"Untuk mudah ingat biodata mereka, kita mesti bayangkan mereka macam kawan-kawan kita. Kena hayati betui-betui, baru senang nak ngapai" Demikian kata ustaz Zaidi Hassan Basri, salah seorang panel jemputan dari kuliah al-Quran Tanta, sewaktu Seminar Kecemerlangan Qiraat (SMART II) minggu lalu.

"Daftar para Syuhada’ itu telah panjang dan dalam perut bumi telah memutih tulang sebagai saksi kepada yang hidup, bahawa mereka telah datang dan telah pulang tidak sia-sia."

Saya cuba membayangkan kesemua Imam Qurra' yang saya belajar itu sebagai kawan-kawan baik saya. Kesemua mereka berjumlah 30 orang. Apabila ditambah saya, maka kumpulan kami menjadi 31 orang. Sebuah kumpulan yang sangat besar kan?

Oleh kerana mereka kesemuanya lelaki maka saya perlu berlagak sebagai lelaki mungkin; agar saya lebih menghayati.

Saya membayangkan hari-hari yang indah di bulan Ramadhan. Saya bersama mereka dalam Masjid Nabi di Madinah pada tiga hari pertama ramadhan dan hari-hari yang berbaki di Masjidil Haram di Makkatul Mukarramah.

Dari Halaqah yang besar, kami bentukkan menjadi halaqah kecil. Oleh kerana saya yang paling kecil dan muda pada waktu itu, maka saya dimasukkan ke dalam kumpulan pertama bersama Imam Warsy dan Imam Qalun.

Kami saling bertalaqi, menyemak bacaan al-Quran bergilir-gilir bermula dari awal pagi hingga menjelang waktu berbuka puasa. Malam-malamnya kami penuhkan lagi dengan aktiviti bertadarus al-Quran dan berqiamullail bersama. Imam Nafi' mengetuai kumpulan besar kami. Ah, sungguh indah hari-hari itu.

Hampir sahaja aku tidak mahu pulang ke Malaysia menjelang syawal, begitu juga dengan kawan-kawan saya yang lain. Mahu sahaja mereka tidak pulang ke negara masing-masing lantaran cinta yang terlalu kuat antara kami sehingga kami berasakan tidak boleh berpisah barang sesaat.



AKU MERINDUI KALIAN

.: IMAM PERTAMA :.

Di kenali sebagai Imam Nafi al-Madani. Nama sebenar beliau ialah Nafi' bin Abd Rahman bin Abi Naim.

Lahir pada tahun 70 Hijrah, dan wafat pada tahun 169 Hijrah. Berasal dari Asbahan, Iran.

Digelar (kuniah) sebagai Abu Ruaim. Namun ada pendapat mengatakan Beliau digelar sebagai Abu Hasan atau Abu Abd Rahman. Seorang yang berkulit hitam (hitam yang sangat), namun sangat kacak wajahnya serta sangat gemar berjenaka.

Beliau merupakan salah seorang Imam Qiraat kepada masyarakat di Madinah. Terkenal sebagai seorang yang pakar dalam bidang al-Quran. Mempunyai peribadi cukup baik dan berakhlak mulia, zuhud dan alim dalam bidang agama.

Beliau telah bertalaqi daripada seramai 70 orang tabi'in; antaranya ialah Abu Jaafar bin Qa'qa' al-Madani, Syaibah bin Nashah, Muslim bin Jandub, Yazid bin Ruman, Muhammad bin Muslim bin Syihab az-Zahri dan Abd rahman bin Hurmuz al-A'raj.


Diriwayatkan bahawa Imam nafi setiap kali ia berkata-kata maka akan keluar dari mulutnya bau yang sanagt wangi seperti kasturi.

Maka orang ramai bertanya kepada Imam Nafi': " Engkau ni pakai minyak wangi ke setiap kali engkau nak ngaji depan orang ramai?".

Imam nafi' menjawab: "Aku tidak pernah mendekati minyak wangi sepanjang hidupku apatah lagi menyentuhnya, akan tetapi aku telah bermimpi sewaktu tidurku melihat Baginda SAW membaca sesuatu di mulutnya dekat ke mulut aku. Maka semenjak itulah sesiapa sahaja akan menghirup harumnya bau itu dari mulutku".


Dua orang rawi yang popular bagi Nafi ialah Imam Qalun dan Imam Warsy.

*PERAWI PERTAMA*

Dikenali sebagai Imam Qalun. Nama sebenar beliau ialah Isa bin Mina bin Wardan bin Isa bin Abd Samad bin Umar bin Abdullah az-Zarqi.

Lahir pada tahun 120 Hijrah dan wafat pada tahun 220 Hijrah pada Zaman Pemerintahan Khalifah al-Makmun.

Digelar (kuniah) sebagai Abu Musa, dan(laqab) Qalun. Turut berasal dari Asbahan segaimana Imam Nafi'.

Abu Muhammad al-Bagdadi berkata;
Imam Qalun adalah seorang yang sangat pekak kerana beliau sepanjang hayatnya tidak pernah mendengar perkara yang lagha walau sekali. Ini kerana setiap kali dibacakan al-Quran padanya beliau boleh mendengar dengan baik sehinggakan dia boleh memahami bacaan mereka bahkan mengetahui kesalahan bacaan al-Quran tersebut sekaligus memperbetulkan bacaan yang dibacakan padanya hanya berdasarkan dengan perhatiannya kepada gerakan mulut sahaja.

*PERAWI KEDUA*

Beliau ialah Uthman bin Said bin Abdullah bin Amru bin Sulaiman bin Ibrahim.

Dilahirkan pada tahun 110 Hijrah di sebuah kampung di pedalaman Mesir dan wafat pada tahun 197 Hijrah ketika berusia 87 tahun.

Digelar (kuniah) sebagai Abu said dan (laqab) Warsy. Kulitnya sangat putih kemerah-merahan, biru matanya, orangnya agak rendah dan 'sedang-sedang' atau sederhana badannya; tidak gemuk atau kurus.


MANHAJ BACAAN QIRAAT IMAM NAFI', QALUN dan WARSY

1. Membaca basmalah di antara dua Surah kecuali di antara surah Anfal dan Taubah dengan 'wajah' Qata' (berhenti), Saktah (berhenti seketika tanpa nafas) dan Wasal (menyambung kesemua).

2. Mensilahkan mim jama' dengan dhommah.

3. Memanjangkan kadar mad Munfassil sebanyak 2 & 4 harakat.

4. Mentashilkan hamzah yang kedua.

5. Meng'idghamkan huruf dzal kepada huruf ta'.

6. Mentarqiqkan (menipiskan) bacaan huruf ra'

7. Mentaghlizkan (menebalkan) bacaan huruf lam.


** Masa sangat tidak mengizinkan saya untuk memperkenalkan semua kawa-kawan saya. InsyaAllah di lain rancangan saya perkenalkan lagi pada sahabat-sahabat semua kawan-kawan saya yang berbaki seramai 27 lagi ye? Jumpa lagi nanti :)