gerakan Islam dan negara, dan kita tidak teragak-agak untuk menyatakan hasrat terakhir kita, bahawa kitalah kelak yang akan menjadi batu-bata tertegaknya negara Islam yang berdaulat disegani kawan digeruni lawan.

BERSAMA MEMBINA WAWASAN “20 TAHUN KEDUA” GAMIS

“Cara terbaik meramal masa depan adalah dengan mencipta masa depan.” – Peter Drucker

GAMIS semakin mencecah usia mudanya 20 tahun. Dalam memercikkan api perubahan usia ini, GAMIS telah meletakkan visi utama ke arah melahirkan pimpinan dan negarawan yang bertaraf dunia yang kita rangkumkan dalam lenggok bahasanya iaitu “producing world-class leaders”. Kita telah meletakkan wawasan terutama dalam memangkin realiti al-nahdhah al-harakiyyah al-qawiyyah yang berpaksikan keimanan mendalam, keikhlasan mendasar, semangat meluap-luap dan amal yang berterusan.

World-class leaders yang kita maksudkan ialah ahli GAMIS yang berfikir seperti mana negarawan yang melihat daripada skop yang lebih luas dan meletakkan kepentingan Islam melebihi segala-galanya. World-class leaders yang kita maksudkan ialah ahli GAMIS yang turun ke lapangan ummah (down to earth) untuk melihat jerih-perih masyarakat dan mengesat air mata rakyat. World-class leaders yang kita maksudkan ialah ahli GAMIS yang punya nilai integriti dan interpersonal yang mempesonakan. World-class leaders yang kita maksudkan ialah ahli GAMIS yang punya nilai keilmuan dan estetika thaqafah yang mendalam dan meluas. World-class leaders yang kita maksudkan ialah ahli GAMIS yang memadukan antara igauan fantasi dan aksi realiti. World-class leaders yang kita maksudkan ialah ahli GAMIS yang memikirkan secara serius perihal pembentukan daulah Islamiah. World-class leaders yang kita maksudkan ialah sebagaimana yang disimpulkan oleh Anis Baswedan iaitu seseorang tidak dilahirkan untuk negerinya sahaja bahkan dilahirkan untuk dunia. World-class leaders yang kita maksudkan ialah ahli GAMIS yang boleh memimpin bukan ahli yang dipimpin. World-class leaders yang kita maksudkan ialah ahli GAMIS yang profesional dan berkemampuan luar biasa. World-class leaders yang kita maksudkan ialah ahli GAMIS yang berusaha membebaskan manusia daripada azab neraka menuju pencerahan syurga, ingin merasai kedinginan air telaga al-kauthar suapan tangan Rasul yang tercinta dan mencari keredhaan dan maghfirah Allah.

Sidang muktamirin muktamirat yang dikasihi,

Dalam menjayakan usaha untuk melahirkan kepemimpinan bertaraf dunia, maka seyogia dengan itu saya menyeru seluruh akar umbi kepimpinan kampus untuk serius dalam usaha mengupayakan kekentalan tarbiah, mengocakkan kesedaran siasah sehingga kita mampu berpencak bukan sahaja di kampus malah di lapangan ummah yang lebih nasional sifatnya dan menggerakkan enjin dakwah dan kebajikan sepenuh jiwa dan kemampuan kita secara lebih komprehensif sehingga tegarnya Islam di muka bumi Allah yang kita sayangi ini. Saya ingin mengingatkan saudara-saudari sekalian akan tiga peranan kita yang ditegaskan oleh al-Raghib al-Asfahani bahawa kita merupakan hamba Allah yang hanya menyembah Allah dan tidak akan mensyirikkan-Nya dengan sebarang ideologi, khalifah yang menggantikan nubuwwah dalam menegakkan agama dan mentadbir dunia dengannya sebagaimana takrifan al-Mawardi dan kita akan memakmurkan bumi Allah ini dengan merumputkan Islam itu sendiri dirasai oleh setiap jiwa yang bernyawa.

Tarbiah yang kita maksudkan adalah tarbiah melahirkan pakar yang professional dan master dalam bidang masing-masing. Siasah yang kita perlukan ialah kita yang menguasai dan membimbing masyarakat ke arah mencari keredhaan Allah. Manakala dakwah yang kita ertikan ialah menjaga kebajikan setiap orang yang memerlukan dan memasukkan nilai-nilai Islam ke dalam dada mereka sehingga mereka berkeyakinan bahawa Islamlah matlamat akhir hidup mereka.

Kita mahukan semua ahli gerakan kampus ada inisiatif menggerakkan GAMIS, bukan hanya individu-individu tertinggi kepimpinan PMI sahaja. Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah bertujuan untuk memaksa kebatilan menuju jalan mati dan kita akan melaungkan ‘shahmat’ (check-mate) terhadap mereka. Kita mahukan pecahkan budaya lama yang bersifat ortodoks dan pimitif. Perubahan, ya, perubahan. Perubahan, ya, demi perubahan. Perubahan, ya, untuk perubahan.

Kita mahu suatu hari nanti GAMIS akan berjaya menyatukan diri dengan seluruh gerakan-gerakan mahasiswa Islam di Asia khususnya untuk bangkit memimpin dunia dengan acuan Islam yang sebenar. Saya sudahi ucapan saya dengan memetik kata-kata Roger Graudy “ bersikap setia kepada nenek moyang kita (tradisi) bukan bererti mengekalkan abu daripada bara yang ditinggalkan tetapi ialah untuk menyemarakkan obor yang baru.”

Saya mengharapkan agar muktamar ini akan menjadi titik permulaan kepada GAMIS melakar sejarah lebih besar khususnya dalam suasana baru politik Malaysia saat ini.

Allahu Akbar !!!

MOHD DZUL KHAIRI MOHD NOOR,

Presiden,

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia

2007-2008