Satu hari seorang adik menangis teresak-esak berjumpa saya.

"Kak, boleh tak kalau kita ambil akak jadi kakak ipar kita. Tolonglah kak, kita kesian tengok abang kita." Luahnya.

"Baru ni kita buka frienster kak min, bakal kakak ipar kita. kita tengok gambar dia teruk sangat kak. Dia dah tak macam dulu, macam masa kita kat sekolah maahad dulu kak. Mak abah tak tahu lagi ni. Kalau mak dengan abah tahu saya yakin tentu diorang suruh abang putuskan hubungan. Abang juga mesti kena rotan teruk." sambungnya lagi.

Bukan tidak terdetik perasaan kasihan di hati adik itu, lantaran sudah berapa kali isu yang sama di luahkan kepada saya. Namun, permintaan tersebut terlalu tinggi amat untuk orang yang sangat dhaif, tidak memiliki apa-apa untuk beri apa-apa seperti saya berbanding abangnya. Maafkan akak adik..

Sebagai senior di tingkatan 4 di sekolah dulu sememangnya saya amat mengenali abang kepada adik sal memandangkan dia merupakan antara barisan pimpinan sekolah yang hebat. Ditambah lagi dengan sttus wara' dan thiqah (kata kawan-kawan saya) menjadikan abang sal seorang yang amat di segani dalam era persekolahan kami di maahad.

Tempohari seorang teman lama saya di Malaysia menggesa saya mengaktifkan semula akaun frienster saya yang telah saya lupa passwordnya dengan membuka akaun baru lantaran hampir tiga tahun saya tidak sign in di laman tersebut.

Entah kenapa hati saya terlalu berat. Tidak tahu bagaimana untuk saya untuk meluahkan pada teman baik saya itu.

Alhamdulilah, gejolak hati saya berakhir dengan penemuan artikel di bawah. Artikel tulisan di bawah saya petik dari blog 'hembusan':

KENAPA SAYA MENINGGALKAN FRIENSTER

Sebab utama saya meninggalkan Friendster adalah demi menjamin kualiti sebuah ikatan persahabatan. Bagi saya, Friendster membuatkan saya kurang menghargai rakan-rakan, sama ada yang dekat atau jauh, yang mengelilingi diri saya. Sejak zaman turunnya Nabi Adam dari syurga, dan sejak manusia buat kali pertama tinggal di atas muka bumi, ikatan persahabatan tidak berfungsi seperti hari ini.

Di zaman mereka, persahabatan bermakna pertemuan dan perpisahan. Kadang-kala perpisahan itu ada pertemuannya sekali-sekala, dan kadang-kala terus lesap macam asap. Persahabatan hari ini, yang dibantu dengan teknologi Friendster menjadikan erti persahabatan itu sebagai sebuah pertemuan (dan sebuah pertemuan), dan tiada perpisahan. Akibatnya, persahabatan menjadi online 24 jam, 7 hari seminggu, walaupun seorang di benua Amerika, dan rakannya itu pula di benua Asia.

Bagi saya perpisahan (atau lama tak jumpa dan tahu khabar) menjadikan saya menghargai rakan-rakan yang ada. Saya dapat merasakan perbezaan ketara apabila bertemu dan berbual di dunia nyata dengan rakan yang ada di dalam senarai Friendster saya berbanding rakan yang tiada Friendster. Borak saya dengan rakan bukan Friendster, yang lama tidak berjumpa, adalah lebih bermutu dan menyeronokkan. Ini memandangkan saya tidak tahu langsung apa-apa tentang perkembangan dirinya. Jadi perbualan akan lebih menarik. Dan inilah dia persahabatan! Kamu bertemu, kamu berpisah, dan kemudian kamu bertemu lagi untuk bersembang hal-hal menarik sepanjang kamu berpisah.

Kalau kamu sudah tahu bahawa rakan kamu sudah berkahwin dan sudah ada anak, dan anda tahu berita gembira ini hanya dengan melihat profil Friendsternya, apakah tidak pelik dan janggal untuk bertanya kepadanya apabila bersua muka di alam nyata, "Eh, engkau dah kahwin ke?" Saya rasa tidak seronok mengetahui berita tentang rakan saya hanya dengan melihat profil dan gambar-gambar yang diletakkan di profil mereka. Memang faedahnya kita akan dapat mengetahui perkembangan terkini sahabat handai, tetapi adakah PERLU bagi kita untuk mengetahui perkembangan mereka pada setiap bulan, atau pada setiap minggu, atau pada setiap hari, atau pada setiap jam? Adakah perlu? Dan adakah ini menjamin kualiti dalam persahabatan?

KUALITI

Saya berpendapat persahabatan begini kurang kualitinya. Saya lebih rela lama tidak berjumpa kawan yang saya ada dan kemudian tiba-tiba berjumpa mereka 10 tahun di akan datang. Ini lebih menarik dan mengujakan. Berjumpa kawan, sama ada yang jauh atau dekat, tiap-tiap hari di Friendster adalah sesuatu yang sangat membosankan. Ada orang berhujah bahawa sebab utama dia menyertai Friendster adalah untuk mencari semula kawan-kawan lama.

Memang betul. Friendster meningkatkan kebarangkalian untuk bertemu semula dengan teman-teman lama. Selalunya, apabila mereka bertemu kembali dengan kawan lama di Friendster, mereka akan berasa sangat-sangat terkejut, terkesima, dan teruja. Ada juga rasa riang di dalamnya. Kemudian mereka saling bertukar-tukar testimonial dan mesej dengan sangat kerap.

Namun, kekerapan ini semakin berkurangan apabila masa semakin menuju ke depan. Testimonial yang pada awalnya saling bertukaran 2 kali sehari, akhirnya bertukar kepada sebulan sekali, dan akhirnya 3 bulan sekali. Dan apabila masa semakin lagi bergerak, testimonial yang pada dulunya memiliki aroma seperti "Eh, bestnya jumpa kau. Apa cerita kau sekarang..bla..bla..bla.. (panjang sangat nak tulis)", akhirnya berubah menjadi "Eh, kau ni memang la. Takkan setakat lalu aje kat profile aku. Alang-alang dah lalu tu, bagi la testimonial".

Di samping itu, perkembangan sahabat lama kita akhirnya tidak lagi diberitahu in-person. Sebaliknya kitalah yang perlu membuka profil mereka untuk mengetahui apa cerita mereka sekarang. Sounds familiar? Percayalah, dengan tidak memiliki Friendster, anda pasti akan menemui sesuatu yang lebih menarik dan mengujakan dalam setiap ikatan persahabatan yang terjalin.

Ketika ibu saya kecil, dia memiliki seorang rakan baik. Namun demikian, mereka berdua telah berpisah. Pada satu hari, kira-kira 40 tahun kemudian, ibu saya mendapat panggilan telefon dari seorang wanita. Wah, rupa-rupanya si pemanggil itu adalah rakan ibu saya sewaktu kecil! Dari mana dia dapat nombor telefon rumah saya, saya sendiri pun tidak tahu. Tetapi, ada udang di sebalik batu rupanya.

Dia menelefon ibu saya untuk menjemput menghadiri kenduri kahwin anak lelakinya. Anak lelakinya adalah salah seorang anggota kumpulan rap yang sangat terkenal kira-kira 10 tahun dahulu (maaf saya rahsiakan nama kumpulan itu). Sebelum berlakunya kenduri kahwin itu, agak kerap juga ibu saya dan dia berbual di telefon. Selalunya dia yang akan menelefon ibu saya. Tetapi setelah perginya majlis itu, tidak pernah rasanya dia menelefon ibu saya. Apabila kakak saya kahwin pula, ibu saya menjemputnya datang, dan Alhamdulillah, jemputan itu berjaya ditunaikan olehnya.

Dan kemudian mereka berdua berpisah lagi. Sudah jarang menghubungi. Inilah persahabatan. Bertemu dan berpisah. Datang dan pergi.

Namun, ada sesuatu yang perlu kita sedar. Perpisahan bukan bermaksud terus melupakan. Sebab itu pepatah Melayu berpesan kepada para suami, "Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan". Orang tua-tua kita bukan menyuruh suami meninggalkan isteri di rumah untuk menggatal dengan perempuan lain. Sebaliknya, mereka menasihati suami supaya pergi jauh sekali-sekala dari rumah, dan apabila pulang, pasti akan terbit lebih rasa kasih sayang di antara suami dan isteri. Ini kerana jarak dan perpisahan akan melahirkan lebih rasa sayang di hati manusia. Maka, perpisahan juga akan menjadikan sebuah persahabatan itu lebih berkualiti.

KESAN PSIKOLOGI

Kesan psikologi komuniti sosial maya mungkin masih belum kita rasakannya. Setakat pengetahuan saya, masih tiada lagi sebarang kajian ilmiah untuk mengkaji kesan Friendster, MySpace dan sebagainya kepada psikologi manusia. Saya cuma berteori, kesannya hanya dapat kita lihat kira-kira 20 tahun dari sekarang. Friendster adalah sesuatu yang baru dan ia masih lagi dalam proses bertatih. Belum pun lagi mencecah separuh dekad usianya. Friendster semakin mendapat tempat di hati ramai orang. Semakin ramai orang yang lebih suka bersosial di Friendster dan Yahoo Messenger berbanding di alam nyata. Tidakkah ini berlawanan dengan fitrah manusia?
Kadang-kadang saya berasa aneh apabila melihat gelagat manusia yang begitu asyik melayan rakannya di komputer, sehingga rakan yang ada di sebelahnya dilayan acuh tak acuh (saya juga kadang-kala terjebak dengan perbuatan tak bagus ini).

Pernah sekali saya memasuki bilik rakan saya. Di bilik itu ada 3 orang penghuni. Sebelum saya masuk, saya sangka tiada orang di bilik itu kerana senyap sunyi sungguh. Tiada suara manusia. Jika ada semut bersin, mungkin saya akan mendengar bersinan semut itu. Rupa-rupanya, masing-masing sibuk dengan internet, YM dan Friendster.


Inikah persahabatan yang kita mahukan? Persahabatan yang kurang menghargai sahabat yang ada di sebelah? Saya mahu sembang-sembang dengan mereka pun rasa teragak-agak memandangkan masing-masing sudah hanyut di internet. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk keluar sahaja setelah bertanya satu dua patah soalan yang dijawab secara sambil lewa.

Dari kesan psikologi yang lain, apa akan terjadi kira-kira 20, 30, 40 tahun dari sekarang, apabila banyak profil di Friendster yang menampilkan profil-profil orang yang sudah mati. Saya rasa, sesuatu yang agak depressing apabila melihat satu demi satu rakan-rakan Friendster kita meninggal dunia. Jika anda adalah rakan MySpace kepada mangsa pembunuhan bersenjata yang dilakukan oleh Cho Seung Hui di Virginia Tech, apa yang mungkin anda rasa sekarang?1
MEMBUANG MASA

Masa juga menjadi sebab utama mengapa saya meninggalkan Friendster. Kebanyakkan orang memiliki alasan ini untuk meninggalkan Friendster. Seorang rakan saya, memberitahu bahawa semasa di zaman Friendsternya, secara purata dia menghabiskan 3 jam sehari melayari Friendster. Ya, 3 jam. Oleh kerana sehari ada 24 jam, maka dia menghabiskan 1/8 waktu hariannya di Friendster.

Saya pula dalam 1 jam sehari. Tapi apa yang saya dapat dalam 1 jam melihat profil sekian-sekian orang, yang kadang-kala tiada kaitan langsung dengan diri saya? Saya mungkin tidak mendapat dosa dengan melihatnya (belum tentu lagi), tapi saya yakin saya telah melakukan sesuatu yang lagha dan tidak ada manfaat, baik bagi kehidupan dunia mahu pun akhirat. Kalau ada manfaat dunia, masih okay lagi, tetapi apabila saya memikirkan tiada langsung manfaat dunia dan akhirat, lebih bagus saya belajar buat roti canai.

Di dalam bab fiqh Islam, ada satu masalah furu' yang bersifat khilaf tentang hukum bermain catur. Para fuqaha berbahagi-bahagi pendapat tentang hukumnya. Pendapat majoriti fuqaha mazhab Hanbali adalah haram bermain catur, dan hukum haram ini adalah hukum paling kuat ataupun rajih di dalam mazhab Hanafi.

Ada juga ulama yang mengelaskan hukum bermain catur sebagai jatuh dalam grey area. Malah ada juga ulama-ulama besar yang mengatakan harus hukum bermain catur. Dalam mazhab Shafi'i pula, hukum bermain catur tidaklah haram, cuma ia tidak digalakkan.


Namun demikian, secara umumnya hukum pelbagai jenis yang dikeluarkan oleh para fuqaha itu ada melibatkan konsep masa. Ulama-ulama ini bimbang kalau-kalau umat Islam terlalu asyik dan leka bermain catur.

Para ulama adalah golongan manusia yang benar-benar memahami dan menghargai nikmat masa yang Allah kurniakan ke atas kita. Bagi mereka, satu saat yang digunakan secara sia-sia akan membuatkan manusia menangis dan benar-benar menyesal di hari Akhirat nanti.

Bayangkan, bagaimana agaknya kalau para ulama yang mengeluarkan hukum bermain catur itu masih lagi hidup pada hari ini, dan kemudiannya mereka melihat pemuda-pemudi Islam menghabiskan banyak masa mereka di Friendster, MySpace, X-Box, PS3, anime, soap opera, Yahoo Messenger, dan sebagainya? Ini realiti remaja Islam sekarang. Perjuangan Islam memerlukan tenaga orang muda.

Adakah orang muda Islam hari ini mampu melakukan sehebat Sultan Muhammad al-Fatih yang berjaya menawan kota Istanbul (Constantinople) dari cengkaman Empayar Byzantine ketika usianya baru sahaja 21 tahun?

Saya sudah pun melepasi had umur 21 tahun, dan saya masih tidak melakukan sumbangan besar kepada Islam. Adakah anda mampu memecahkan rekod Sultan Muhammad al-Fatih, seperti dengan membebaskan kota Palestin dari rejim Zionis pada usia 20 tahun?

Mungkin itu terlalu besar bagi diri kita. Ibarat mahu mengumpul bintang-bintang di langit. Taqwa kita dan taqwa Sultan Muhammad al-Fatih besar bezanya. Taqwa yang lemah tidak mampu menggentarkan Zionis dan musuh-musuh Islam yang lain. Maka, kita beralih kepada sesuatu yang lebih kecil.

Bolehkah kita pada hari ini, sekurang-kurangnya membaca setengah juzuk Al-Quran setiap hari? Angkat tangan siapa boleh!

Saya tahu, tak ramai yang mampu. Setengah juzuk Al-Quran hanya memerlukan kira-kira 30 minit untuk membacanya. 30 minit terasa seperti 30 jam apabila orang-orang yang berhati kotor membaca Al-Quran. Tetapi kita dengan mudah mampu melayari Friendster sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari. Aneh bukan?

Mungkin ini ada kaitannya dengan teori relativiti yang dikemukakan oleh Albert Einstein. Satu petikan kata-katanya untuk menjelaskan teori relativiti yang kompleks ke dalam bahasa yang mudah difahami oleh orang awam ialah:

"Put your hand on a hot stove for a minute, and it seems like an hour. Sit with a pretty girl for an hour, and it seems like a minute. That's relativity."Agaknya pada hari ini, tidak salah kalau saya mengatakan bahawa umat Islam, tanpa mereka sedari telah memiliki satu rumus paradigma: hot stove = Al-Quran, dan pretty girl = Friendster.


PERUBAHAN

Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan saya tentang Friendster. Tidak mengapa. Saya tidak paksa anda untuk meninggalkannya secara serta-merta. Sebab itu artikel ini bertajuk Kempen Menjauhi Friendster, dan bukannya Kempen Memboikot Friendster.

Saya tidak syadid atau keraskan perkara ini kepada anda. Saya hanya syadid pada diri saya sendiri. Saya bimbang kalau-kalau saya ketagih Friendster, maka saya gunakan kaedah cold turkey3 untuk mengatasinya.

Bagaimana saya mampu untuk menghalang manusia dari menyertai komuniti sosial maya ini, sedangkan ia semakin menjadi budaya kehidupan manusia zaman moden? Pada tahun 2006, carian utama di Google adalah Bebo (tangga pertama) dan MySpace (tangga ke-2)4. Bebo juga merupakan satu lagi rangkaian sosial maya yang semakin meraih populariti masyarakat dunia. MySpace, Bebo, Friendster, dan lain-lain, adalah realiti hari ini.

Tapi percayalah, hati manusia itu sifatnya sentiasa berubah. Mungkin hari ini anda memandang Friendster itu sebagai sesuatu yang elok dan bermanfaat. Saya juga begitu satu ketika dahulu. Tetapi, apabila alam ini semakin mendewasakan saya, pandangan dan paradigma saya telah berubah.

Sama ada kita sedari atau tidak, satu hari nanti kita pasti akan berubah dan menjadi semakin dewasa (hanya semata-mata anda berumur 40 tahun, itu tidak bermakna anda telah dewasa). Muhammad Ali, bekas jaguh tinju termasyhur di dunia pernah berkata:
A man who views the world the same at fifty as he did at twenty, has wasted thirty years of his life.

Satu hari nanti, apabila datang detiknya anda tiba-tiba terfikir untuk meninggalkan alam Friendster, maka janganlah ragu-ragu untuk melaksanakannya. Sedangkan pengasas Friendster sendiri, iaitu Jonathan Abrams juga telah meninggalkan Friendster, mengapa anda juga tidak boleh? Apa yang bezanya, selepas Jonathan Abrams meninggalkan Friendster, beliau telah melabur di dalam sebuah kelab malam di San Francisco, iaitu Slide. Dan kemudian mengasaskan satu lagi rangkaian sosial lain, dinamakan Socializr pada tahun 2006.

Jonathan Abrams mengasaskan Friendster dan Socializr dengan matlamat asalnya yang berbeza. Beliau mendapat idea menubuhkan Friendster setelah dia gagal dalam percintaan. Jonathan Abrams tidak boleh hidup tanpa kehadiran wanita di sisinya. Maka dengan kewujudan Friendster, ia akan membantu Jonathan Abrams untuk mencari teman wanita yang baru yang cantik5.

Socializr pula diwujudkan dengan bisnes dan wang sebagai matlamat utama setelah Friendster memasuki zaman suramnya (yang akhirnya membawa kepada penarikan dirinya dari syarikat yang diasaskan olehnya ini).

Kita selaku umat Islam, janganlah setelah meninggalkan Friendster dan kemudian terlibat aktif pula di dalam MySpace! Kita umat Islam mesti memiliki pandangan hidup yang berbeza dengan mereka yang bukan Islam.

Matlamat kita akhirat, bukan dunia. Dunia adalah alat, dan akhirat itu matlamat. Maka gunakanlah alat-alat yang ada di dunia ini dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, setelah kita menarik diri dari Friendster, fokuskan usaha kita pada perkara-perkara yang lebih membawa manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Bak kata Sidi Ahmad al-Zarruq6 di dalam wasiatnya:
"Berkerjalah di dunia ini seolah-olah kamu akan hidup selamanya, tetapi beramallah untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari."


MENCARI SAHABAT
Gunakanlah Friendster secara ala kadar. Jangan terlebih-lebih kadar. Dan jangan fikir dengan ada beratus-ratus orang kawan di dalam senarai sahabat Friendster anda, itu menandakan anda sangat popular dan memiliki ramai kawan. Sahabat baik susah dicari. Sebab itu Rasulullah saw sendiri pernah bersabda di hampir penghujung usia Baginda, yang maksudnya lebih kurang,
"Orang yang paling aku percayai adalah Abu Bakar. Jika aku mahu mengambil seorang sahabat baik, nescaya aku memilih Abu Bakar di tempat itu."

Semua umat Islam kenal Abu Bakar as-Siddiq. Beliau merupakan lelaki pertama yang benar-benar percaya kepada wahyu Allah yang dibawa oleh Rasulullah, di kala ramai orang mengatakan Nabi sudah terkena penyakit gila dan schizo. Beliau adalah seorang lelaki yang sanggup mengambil risiko menemankan Rasulullah dalam hijrah Baginda dari Mekah ke Madinah walaupun dirinya sentiasa berada di dalam keadaan ketakutan sepanjang perjalanan hijrah tersebut. Beliau adalah salah seorang dari 10 orang sahabat Nabi yang dijanjikan Syurga. Beliau adalah seorang lelaki yang apabila dibentangkan Syurga dan Neraka di hadapannya, pasti tidak akan bertambah lagi keyakinannya terhadap segala janji dan ancaman Allah kerana keimanannya sudah berada di tahap paling maksimum.

Beliau jugalah yang berkata, "Jika sebelah kaki aku berada di dalam Syurga dan sebelah lagi di luar, maka aku masih lagi berasa tidak selamat. Jika kedua-duanya sudah berada di dalam Syurga, barulah aku boleh berkata Alhamdulillah."

Abu Bakar begitu istimewa. Beliau adalah sebaik-baik calon sahabat idaman. Siapa yang tidak mahu menjadikan manusia semulia Saidina Abu Bakar as-Siddiq ini sebagai seorang teman sejati? Namun demikian, apabila menyentuh tentang konsep persahabatan, Nabi tetap mengatakan "Jika aku mahu mengambil seorang sahabat baik, nescaya aku memilih Abu Bakar di tempat itu." Padahal, Abu Bakarlah antara manusia yang paling rapat dengan Nabi di sepanjang perjuangan Baginda menyebarkan dakwah Islam yang penuh dengan ranjau dan duri.

Apa yang boleh dikatakan di sini, sesungguhnya seorang sahabat sejati itu sangat sukar dicari.

Sidi Ahmad al-Zarruq sekali lagi di dalam wasiatnya menasihatkan supaya mencari seorang teman baik bagi menolong kita di dalam urusan-urusan duniawi dan akhirat. Dan dalam masa yang sama juga, beliau memberikan amaran bahawa sahabat baik yang benar-benar berada di sisi kita dalam keadaan susah dan senang adalah amat sukar dicari (jangan lupa bahawa Sidi Ahmad al-Zarruq hidup pada 846-899 Hijrah, iaitu lingkungan tahun 1400-an. Di zaman itu pun susah untuk mencari sahabat baik, maka apatah lagi di zaman 2000-an yang semakin materalistik ini).

Ada orang yang suka bermegah-megah dengan ramainya kawan yang mereka ada. Tapi betulkah kawan yang mereka ada itu benar-benar seorang kawan? Ketahuilah bahawa anda sebenarnya tidak memiliki ramai kawan.

Oleh itu jika anda memiliki seorang kawan baik, anda sebenarnya terdiri dari golongan yang sangat bertuah di dunia. Dan jika anda ada dua orang kawan baik, buatlah sujud syukur banyak-banyak kepada Allah. Ini kerana sahabat akan bersama-sama dengan kita dalam susah atau senang. Dan jangan lupa juga bahawa seorang musuh yang kita ada adalah jauh lebih banyak dari 1000 kawan di sekeliling pinggang.

Kawan yang hanya bersama kita di waktu senang, itu tidak dinamakan kawan. Itu dinamakan parasit. Saya pernah sahaja mendengar beberapa kisah sahih tentang persahabatan dunia moden. Dua orang ini siap pernah berbai'ah, atau pun taat setia. Tetapi apabila yang seorang lagi benar-benar di dalam kesusahan, tiba-tiba rakannya itu tidak mahu menolongnya. Ini kes kawan yang lari di waktu kita susah, belum lagi masuk bab kawan makan kawan, atau kawan tikam belakang.

Untuk bacaan lanjut sahabat-sahabat boleh layari laman di bawah:

http://hembusan.blogspot.com/2007/04/kempen-menjauhi-friendster-1.html
http://hembusan.blogspot.com/2007/04/kempen-menjauhi-friendster-2.html
http://hembusan.blogspot.com/2008/07/generasi-friendster.html#lagi


Moga ada manfaatnya untuk kita bersama.
Salam Juang untuk Islam :)