USUL PERTAMA
Islam adalah agama yang syumul (menyeluruh), mencakupi semua bidang kehidupan. Islam adalah negara dan tanahair atau pemerintah dan umat. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Pengetahun dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan gagasan (fikrah). Akidah yang benar dan ibadat yang sah.
USUL KEDUA
Bagi seorang muslim, al-Quran dan hadis menjadi sumber untuk mengetahui hukum-hukum Islam. Al-quran difahami menurut kaedah-kaedah Bahasa Arab, dengan tidak memberat dan meringankan. Hadis pula difahami melalui periwayat-periwayat hadis yang dipercayai.
USUL KETIGA
Iman yang benar, ibadat yagn sahih dan mujahadah adalah cahaya dan kemanisan yang dicurahkan Allah ke dalam hati sesiapa yang dikehendaki-Nya. Manakala ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi tidak menjadi dalil kepada hokum-hukum syariat. Perkara-perkara tersebut hanya dapat diterima dengan syarat tidak bertentangan dengan hukum dan nas syariat.
USUL KEEMPAT
Jampi, mentera, mengaku mengetahui perkara ghaib dan seumpamanya adalah kemungkaran yang wajib diperangi, kecuali jampi-jampi daripada ayat al-Quran atau jampi-jampi yang diterima daripada Rasulullah s.a.w.
USUL KELIMA
Pendapat imam (ketua) dan timbalannya dalam masalah yang tidak dinaskan atau telah dinaskan tetapi boleh ditafsirkan dengan pengertian lain; demikian juga pendapatnya dalam masalah yang berhubung dengan maslahat umum, boleh diterima dan diamalkan sekiranya tidak bertentangan dengan kaedah syariat. Pendapat tersebut boleh jadi berubah menurut keadaan, persekitaran dan adat. Taabud (pengabdian) menjadi asas kepda ibadat dengan tidak melihat pada rahsia, hikmat dan tujuan ibadat tersebut.
USUL KEENAM
Perkataan seseorang boleh diterima atau ditolak, kecuali perkataan Rasulullah s.a.w yang bersifat maksum. Perkataan para solehin yang dahulu (salafussoleh) mesti kita terima jika bersesuaina dengan al-Quran dan hadith. Jika tidak, maka al-Quran dan hadithlah ikutan kita yang utama. Tetapi kita tidak melemparkan kecaman dan mencacatkan seseorang dalam masalah khilaf. Kita serahkan mereka dengan niat mereka masing-masing kerana mereka telah melakukan sesuatu dengan apa yang mereka telah kemukakan.
USUL KETUJUH
Seseorang muslim yang ilmunya belum mencapai darjat nazar (boleh mengeluarkan hukum dari dalil) dalam hukum-hukum furuk (cabang), sayugialah beliau mengikut mana-mana imam. Di samping ikutannya itu, adalah lebih baik jika beliau berusaha mencari dan mengetahui dalil-dalil imamnya. Dia hendaklah menerima tunjuk ajar yang disertakan dengan dalil sekiranya bilau yakin orang yang memberikan petunjuk itu benar dan mempunyai keahlian. Sekiranya beliau tergolong dalam golongan ahli ilmu sayugialah beliau menyempurnakan ilmunya hingga mencapai peringkat nazar.
USUL KELAPAN
Perselisihan pendapat dalam masalah cabang hukum fiqh tidak boleh menjadi sebab perpecahan dalam agama. Ia sepatutnya tidak menjadi sebab perbalahan dan permusuhan. Kerana setiap orang yang berijtihad diganjari pahala. Tidaklah dilarang melakukan penyelidikan (melalui perbincangan dan lain-lain) dalam masalah khilaf, jika bertujuan mencari hakikat kebenaran. Namun dengan syarat perbincangan tersebut hendaklah di atas dasar mahabbah dan kasih sayang kerana Allah. Ia juga hendaklah diasaskan atas dasar kerjasama untuk mencari kebenaran dan hakikat serta tidak terseret kepada pertengkaran yang tercela dan taasub.
USUL KESEMBILAN
Membincangkan masalah yang tidak jejak kepada kenyataan (tidak membuahkan amal) adalah tergolong dalam perkara yang memberat-beratkan sesuatu. Memberat-beratkan suatu masalah adalah dilarang oleh syariat. Sebagai contoh: membincang cabang-cabang hukum yang masih belum berlaku, dengan membuat andaian-andaian, membincangkan penafsiran ayat-ayat al-Quran yang masih belum dicapai oleh ilmu manusia, membincangkan keistimewaan-keistimewaan para sahabat Rasulullah s.a.w atau membincangkan pendapat para sahabat. Kerana para sehabat mempunyai keistimewaan sebagai seorang sahabat. Mereka diganjari menurut niat mereka, tambahan pula masalah takwil merupakan jalan keluar.
USUL KESEPULUH
Mengenal Allah, mentauhid dan membersihkan-Nya daripada sesuatu yang menyekutui-Nya adalah akidah yan paling tinggi dalam Islam. Ayat al-Quran dan hadith yang menyentuh sifat-sifat Allah hendaklah kita terima tanpa melakukan tafsiran dan takwilan. Kita jauhi perselisihan ulama dalam masalah ini. Kita berpada dengan apa yang telah diterima pakai oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: Kami beriman dengannya (ayat-ayat mutasyabihat). Semuanya itu dari sisi Tuhan kami”. (Ali Imran: 7)
USUL KESEBELAS
Semua bidaah yang dilakukan dalam agama Islam tanpa sandaran asalnya dan dipandang baik oleh segolongan manusia menurut hawa nafsunya sama ada dengan menambah atau mengurangkan apa yang telah disyariatkan, termasuk dalam perkara-perkara yang sesat yang wajib diperangi dan dihapuskan. Ini hendaklah dilaksanakan dengan cara yang paling baik supaya tidak membawa kepada perkara yang lebih buruk daripada bidaah itu sendiri.
USUL KEDUA BELAS
Bidaah yang dilakukan dengan menambah, mengurangkan dan terikat dengan cara-cara tertentu dalam melakukan ibadat yang mutlak adalah termasuk dalam masalah khilaf. Setiap orang mempunyai pendapat yang tertentu. Tidak menjadi kesalahan mencari hakikat melalui bukti dan dalil.
USUL KETIGA BELAS
Mencintai para solehin dan memuji-muji mereka berdasarkan amal-amal soleh yang mereka lakukan adalah sebahagian daripada taqarrub kepada Allah. Wali-wali Allah ialah mereka yang disebutkan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa”. (Yunus: 63)
USUL KEEMPAT BELAS
Menziarahi kubur adalah sunnah yang disyariatkan dan mestilah mengikuti cara yang diterima daripada Rasulullah s.a.w.. Tetapi meminta pertolongan daripada si mati walau bagaimana bentuk sekalipun, menyeru mereka supaya mereka memberikan pertolongan, meminta mereka menunaikan hajat, dari jauh atau dekat, bernazar kepada mereka, membina perkuburan, mengelambui, meneranginya dengan lampu dan memperluaskannya, bersumpah dengan nama selain Allah dan perkaraperkara yang seumpamanya, adalah bidaah dan dosa besar yang wajib diperangi. Kita tidak melakukan perkara-perkara tersebut melainkan untuk menutup puncapunca kemungkaran.
USUL KELIMA BELAS
Doa yang dilakukan secara bertawassul (perantaraan) kepada Allah melalui makhluk-Nya, termasuk dalam masalah khilaf pada segi kaifiat berdoa dan tidak termasuk dalam masalah khilaf.
USUL KEENAM BELAS
Uruf (kebiasaan) yang salah tidak dapat merubah makna lafaz-lafaz syariat yang hakiki, malah kita wajib menentukan batas makna yang dimaksudkan oleh lafazlafaz itu. Kita haruslah membataskan maknanya pada pengertian yang dimaksudkan sahaja. Kita hendaklah berwaspada daripada tertipu dengan perkataan-perkataan dalam semua bidang, dunia dan agama. Yang diambil kira ialah hakikat sesuatu benda, bukan nama yang diberikan.
USUL KETUJUH BELAS
Akidah adalah asas kepada amal. Amal hati lebih penting berbanding amal anggota. Mencari kesempurnaan dalam kedua-dua bidang ini adalah dituntut syariat, sekalipun taraf tuntutan berbeza.
USUL KELAPAN BELAS
Islam membebaskan akal. Ia menggalakkan agar mengamati kejadian alam kelilin. Islam menjunjung tinggi kedudukan ilmu dan ulama. Mengalu-alukan sesuatu yang baik dan bermanfaat. Hikmah merupakan barang yang hilang dari seseorang mukmin, di mana saja beliau menemuinya, beliaulah yang lebih berhak memilikinya.
USUL KESEMBILAN BELAS
Kadang-kadang masalah yang dibincangkan oleh syariat berlainan dengan masalah yang dibincangkan oleh akal, namun demikian syariat dan akal tidak bercanggah dalam perkara-perkara yang telah menjadi hakikat dan kenyataan. Percanggahan tidak akan berlaku antara hakikat ilmiah yang sah dengan kaedah syariat yang telah sabit. Perkara-perkara yang dzanni (belum putus) dari sudut akal dan syariat haruslah ditafsirkan supaya bersesuaian dengan hakikat yang telah putus. Sekiranya pandangan syariat dan akal dalam sesuatu masalah itu masih dzanni, maka padangan syariat haruslah diutamakan untuk diikuti, hinggalah pandangan akal dalam masalah tersebut dapat membuktikan kebenarannya atau gugur dengan
sendirinya.
USUL KEDUA PULUH
Kita tidak mengkafirkan seseorang muslim berdasarkan pendapat atau maksiat yang dilakukannya. Sedangkan beliau telah mengucap dua kalimah syahadahdan melakukan tuntutan syahadahnya, iaitu dengan melakukan sesuatu yang telah difardhukan kepadanya. Kecuali beliau berikrar dan mengakui kekufurannya, mengingkari perkara yang diketahui secar pasti dalam agama, mendustakan lafaz dan pengertian al-Quran yang terang dan jelas, menafsirkan al-Quran dengan penafsiran yang tidak sesuai dengan aliran Bahasa Arab atau beliau melakukan perbuatan yang biasa tidak dapat ditafsirkan dengan tafsiran selain daripada kekufuran.
0 ulasan:
Catat Ulasan