Graduan Al Azhar Perlu Menonjol Beri Manfaat Umat Islam

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Graduan Universiti Al-Azhar perlu lebih aktif dalam memainkan peranan mereka sebagai pendakwah mengikut kesesuaian di negara masing-masing.

Prof Dr Said Hareb dari Universiti Emiriah Arab Bersatu berkata ini kerana masyarakat dunia melihat graduan Al-Azhar sebagai sumber rujukan yang mempunyai kredibiliti dan berpandangan sederhana yang boleh diterima semua.

"Manfaatkan peranan anda sebagai sumber rujukan untuk faedah umat Islam," katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk "Jalinan Hubungan Antara Al-Azhar dan Alumninya", di Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar 2008, di sini hari ini.

Beliau berkata sikap sederhana dan toleransi itu juga mesti diamalkan semasa berdakwah demi menjamin perpaduan dan persefahaman antara kaum dan bangsa di dunia.

"Al-Azhar terkenal sepanjang sejarahnya dengan dasar keterbukaannya terhadap mazhab-mazhab dan kumpulan yang pelbagai dalam Islam yang menjadikannya tempat rujukan dan titik pertemuan bagi segala perselisihan dan perbezaan pandangan.

"Al-Azhar menentukan batu sempadan kepada hubungan yang betul di kalangan umat Islam dalam memelihara penyatuan saf Islam dan menjadikan perselisihan itu sebagai perselisihan kepelbagaian, bukan yang berlawanan," katanya.

Beliau berkata graduan Al-Azhar juga harus bijak mengaplikasi kemajuan teknologi sekarang dalam melaksanakan tanggungjawab menyebarkan syiar Islam kepada ummah, khususnya dalam menangani dakyah anasir yang mahu meruntuhkan Islam.


ULASAN:
Al-Imam Ibnu Khaldun mendefinasikan sistem khilafah dengan:

حَمْلُ الْكافََةِ على مُقْتَضَى النَّظر الشَّرْعِيِّ فِيْ مَصالِحِهِمِ الْأُخْرَوِيَّةِ والدُّنْيَوِيَّةِ

yang bermaksud:

Menundukkan kesemua individu di bawah kehendak pandangan syarak untuk menjamin kebahagiaan ukhrawi dan kebahagiaan duniawi.

Apakah punca-punca mentaliti pelajar Al-Azhar pincang?

a) Tidak menjiwai konsep العلماء ورثة الأنبياء
b) Mentaliti belajar semata-mata untuk peperiksaan.
c) Tidak mempunyai matlamat jitu untuk memperbaiki kefahaman masyarakat terhadap Islam.


Buat diriku yang sering lupa dan sahabat sahabiah Azhariyun fillah:

sejarah orang dahulu telah memperlihatkan kehebatan ketamadunan dan kemajuan mereka dalam bidang ilmu. Mereka juga sangat hebat dalam berpencak di gelanggang masyarakat. Bagaimana pula dengan kita, generasi terkemudian di gerbang Al-Azhar? Adakah budaya orang terdahulu dari sudut keseriusan menguasai ilmu adalah budaya kita selaku orang terkemudian? Tepuk dada tanya Iman.