SALAM ALAIKA YA RASULULLAH...
Layakkah aku jadi ummatmu? Persoalan ini seringkali menghantui aku. Apakah aku layak untuk berdampingan denganmu? Apakah boleh aku menatap wajahmu di syurga kelak? Atau aku hanya menjadi bahan untuk menyalakan api neraka. Ya Rasul, aku sungguh-sungguh berasa takut.
Seringkali dadaku berasa sesak bila mengingatinya.
Aduhai kekasih Allah, dalam ribuan umat yang mencintaimu, apakah engkau akan memegang tanganku yang penuh dengan kekotoran ini? Aku bimbang sekali, jika kelak bukan sahaja tanganku, malah wajahku sendiri pun engkau meluat untuk melihatnya.
Aku tidak menafikan, betapa aku umatmu yang dina dan banyak dengan kantung dosa. Engkau orang yang mulia, sedangkan aku orang yang hina. Aku sedar, hanya mulutku berbicara menyatakan cinta, tapi perbuatan aku jauh sama sekali.
Aku juga bukannya benar-benar berjihad menyebarkan dan memperkukuhkan agama ini. Aku bukan benar-benar mengingatimu dalam erti kata sebenar. Aku bukannya kaki ibadah yang sentiasa melazimi zikir dan istighfar. Aku bukannya orang yang sentiasa menatap dan mentadabbur makna dan isi kandungan al-Quran.
Kata periwayat, jalan hidupmu merupakan suri taulan yang mulia. Tiap inci langkahmu diikuti. Hatta air luirmu sekalipun menjadi rebutan untuk disapu ke muka dan tubuh. Orang mengatakan, wajahmu berseri-seri bak bulan purnama, tutur katamu lembut menawan. Aduhai, hatiku jadi rawan bila mengingati mu.
Ya Rasulullah,
Saban hari aku cuba belajar untuk mencintai mu dengan senantiasa berselawat kepadamu. Aku cuba untuk mengikuti setiap bait-bait pesanan yang kau tinggalkan dalam sunnahmu walaupun sedikit sekali.
Namun, aku masih gagal ya Rasulullah. Gagal dalam membendung diri dari melakukan maksiat terutama maksiat hati dan gagal menghalang maksiat yang berlaku di hadapanku.
Aku takut ya Rasulullah. Bagaimana untuk aku melahirkan pejuang-pejuang Islam dari kantung rahimku kelak sedang aku saban hari hari bermandikan maksiat.
Kadangkala, serasa ingin aku lari dari kehidupan dunia ini. Ku tahan ya Rasulullah setiap kali berdepan dengan godaan syaitan dan nafsu yang buas dan menggila.
Rasulullah yang aku rindui...
Tolonglah doakan hambamu ini agar aku jadi mukminah yang solehah, permata untuk Islam. Thabat dalam perjungan islam yang tercinta ini. Aku kepingin sekali untuk jadi wanita yang cekal dan tabah, punya ketauhidan yang tinggi seperti khadijah, aisyah, khaulah dan semua perempuan yang dalam ada hidupmu.
Walaupun aku seorang perempuan, namun aku beharap moga satu hari nanti aku diizinkan untuk mengucup tanganmu laksana seorang anak dengan ayahnya di syurga kelak. amin..
0 ulasan:
Catat Ulasan