Artikel kiriman dari ummi dan abu Huzaifah


وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لا تَعْلَمُونَهُمْ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لا تُظْلَمُونَ

Maksudnya:

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya. (Surah al-Anfal : 60)

Muqaddimah

Hadaf / matlamat kita adalah untuk memastikan musuh-musuh Allah yang terdiri daripada golongan Mustakbirin dan Jabbarin, gentar dan tunduk kepada agama Allah swt. Justeru itu, kita mesti memiliki kekuatan semampu mungkin untuk mencapai hadaf kita.

Kekuatan yang dimaksudkan terbahagi kepada dua kategori:

1. Kekuatan ruh:

-iman

fikrah/minda

-f

2. Kekuatan material:

-harta
-tubuh badan

·

Kesimpulannya, Allah swt. mengarahkan orang-orang yang beriman dengan kalimah وأعدوا ( dhomir jama’ pada kalimah tersebut kembali kepada ayat 45 dalam surah yang sama iaitu al-Anfal ).

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُوا وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). (Surah al-Anfal : 45)

Sifat orang beriman ialah thabat ( teguh ) dalam perjuangan untuk menjulang panji kalimah al-Haq dan ianya adalah satu daripada syarat kemenangan .

وَلَمَّا رَأَى الْمُؤْمِنُونَ الأَحْزَابَ قَالُوا هَذَا مَا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَصَدَقَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَمَا زَادَهُمْ إِلا إِيمَانًا وَتَسْلِيمًا مِنْ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلا

Maksudnya: Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (Surah al-Ahzab : 22 - 23)

Muslimat yang dihormati sekelian,

Perlu disedari dan diinsafi bahawa muslimah adalah sayap kiri perjuangan ummat ini demi mengembalikan semula kedaulatan Islam dan kesejagatan umatnya. Suatu sayap yang amat penting posisinya sehingga Allah swt telah menegaskan di dalam taujihat QuraaniNya:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَئِكَ سَيَرْحَمُهُمْ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi Mereka zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuas, lagi Maha Bijaksana. (Surah at-Taubah : 71)

عن عائشة رضي الله عنها قالت : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إِنَّمَا النِّسَاءُ شَقَائِقُ الرِّجَال

( رواه الإمام أحمد و أبو داود و الدارمي وابن ماجه )

Maksudnya: Sesungguhnya perempuan adalah saudara kandung lelaki. (Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, ad-Darimi dan Ibnu Majah)

Lantaran itu, muslimat semestinya berfungsi dan beraksi mengurus dan mentadbir perlaksanaan Amar Maaruf Nahi Mungkar. Justeru, ia adalah suatu kewajipan. Namun suatu realiti yang tidak boleh dinafikan bahawa operasi ini amat sulit dan getir. Ianya tidak semudah yang diungkapkan.

Ia adalah suatu operasi ( kewajipan ) yang terdedah kepada tentangan yang mencabar. Suatu operasi yang terpaksa merentasi ibtila’ dan mehnah. Suatu operasi yang terpaksa menuruni lurah tribulasi. Suatu operasi yang terpaksa berdepan dengan konspirasi musuh yang tidak pernah mengenal simpati.

Muslimat yang dimuliakan,

Projek al-Amru dan an-Nahyu ini memerlukan batalion yang tahan lasak, mampu merentasi risiko, berjiwa cekal dan tabah serta berpengalaman jauh, penuh strategi dan pengalaman.

Projek al-Amru dan an-Nahyu ini memerlukan Sofwah al-Mukhtarah atau Qa`idah as-Sulbah dan`Usbah al-Mukminah. Dalam erti kata lain mereka adalah saf yang gemilang. Mereka adalah muslimat cemerlang.

Projek ini akan gagal sekiranya saf pejuangan ini turut disertai oleh individu muslimat yang penakut dan lemah jiwanya. Projek ini juga akan gagal kiranya batalion perjuangan ini turut disertai oleh individu muslimah yang lesu, beku dan jumud.

Dalam erti kata lain mereka adalah “makhluk perosak” yang menggagalkan strategi perjuangan ini. Mereka adalah muslimat yang pasif, naif, laih dan dhoif.

Persoalannya, bagaimana kita mahu melahirkan Muslimat Cemerlang ini ? Maka risalah ini menjawab segala-galanya.

Muslimat yang dihormati sekelian,

Jawapannya ialah paduan tiga kekuatan. Kekuatan Jismiyyah, kekuatan Ruhiyyah dan kekuatan Fikriyyah. Tiga kekuatan ini melahirkan Muslimah Cemerlang.

1. Kekuatan Jismiyyah / Fizikal

Tidak dimaksudkan dengan kekuatan jismiah ini, muslimat perlu masuk kelab bina badan, kelab Karatedo, Taekwando, Ju Do dan sebagainya. Tetapi ia bermaksud muslimat perlu memiliki susuk tubuh yang mampu memikul beban dakwah dan tanggungjawab perjuangan ini serta berkemampuan juga menanggung risikonya.

Awas ! Setiap perjuangan ini pasti diuji dan dicuba.

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّى نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنْكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu. (Surah Muhammad : 31)

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ

وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

Maksudnya: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (Surah al-Ankabut : 2 - 3)

Kekuatan dan keupayaan fizikal memungkinkan muslimat menunaikan ibadah dan aktiviti taqarrub Ilallah. Hal ini memaksa muslimat menjaga kekuatan fizikal agar tahap keupayaanya mengizinkan muslimat tampil kehadapan, menghadapi segala kemungkinan.

Ertinya, kesihatan dan kemahiran fizikal adalah dua tahap keupayaan yang mesti dimiliki dan ditingkatkan kualitinya[i].

Kita tak mahu gerak kerja dakwah tergendala kerana dua tahap keupayaan ini terlalu rendah.

Contoh: Apabila kita nak menyusun program atau aktiviti, pelbagai alasan yang kita terima dari muslimat; sakit kepala, sakit perut, tak pandai komputer, tak ada pengalaman dan lain-lain.

Keluhan-keluhan sebegini sebenarnya boleh menyebabkan muslimat lari dari tugas perjuangan.

Muslimat yang dihormati sekelian.

Muslimat hari ini mesti bersiap sedia. Cabaran abad 21 memaksa kita untuk segala-galanya. Jangan sampai muslimat terkepong dalam susuk tubuh keperempuanan yang lemah. Sebaliknya, jadilah serikandi laksana Sofiyyah rha[ii].

Perjuangan masa kini memerlukan muslimat mampu mengendali tugas-tugas dakwah dan mahir mengurus sarana dakwah (lomputer, pidato, menulis dll).

Hapuskan realiti negatif bahawa sebahagian besar hidup muslimat adalah lemah/sakit. Sebaliknya jadilah muslimat yang sihat, cergas, cerdas dan berenergi untuk mengharungi badai perjuangan.

2. Kekuatan Ruhiyyah

Kekuatan ruh adalah sinonim dengan kekuatan jisim seperti bidalan Hukama’:

رُهْبَانُ في اللَيْلِ وَفُرْسَاُن بِالنَّهَارِ

Maksudnya: Rahib di malam hari dan kuda yang tangkas di siang hari.

جُنْدِيَّةٌ بَحْتٌ مِنْ نَاحِيَةِ العَمَلِ وَ صُوْفِيَّةٌ بَحْتٌ مِنْ نَاحِيَةِ العِبَادَة

Maksudnya: Tentera yang berdisiplin dalam menjalankan tugas dan sufi yang abid dalam melaksanakan ibadat.

Ruh ibarat nadi, menjadi dinamo untuk menggerakkan semangat perjuangan yang berterusan. Persediaan ruhiyyah ini juga adalah suatu kewajipan utama apabila ia dibias oleh statement Ilahi:

يَاأَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ قُمْ اللَّيْلَ إِلا قَلِيلا نِصْفَهُ أَوْ انْقُصْ مِنْهُ قَلِيلا

أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلْ الْقُرْآنَ تَرْتِيلا إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلا ثَقِيلا

Maksudnya: Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah al-Quran dengan “Tartil”. (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). (Surah al-Muzammil : 1 - 5)

Kekuatan ruh adalah asas kelangsungan perjuangan untuk merealisasikan projek Amar Maaruf Nahi Mungkar. Ia juga satu kuasa dalaman, laksana antibodi yang mampu mengawal diri dari terjerumus dan terseleweng. Suatu kuasa yang menyebabkan muslimah tidak akan menyerah kalah kepada musuh.

Sejarah agung mencatatkan bagaimana Asma’ binti Abu Bakar pada suatu ketika anaknya Abdullah Ibnu Zubair pulang ke rumah walhal ia sedang berperang dengan tentera Hajjaj bin Yusuf ath-Thaqafi. Asma’ dengan tegas menyatakan:

الشَّأْنُ شَأْنُكَ يَا عَبْدَ اللهِ أَنْتَ أَعْلَمُ بِنَفْسِكَ فَإِنْ كُنْتَ تَعْتَقِدُ أَنَّكَ عَلى حَقٍّ وَ تَدْعُوْا إِلى حَقٍّ فَاصْبِرْ وَجَالِدْ كَمَا صَبَرَ أَصْحَابُك وَالَّذِيْنَ قُتِلُوْا تَحْتَ رَايَتِكَ وَإِنْ كُنْتَ إِنَّمَا أَرَدْتَ الدُّنْيَا فَلَيْسَ الْعَبْدُ أَنْتَ أَهْلَكْتَ نَفْسَكَ وِأَهْلَكْتَ رِجَالَكَ .

“Apa yang berlaku terpulanglah kepadamu wahai Abdullah, dan engkau lebih tahu tentang dirimu, maka jika sekiranya engkau yakin bahawa engkau berada di atas kebenaran dan engkau menyeru kepada kebenaran maka bersabarlah dan tabahlah sebagaimana sabarnya sahabat-sahabatmu yang telah gugur di bawah panji perjuanganmu. Dan jika kamu inginkan dunia, engkau telah membinasakan dirimu sendiri dan engkau telah membinasakan sahabat-sahabatmu”.

Khaulah rha dengan kisahnya menghantar tiga orang anaknya ke medan jihad. Setelah semua anaknya syahid beliau menangis kerana tiada lagi anak untuk dihantar ke medan jihad.

Zainab al-Ghazali pula disiksa dalam penjara berkali ganda lebih dahsyat dari seksaan yang dikenakan kepada kaum lelaki. Dilepaskan anjing-anjing garang dan lapar dalam sel tahanannya.

Ini semua wajah-wajah mereka yang memiliki kekuatan ruh sekalipun jasad mereka diratah dan disiat. Sekalipun nyawa terpaksa berpisah dari badan, namun menyerah kalah atau tunduk kepada kuasa taghut dan pengaruh nafsu tidak sama sekali.

Kekuatan ruh bererti kekuatan kekuatan bertawakkal dan tunduk kepada Allah. Beriltizam dengan amal Islami dalam apa jua situasi.

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu jika kamu mengetahui. (Surah at-Taubah : 41)

Kekuatan ruh jua bererti optimis bahawa masa depan bagi adama ini ialah yakin Islam pasti menang. Justeru itu muslimat tidak sewajarnya merasa lemah.

وَلا تَهِنُوا وَلا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمْ الأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

Maksudnya: Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. (Surah Ali Imran : 139)

Kekuatan ruh yang dimiliki oleh generasi terdahulu telah mencatat kemenangan dan sejarah yang gemilang. Selayaknya kita turut mencontohi mereka. Demikianlah anjuran Imam Malik rhm:

لا يَصْلُحُ أخِرُ هذِهِ الأُمَّةِ إلاّ بِمَا صَلُحَ بِهِ َأوَّلُهَا

“Tidak gemilang ummat akhir zaman melainkan kembali melaksanakan apa yang telah menyebabkan ummat terdahulu menjadi gemmilang”.

Apa yang penting kita mesti memiliki tiga prinsip:

1. Iman dan tawakkal: Yakin menang dan berserah kepada Allah. ( Rujuk surah al-Ahzab ayat 22 )

2. Tegas: Tidak berganjak dan cintakan syahid. ( Rujuk surah al-Ahzab ayat 23 )

3. Teruskan dakwah dan istiqamah.

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمْ الْمَلائِكَةُ أَلا تَخَافُوا

وَلا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.

(Surah Fussilat : 30)

Muslimat yang dihormati,

3. Kekuatan Fikriyyah

Umat Nabi Muhammad saw di sepanjang zaman menghadapi musuh berbentuk Ghazwah al-Fikri. Lantaran itu, al-Quran diturunkan dalam bentuk hujah dan keterangan nyata untuk menghadapi mereka.

وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَى لِلْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: Dan Kami turunkan kepadamu al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan bagi orang-orang Islam. (Surah an-Nahl : 89)

Ancaman Ghazwah al-Fikri menjelang abad 21 semakin sengit sementara mufakkir-mufakkir Islami semakin berkurangan. Ini suatu fenomena yang amat membimbangkan kita. Gejala juhala’ berleluasa manakala pengangguran otak sampai ketahap bahaya.

Mereka hanya rasa memadai mendapat sandaran mahasiswa atau mahasiswi, doktor, profesor dan lain lain tetapi malas berfikir tentang amal Islami. Mereka guna sandaran ini untuk cari makan.

Kelemahan ini menyebabkan benteng umah kian rapuh dan mudah ditembusi dengan pelbagai helah licik golongan orientalis. Kita mesti bina kekuatan fikriyyah ini terutamanya muslimat (satu pihak yang pada realitinya amat terkebelakang). Daya fikrah mereka terlalu lemah. Kebanyakan muslimat hanya fikir tentang diri sendiri, hias diri, resipi dan anak-anak. Adapun amal Islami sekadar beramal apa yang rutin.

Islam mesti dilihat secara syumul. Justeru itu, fikrah kita jua mestilah jelas dan syumul juga. Ketajaman fikrah Islami amat perlu di era kini (era maklumat, era manusia berfikir, tetapi mereka berfikir dengan fikiran yang dikuasai oleh fikrah jahiliyyah moden yang hanya berorientasikan fikrah maddiah).

Untuk membina kekuatan ini muslimat mesti berani tampilkan diri, banyak membaca dan mengadakan perbincangan ilmiah.

Apa yang berlaku, muslimat terkebelakang. Usahkan nak jadi pemidato Islami yang mampu mengutarakan fikrah-fikrah Islamiah kepada masyarakat, nak mengemukakan soalan kepada penceramah pun muslimat masih lagi menulis di kertas untuk diajukan.

Perbincangan kita pula banyak berkisar kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah dan remeh-temeh (yang tidak membawa manafaaat kepada jamaah seperti mengumpat, mencela dsbnya). Perbincangan kita seharian di rumah sepatutnya membentuk biah Islamiah. Bincang soal ekonomi Islam, mujtama’ Islami dan sebagainya.

Muslimat yang dihormati sekelian,

Tiga kekuatan ini saling berantaian. Kalau hanya badan sihat, angkat tong gas larat tapi subuh gajah ( lewat ) juga tak menjadi. Kuat beribadat tapi jumud, juga sia-sia. Bukan kita seorang nak masuk syurga. Islam perlu disebarkan dan ini memerlukan pemikiran yang haraki. Kemudian, fikrah jelas dan hebat berfikir tapi sakit gigi sepanjang tahun, sakit kepala sepanjang sesi, sakit urat sepanjang masa ( hanya sihat waktu nak shoping sahaja) nak buat apa.

Akhirnya semua aktiviti dan program tergendala disebabkan muslimat tidak memiliki tiga kekuatan yang telah digariskan.

Penutup

Mulai sekarang muslimat jangan banyak dalih dan lengah. Pastikan tiga kekuatan ini dapat dikumpulkan semaksima mungkin demi Islam dan perjuangannya.

Bila lagi kita nak berubah dan berusaha gigih untuk memiliki kemampuan dan kekuatan ini. Bukankah kita bercita-cita besar untuk menang dan seterusnya mendaulatkan Syariat Islamiyyah di muka bumi Allah amnya dan di tanah air kita khasnya.

Wahai muslimat! Kalau benar ini menjadi cita-cita kita, lupakanlah segala karenah dan masalah peribadi. Telah tiba waktunya kita memberi keutamaan kepada persoalan amal Islami demi masa depan ummah.

* Tulisan oleh Ustaz Nasrudin bin Hj. Hassan at-Tantawi dengan sedikit ubah suai dari artikel asal.


[i] Hari ini orang serang Islam melalui internet. Siapa yang mampu kendali internet? Jangan-jangan kita ni internet pun tak boleh. Hanya main netball sahaja yang boleh.

[ii] Dalam satu peperangan Rasulullah mahu kubu muslimat dikawal oleh para Sahabat sedang kubu itu berada dalam kawasan yang paling bahaya. Arahan Rasulullah tidak segera disahut sehingga Sofiyyah meluru untuk mengawal kubu yang paling bahaya itu. Akhirnya berlaku suatu pertempuran antara musuh dan Sofiah , Sofiah berjaya memenggal kepala musuh lalu dibawa pulang kepada sahabat yang lain.