Adalah diketahui bahawa manusia itu sentiasa terdedah kepada kemusnahan. Setiap orang ada ajalnya yang sudah ditetapkan. Oleh itu hendaklah kita memindahkan dengan amanah, suci dan jujur segala apa yang kita warisi daripada orang terdahulu dari kita kepada generasi akan datang sekiranya kita ingin melihat segala tamadun dan kebudayaan kita kekal di negeri-negeri itu.
Bukan ini saja, bahkan kita mesti memupuk supaya generasi akan datang sanggup memikul amanah yang berat ini dengan penuh kemampuan dan kesedaran, agar mereka juga berkesanggupan memindahkan amanah itu kepada generasi-generasi yang berikutnya.
Allamah al-Maududi dalam tulisannya bertajuk “Peranan Pelajar” berkata; Sesungguhnya bumi yang kita hidup di atasnya ini telah pun diteroka oleh orang-orang yang terdahulu dari kita supaya tamadun Islam dapat bertapak di atasnya, supaya dikuatkuasakan pelaksanaan peraturan-peraturan hidup yang mereka anuti dan supaya diperintah oleh undang-undang yang dianggap benar dan peraturan-peraturan sistem kerja yang mereka fikirkan baik.
Perlu kita ingat bahawa kekalnya generasi Islam adalah bergantung penuh di atas usaha generasi yang akan datang untuk memindahkan tamadun Islam dalam bentuk hidayah ketuhanannya yang kita warisi dari nenek moyang kita yang mulia dan yang telah membezakan kita dari bangsa-bangsa lain di dunia.
Sudah pasti bahawa setiap orang Islam tidak akan kekal, tetapi umat Islam boleh kekal sepanjang masa, dengan syarat ada kemampuan yang diperlukan dalam setiap peringkat masa untuk memindahkan perbendaharaan tamadun kepada generasi yang akan datang.
Pemindahan ini hendaklah sentiasa berjalan dalam setiap pertukaran generasi. Sekiranya kita tidak sanggup mengekalkan sifat-sifat istimewa tamadun yang membezakan umat kita itu, dan generasi muda kita pula tercekup dengan tamadun asing, katakan tamadun Amerika umpamanya, lalu terpengaruh dengannya dan terbentuk dengan acuannya tidak lagi dengan acuan tamadun Islam, maka lambat laun bumi ini akan bertukar menjadi bumi Amerika.
Ya, generasi Islam akan tinggal di bumi itu, tetapi ianya dibentuk dengan acuan Amerika yang menandakan tamadun Islam tidak lagi kekal di atas bumi yang dikhususkan untuk umat Islam. Itulah yang menandakan kekalnya tamadun lain yang menghapuskan identiti kebangsaan kita atau dengan lebih tepat identiti keislaman kita.
PERANAN MAHASISWA ISLAM DALAM MEMBINA MASA DEPAN DUNIA ISLAM
Alhamdulillah sehingga kini, kita dapat melihat di seluruh universiti dan pusat-pusat pengajian di dunia Islam, bahkan di setengah-setengah dunia bukan Islam, wujudnya kumpulan pemuda Islam yang beriman penuh dengan 'akidah Islam, menyedari tanggungjawab mereka sebagai orang Islam dan sanggup mengorbankan sepenuh tenaga mereka untuk menegakkan semangat Islam di pusat-pusat pengajian tinggi tersebut.
Gejala ini patut sangatlah mendapat sanjungan, penghargaan dan sambutan dari orang yang mempunyai perasaan tulus ikhlas kepada dunia Islam, kerana Allah dengan kemurahanNya telah mengurniakan kepada umatnya yang lemah ini pemuda-pemuda yang tahu akan tanggungjawab.
Mereka ini menunaikan tanggungjawab itu secara aktif dengan penuh kesedaran di pusat-pusat pengajian tinggi dalam semua bidang pendidikan, sekalipun sistem pendidikan di seluruh dunia Islam sekarang ini dikuasai oleh cara berfikir dan tradisi barat.
HAKIKAT KEMUSNAHAN UMAT
Firman Allah swt:
"Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu Hanya semata-mata untuk Allah." (2:193)
Menurut Allamah sesungguhnya umat-umat yang telah lenyap tanpa meninggalkan kesan itu bukanlah ertinya lenyap dari dunia ini, tetapi sebenarnya ialah keruntuhan kebangsaannya dari alam nyata.
Maksud kita apabila kita mengatakan bahawa tamadun bangsa BABIL dan FIR'AUN itu telah lenyap, ertinya tamadun bangsabangsa itu telah hilang ciri-cirinya ditelan zaman. Adapun generasi bangsa Babil itu masih membiakkan keturunannya, tetapi identiti kebangsaannya telah lenyap. Begitu juga tamadun bangsa Mesir tua masih kekal di muka bumi, tetapi tamadun yang dikenali dengan nama Tamadun Fir'aun tidak lagi dilihat kesannya.
Segalanya itu ialah kerana generasi mereka yang silih berganti telah hilang kemampuan untuk memindahkan pusaka warisan yang diwarisinya dari generasi yang lalu kepada generasi yang lahir selepasnya.
Oleh yang demikian nyatalah bahawa generasi sesuatu bangsa itu apabila hiiang identiti kebangsaannya dan hancur ke dalam identiti yang lain maka itulah ertinya bangsa itu telah lenyap dan musnah.
Sejarah telah membuktikan bahawa dua belas golongan dari bangsa Israel telah hilang dan dunia ini dan tidak ditemui oleh sejarah hingga hari ini. Dalam hal ini tidak pula diriwayatkan bahawa mereka telah dibunuh kesemuanya atau telah dilenyapkan asal-usulnya dari muka bumi ini untuk selama-lamanya.
Sebenarnya apa yang dimaksudkan dalam hal ini ialah kesedaran keisraelan telah lenyap dari golongan itu dan kesedaran itu tidak berpindah kepada generasi-generasi yang lalu selepas mereka. Apabila lenyap sifat keisraelan dan tamadun keisraelan tadi lalu meresaplah ia ke dalam bangsa-bangsa lain di dunia ini hingga anak cucu mereka sendiri tidak mengetahui yang mereka itu berketurunan Israel.
Dari sini nyatalah bahawa hidup dan kekalnya sesuatu bangsa itu adalah bergantung kepada sikap ingin menyediakan generasi akan datangnya supaya meraka berkemampuan memelihara identiti kebangsaannya.
DUA CARA UNTUK MEMINDAHKAN PERBENDAHARAAN TAMADUN.
Tujuan ini tidak akan terlaksana melainkan dengan dua jalan:
Jalan pertama: Mahasiswa sendiri hendaklah bergerak melaksanakannya.
Jalan kedua: Pemerintah hendaklah merangka polisi pelajaran dan
pendidikan yang boleh mencapai kepada tujuan ini.
JALAN YANG KHUSUS BAGI MAHASISWA ISLAM
Antara perkara penting yang mesti di fahami oleh para Mahasiswa menurut Allamah ialah hendaklah menyedari secara sungguh-sungguh bahawa mereka adalah orang Islam yang dijemput untuk hidup di atas muka bumi ini dengan cara hidup yang bercorak Islam.
Hal ini memastikan diri mereka bersemarak dengan api cinta untuk mengetahui apakah sistem yang menjamin hidup mati mereka dan apakah sifat-sifat nyata yang membezakan umat Islam, iaitu sifat-sifat yang mesti ada untuk hidup mati identiti Islam.
PRINSIP-PRINSIP UTAMA ISLAM
Hakikat Islam dan prinsipnya ialah akidah tauhid, kerasulan dan beriman dengan hari kiamat. Maka wajiblah bagi setiap orang Islam mengetahui asas yang tiga ini. Patut juga ia mengetahui bahawa prinsip-prinsip ini apabila diresapi oleh perasaan syak atau apabila ia lemah maka ianya tidak boleh hidup lagi di dunia ini di bawah lindungan tamadun Islam.
Apa saja bentuk syak dan kelemahan yang menembusi akidah-akidah ini dan asas-asas hakikat Islam, ianya akan memupuskan tamadun Islam hingga ke akar umbinya. Sesudah itu bumi ini bukan lagi bumi Islam jika sekiranya tamadun Islam tidak ada di situ. Begitu juga tamadun Islam tidak akan kekal di dunia ini jika tidak diteraskan atau disokong oleh tiga prinsip tersebut.
KEPENTINGAN PERTAMA; PEMUSATAN MENGAWASI PRINSIP-PRINSIP ITU
Sesungguhnya apa yang patut diberi perhatian yang lebih berat dari yang lain ialah bahawa mahasiswa yang mempunyai kesedaran keislaman hendaklah bangun menentang segala gerakan anti Tuhan dan fahaman kebendaan yang bergerak untuk mengabui atau meragu-ragukan akidah Islam serta melemahkan orang yang beriman kepadanya. Dengan itu mereka tidak akan menentang segala gerakan yang bertujuan menghapuskan akidah-akidah ini dan menghalangnya dari bertapak di kalangan mereka.
Mahasiswa harus menentang gerakan tersebut dengan apa cara sekalipun demi menjaga hidup mati identiti Islam di muka bumi ini. Perlu diketahui bahawa orang yang menimbulkan keraguan ke dalam fikiran orang ramai tentang akidah di bumi Islam ini, maka dia bukan saja melakukan dosa kufur atau murtad, bahkan ia telah melakukan pengkhianatan yang maha dashyat terhadap hak bumi Islam dan juga ia berniat mencabutnya hingga ke akar umbinya.
Ini adalah satu hakikat yang mesti disematkan di hati saudara-saudara semua. Jika ada di antara saudara-saudara yang mencuaikan perkara ini maka hendaklah beri peringatan akibat-akibat masa akan datang.
Dengan demikian tidaklah dibiarkan fikiran-fikiran yang merosakkan dan prinsip-prinsip anti Tuhan itu tumbuh subur di pusat-pusat pengajian tinggi, di universiti-universiti atau di sekolah-sekolah dalam negara-negara Islam.
Dengan demikian juga dapatlah dielakkan dari tersebarnya falsafah-falsafah yang merosakkan prinsip asasi Islam dan yang mengkaburkannya yang sudah tentu membuahkan hasil yang tidak diingini.
KEPENTINGAN KEDUA; BERPEGANG DENGAP AKHLAK ISLAM DAN TAMADUNNYA
Perkara kedua yang wajib diberi perhatian oleh SELURUH JENTERA MAHASISWA muda ialah mereka patut menyedari bahawa perjuangan hidup mati kita semua bukan saja bergantung kepada akidah Islam, bahkan bergantung juga kepada akhlak dan nilai-nilai Islam, kerana adanya hubungan yang rapat antara akidah dan akhlak, bahkan wujudnya salah satu darinya memestikan adanya yang satu lagi.
Sesungguhnya akidah Islamlah yang memestikan kita berpegang dengan akhlak dan nilai-nilai yang tertentu.
Apa yang dapat dilihat sejak zaman berzaman bahawa pusat-pusat pengajian tinggi kita telah melalaikan asuhan akhlak di kalangan pelajar-pelajar. Bahkan yang lebih teruk lagi ialah pusat-pusat pengajian tinggi itu telah bersungguh-sungguh menabur benih-benih pengetahuan yang bertentangan dengan nilai Islam serta bercanggah dengan segala prinsip akhlak Islam.
Patutlah kita ingat bahawa akhlak dan nilai-nilai yang menjadi teras kebangkitan umat barat tidaklah dapat kita jadikan asas kebangkitan kita, bahkan kita tidak dapat bangun, maju dan berkuasa melainkan setelah kita menerima prinsip-prinsip akhlak yang telah disediakan kepada kita oleh Islam, Allah dan rasulnya.
Orang barat boleh berkorban dengan diri dan hartanya untuk mempertahankan tanahairnya dengan keadaan ia hidup sebagai seorang gila, menari dan mabuk arak serta melakukan segala perkara kejahatan dan keruntuhan akhlak, kerana falsafah kebendaan yang menjadi pegangan mereka tidak menegah itu semua.
Tetapi orang Islam mengetahui bahawa semua perkara tersebut dilarang oleh Allah dan rasulnya tidaklah boleh mengikuti cara hidup sebegitu dan tidak boleh memilih kebudayaan bentuk sedemikian kecuali setelah mereka berpaling tadah dari asas-asas pelajaran Islam.
Sesungguhnya disisi orang barat, apabila mereka melakukan perkara-perkara tersebut, tidaklah bertentangan dengan prinsip-prinsip akhlak dan nilainilai tamadun mereka, tetapi bagi orang Islam, dengan melakukan dosa-dosa itu, ia telah meruntuhkan prinsip-prinsip yang menjadi landasan akhlak dan nilainilai kita.
Kedudukan orang Islam jika ia minum arak adalah berlainan sekali daripada kedudukan orang barat. Soal bahaya akibat arak kepada tubuh dan jiwa manusia adalah sama, tidak kira samada ia Islam atau kafir. Oleh kerana arak tidak haram di sisi ugama kafir, maka apabila orang kafir meminumnya, ia hanya merosakkan tubuh dan jiwanya saja. Adapun akidah dan ugamanya tidak terlibat.
Hal ini berlainan sekali dengan keadaan orang Islam. Orang Islam tidak akan melakukan kejahatan itu melainkan apabila jiwanya sudah dirasuk oleh perasaan memberontak terhadap Allah dan Rasulnya serta oleh perasaan tidak memperhitungkan lagi hari yang akan ditimbang segala kebaikan dan kejahatan.
Sesudah itu ia tidak akan memadai melakukan satu dosa, bahkan akan melampaui kepada dosa-dosa lain dan akan mempersetankan segala ikatan dan kewajipan-kewajipan akhlak, hingga pada satu hari kelak tidak ada lagi perkara dalam Islam yang patut dihormati dan dimuliakan dan semuanya dihinakannya.
0 ulasan:
Catat Ulasan