Apakah pandangan anda jika seorang wanita berkata kepada seorang lelaki, “Sudikan awak mengahwini saya..?” atau "sudikah anda menjadi teman hidup saya?" Mungkin terlintas di hati anda, “Alangkah tak malunya wanita ini..” Atau mungkin juga lelaki yang dipinang oleh wanita itu tadi akan berkata "siapakah perempuan yang berani hendak meminang aku yang hebat ini??" (macam perasan pulak lelaki ni..tapi anda tentu tidak begitu kan? ).
Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar utama pada 1 Julai 2003. Beliau semasa menjawab soalan tambahan di Dewan Negara menyatakan bahawa kementeriannya akan mengadakan program ‘bertemu jodoh’ sebagai salah satu langkah menangani masalah wanita yang berpendidikan tinggi yang lambat berkahwin.
Masalah wanita yang lambat berkahwin sebenarnya bukan masalah yang asing lagi di negara kita. Ia bukan sahaja berlegar di kalangan golongan yang berpendidikan tinggi sahaja malah boleh dikatakan semua lapisan golongan wanita terlibat dalam permasalahan ini. Akhirnya, timbullah gelaran-gelaran yang kurang enak didengar seperti ‘andartu’, ‘andalusia’ dan sebagainya. Sebenarnya, jika diamati antara sebab utama yang mendorong kepada berlakunya gejala wanita yang lambat berkahwin ialah tanggapan negatif masyarakat terhadap amalan ‘perigi mencari timba’.
Adalah menjadi satu hakikat yang tidak boleh dinafikan, apabila pihak wanita memulakan langkah pertama untuk merisik, masyarakat akan mula memandang negatif dan menyebarkan tanggapan-tanggapan yang kurang baik. Malah seolah-olah sudah menjadi satu kemestian bahawa hanya pihak lelaki yang berhak untuk merisik dan meminang. Ini adalah satu tanggapan yang salah sama sekali. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kerana anggapan seperti inilah maka ramai di kalangan wanita yang terpaksa hanya duduk di rumah menunggu pinangan daripada berusaha sedikit untuk mendapatkan jodoh. Asalkan tidak menyalahi syariat Islam, apa salahnya kalau wanita juga berusaha untuk memikat lelaki. Dengan syarat jangan meluahkan secara ‘direct’...sbb ia bukan sahaja boleh merosakkan iman, bahkan mungkin cinta yang asalnya kerana Allah boleh rosak oleh anasir-anasir ‘mainan dan tipu daya syaitan’.
Di dalam Islam, amalan merisik dan meminang bukan hanya dilakukan oleh pihak lelaki. Malah di dalam Al-Quran turut dinyatakan kisah seorang ayah yang menawarkan anaknya kepada Nabi Musa untuk dikahwini. Kisah ini disebut di dalam surah Al-Qashash, ayat 27. Seorang ulama masakini, Dr. Wahbah Az-Zuhaili semasa mentafsirkan ayat ini juga turut membawakan contoh-contoh lain di dalam sejarah Islam yang menunjukkan wakil pihak wanita mengemukakan tawaran untuk dijodohkan dengan mana-mana lelaki. Contohnya Saidina Umar yang menawarkan anaknya Hafsah untuk dijodohkan dengan Abu Bakar dan Usman. Malah seandainya wanita itu sendiri menghantar pinangan sekalipun, ia tidak patut dipandang serong kerana Ummul Mukminin Khadijah juga meminang Rasulullah SAW.
Masyarakat Malaysia (sebenarnya masyarakat Melayu) seharusnya mengubah semula pemikiran seperti ini. Kita bimbang andainya wanita terus menerus dihantui sindrom ‘malu’ untuk memulakan langkah, maka akhirnya dia terpaksa menempuh satu corak hidup yang sama sekali tidak diingini. Akhirnya, dia terpaksa memilih samada untuk terus bergelar andartu ataupun menjawat status isteri muda.
Oleh kerana itu, pandangan serong masyarakat terhadap amalan ‘perigi mencari timba’ ini perlu dihapuskan. Berikutan tanggapan sebeginilah, banyak ‘perigi’ akhirnya tidak mempunyai ‘timba’…
Kepada kaum adam, sesungguhnya kaum hawa itu dikurniakan dengan sifat pemalu, maka adalah lebih ahsan jika kalian yang memulakannya terlebih dahulu (orang lelaki kan terkenal dengan gentleman nya ..?). kepada kaum Hawa usahlah terlalu berduka andai impian untuk membina “bait muslim-bait Quran” belum tercapai. Percayalah, janji Allah untuk hambaNya itu pasti andai syarat-syarat taqwa itu di penuhi...
Marilah sahabat-sahabat kita menghayati kata-kata Rabi’ah al-Adawiyah tatkala dia menolak lamaran untuk berkahwin:
“Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”
Bagaimana dengan kita?
“Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan nafsuku... Duhai Allah, Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu. Sesungguhnya ya Allah diriku teramat lemah, sedang nafsuku terus mendesak-desak diriku… Wahai Tuhanku! Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu. Kudratku terlalu lemah ya Allah…”
0 ulasan:
Catat Ulasan