Terasa begitu lemah sendi saya pagi jumaat itu setelah mendengar cerita hangat dari seorang teman sebilik tentang AF6 kini punya 'Nenek Rina' sebagai peserta. Oleh kerana saya agak kurang gemar pada hiburan yang berbentuk picisan, maka saya agak lambat dalam mendapatkan isu-isu 'parah' ummah terutama perkara yang berkaitan dengan hiburan.

Tanpa lengah, saya sempat melayari laman u-tube sebelum bergegas ke Muzakarah Berkelompok pagi itu , bagi mencari maklumat seperti yang di ceritakan oleh teman saya. Benarlah kata orang kampung saya "kisahnya lebih dari dasyat dari kabar".


FENOMENA MAMA BLUES??

Siapakah mama RINA? saya rasa elok kita panggil dia nenek aja, setuju? Dikenali sebagai mama Rina, merupakan seorang ibu tunggal kepada seorang anak juga menjadi nenek kepada 2 orang cucu. Nenek RINA yang telahpun menjangkau umur 44 tahun sudah, antara yang bolos dalam senarai calon AF6. Merupakan antara pelajar paling TUA sepanjang penganjuran program realiti TV ini.

Ada di antara peminatnya yang telahpun mendengar suara Mama Blues ini menjangkakan Nenek Rina pasti akan terpilih dan diserapkan ke akademi berdasarkan keunikan vokalnya yang serak basah.

Nenek ini turut di nobatkan memiliki pakej karakter dan latar belakang yang 'menarik' sebagai bekas 'penghibur', bilamana ia diceritakan merupakan seorang penyanyi versatile sejak 20 tahun lalu, yang khabarnya banyak menimba pengalaman menyanyi di show pentas, di lounge dan kenduri kahwin.

Dikhabarkan juga, Nenek Rina bermungkinan akan mencetuskan fenomena baru sehebat Mawi berdasarkan kepada kelayakan dan kedudukan status, gelaran IBU TUNGGAL yang di sandangnya yang pastinya mampu mengundang rasa simpati penonton peminat AF.

Satu sejarah yang pastinya bukan sahaja akan tercatat dan akan diingati dalam lipatan fakta perkembangan AF itu sendiri bahkan dalam kamus pentadbiran UMNO yang mengamalkan pemerintahan Islam Hadharinya.


BAIT MUSLIMAH NADI UMMAH

Ummah kini dinodai tanpa belas simpati . Setiap sendinya dilumpuhkan dengan kekejaman yang tidak terperi , sedang ummah ini merupakan ummah terbaik yang dirancang oleh Allah swt untuk membina ketuanan Al Ma’ruf dan memusnah kemaharajalelaan Al Mungkar .

Firman Allah Taala:
“ kamu adalah sebaik-baik ummah yang dilahirkan untuk manusia agar kamu mengakkan yang Ma’ruf dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah swt ”.(Surah Al Imran; Ayat 110 )

Barat dan orientasi Zionisme melalui protokol jahat mereka menjadikan sistem keluarga ( usrah ) Ummat Islam sebagai tuju sasar mereka untuk menghancurkan Islam dan gerakannya .

Di antara bentuk Proses Pelupusan Usrah Muslimah ialah:

1. Menganjurkan pergaulan bebas dan merangsang nafsu ke arah free sexs. Sementara api hedonisme terus menerus disirami minyak agar Ummat Islam alpa selanjutnya meninggalkan prinsip- prinsip Islami . Kesan sampingan yang paling minima , bakal diterima oleh Ummat Islam ialah mengenepikan aspek agama dalam memilih pasangan hidup mereka , sedang ini adalah suatu bahaya besar yang akan menghancurkan institusi rumahtangga muslim ( Usrah Muslimah ) .

2. Konsep rumahtangga barat yang berorientasi maddiyah kononnya sebagai asas kebahagiaan diberi publisiti yang luas . Harta dan kemewahan menjadi target perlumbaan hidup mereka sehingga ianya memberi persaingan hebat kepada kasih sayang dan keharmonian rumahtangga .

3. Pendidikan sekular ( penjarakkan agama dari kehidupan ) di ‘ high light ‘ kepada masyarakat Ummat Islam bermula dari peringkat Tadika ( Hadhanah) hinggalah ke tangga Universiti . fenomena ini mencambahkan benih jahiliyyah sekular dari dalam rumahtangga Ummat Islam itu sendiri .

4. Kebebasan bersuara tanpa batas dan kawalan sistem dosa dan pahala anjuran barat ditiup kepada masyarakat Ummat Islam yang akhirnya di atas nama tamadun dan hak asasi manusia , seorang isteri boleh menuntut hak sekalipun di luar kemampuan suami dan suami boleh didakwa sekiranya menyetubuhi isteri tanpa kerelaan . Begitu jua seorang anak , bebas bertindak tanpa perlu kepada kawalan ibu bapa .

5. Pembinaan Syakhsiyyah dan Ummah Islamiyyah dianggap hak peribadi dan di luar tanggungjawab Usrah Muslimah , sehingga amal Islami menjadi satu ruang yang sempit setelah mereka mendirikan rumahtangga .

Demikian antara kerja jahat musuh yang tidak berhati perut untuk melumpuhkan ummat Islam . Persoalannya sekarang , apakah kita hanya berpeluk tubuh dan menyepi diri menyaksi segala aksi mereka dihadapan mata kepala kita ? Hanya mereka yang tidak memiliki sensitivi dan basirah sanggup membisu dan menggulung lidah menyaksi segalanya .


*****

Fathi Yakan dalam kitabnya "Generasi Pemuda dan Perubahan" berpendapat;
Para pemuda yang bersifat Islam adalah suatu hal, dan para pemuda tanpa Islam adalah suatu hal yang lain dan tidak ada apa-apa selain dari itu. Para pemuda dengan Islam bererti pemberi, iaitu kebaikan dan pembinaan dan yang tanpa Islam ialah celaka dan bala'.

Pemuda juga ialah suatu tenaga yang digunakan oleh Islam untuk membangunkan dan
memakmurkan alam tetapi orang lain mempergunakan mereka untuk meruntuhkan umat
manusia.

Sesungguhnya masyarakat manusia hari ini penuh sesak dengan pemuda-pemuda tetapi pemuda-pemuda ini hanyalah yang kosong, hanyut dan terbiar kerana;

Pemuda yang tiada peribadi,bersikap seperti kera;
Sedang Pemuda yang tiada mempunyai akhlak, yang lebih dekat dengan binatang ;
Manakala Pemuda yang dijadikan tentera oleh kuasa-kuasa jahat dan zalim, disusun oleh partiparti kufur dan syaitan;
Begitu juga Pemuda pondan yang tiada kebaikan pada mereka;
Tetapi keberkatan datang bersama pemuda yang tinggi cita-citanya.

*****

Imam Hassan al-Banna berkata,
Sesunguhnya kekuatan atau kelamahan, tua atau muda, sihat atau sakit sesebuah bangsa tidak ubah seperti manusia. Adakalanya kita melihat seorang manusia itu gagah, sihat walafiat.

Namun tiba-tiba kita melihat tubuhnya yang dulu gagah kini diulit, ditimpa pelbagai penyakit. Dia terus mengadu kesakitan hingga Allah menurunkan rahmatnya dengan menghantar seorang doctor yang mahir dan mengetahui punca penyakitnya, bijak mengenalpasti jenis penyakit, pandai mengetahui tempat yang sakit serta tahu pula mengubatinya.

Selepas itu, tidak berapa lama kemudian, kita melihat pesakit tadi kembali sihat dan kuat. Bahkan mungkin lebih gagah dari sebelumnya.

Maka begitulah dengan sebuah bangsa. Sesebuah bangsa itu akan berhadapan dengan mehnah dan tribulasi ibarat penyakit dan bius yang menular dalam tubuh, yang kadangkala bukan sahaja mampu menggugat malahan mampu menggegarkan keutuhannya.

Tidak terhenti hanya di situ, bangsa ini juga akan terus dilanda masalah dan terpaksa bergelumang dengan segala masalah ini hingga akhirnya ia tergugat dan mula kelihatan tidak bermaya dan lemah, seterusnya menjadi sasaran semua pihak.

Bangsa ini tidak akan mampu menahan segala asakan musuh melainkan hanya dengan tiga cara: mengetahui punca penyakit, sabar menerima rawatan, dan dengan kewujudan barisan doktor pakar yang menjalankan postmortem rawatan ini hingga Allah Taala mengizinkan dia menyembuhkan dan mencapai kejayaan.


Ikhwah dan akhwat fillah…

Pengalaman dan sejarah telah mengajar kita bahawa penyakit bangsa Timur ini telah wujud dalam pelbagai keadaan dan menular ke setiap sudut hayat kita.

Dari sudut politik, kita melihat bangsa kita pernah dijajah oleh musuh dan penjajahan itu masih berterusan sehingga kini ditambah keadaan hidup masyarakat yang berpuak, bermusuh dan berpecah.

Manakala dari sudut ekonomi, amalan riba berleluasa di semua lapisan sedang syarikat asing sibuk menguasai sumber kekayan kita.

Dari sudut pemikiran, timbul kekeliruan, kemurtadan dan amalan menolak tuhan yang bboleh menggugat aqidah kita dan menghancurkan pula nilai-nilai baik dalam diri masyarakat kita.

****

Pening...sakit kepala, mual, geli, loya dan bermacam lagi yang tak mampu untuk saya luahkan di sini setiap kali diri ini membaca isu-isu seperti ini.

Ya Allah, Janganlah engkau timpakan bala ke atas kami lantaran dosa dan maksiat yang dilakukan oleh kami saudara-sauadara kami ya Allah..

Kami teramat lemah ya Allah...
kasihanilah kami ya Allah..
Tolonglah kami ya Allah..