Daripada saidina Anas bin Malik beliau berkata: Seorang lelaki memohon kepada Rasulullah saw agar ia boleh menunggang unta. Lalu Baginda saw bersabda: "Sesungguhnya daku akan membawamu menaiki anak unta". lelaki itu terus berkata:"wahai Rasulullah, apakah yang boleh aku lakukan dengan anak unta ini?" maka Baginda menjawab: "Bukankah unta yang besar itu juga berasal dari ibu unta?(anak unta juga)".
Pengajaran hadith:
1. kita dapat melihat bahawa Baginda menggunakan kaedah pendekatan gurauan yang sangat lembut. Pada pandangan Baginda, unta walaupun ia besar dan menanggung beban yang berat, ia masih dikira sebagai anak unta.
2. Baginda memberi peringatan kepada para pendidik dan golongan yang lainnya supaya apabila mendengar sesuatu perkataan, maka hendaklah ia memerhatikannya terlebih dahulu tanpa tergopoh-gapah untuk menjawabnya. perkara ini satu elemen yang sangat penting bagi seorang pendidik dalam memastikan kejayaannya dalam mendidik.
3. Walaupun Baginda saw bergurau namun perktaan yang keluar dari mulut baginda hanyalh perktaan yang benar. bukankah semua unta itu berasal dari anak unta juga?
4. Hadith ini juga mengajar kita untuk melihat maksud yang tersirat di sebalik setiap perkataan.
5. Rasulullah saw adalah seorang yang sangat perihatin terhadap sesorang dan sesuatu keadaan. Oeh kerana Baginda berjaya memahami keadaan maka baginda turut berjaya menguasai keadaan dengan penuh berkesan.
FIRMAN Allah bermaksud: "Sesungguhnya pada Rasulullah SAW contoh teladan yang baik untuk kamu jadikan ikutan, bagi sesiapa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik pada hari akhirat, dan dia dalam keadaan baik mengingati Allah." (Surah Al-Ahzaab, ayat 21)
Rasulullah SAW adalah manusia biasa dipilih Allah untuk dijadikan rasul-Nya. Kehidupan baginda adalah contoh teladan kepada kehidupan kita sehari-hari sama ada sebagai individu dan ahli masyarakat.
Banyak contoh boleh dipelajari bagaimana Rasulullah SAW mengharungi kehidupannya sehari-hari sebagai seorang individu, suami, ayah dan pemimpin yang unggul. Antara keistimewaan Rasulullah SAW, Baginda berjaya membentuk umatnya tanpa menggunakan kekerasan, paksaan dan ugutan.
Malah, Baginda mengubah manusia dengan semangat kasih sayang dan keprihatinan terhadap soal kebajikan mereka. Inilah antara ciri seorang pemimpin agung yang wajar dicontohi semua.
Allah berfirman bermaksud: "Tiadalah kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk memberi rahmat kepada sekalian alam." (Surah al-Anbiya, ayat 107)
Perasaan kasih sayang Rasulullah SAW terhadap semua orang tanpa mengira pegangan agama dapat dilihat daripada sikap ditunjukkan terhadap orang Makkah yang menjadi penentang kuat Islam.
Apabila mereka ditimpa kesusahan akibat kemarau, Rasulullah SAW dengan murah hati mengirim bantuan makanan dan kepingan wang kepada mereka. Baginda langsung tidak menyimpan perasaan hasad dengki atau ingin membalas dendam terhadap mereka yang memusuhi Baginda.
Ketika awal kerasulan di Makkah, walaupun jumlah yang memeluk Islam baru mencecah 40 orang, Baginda sudah mengatur program membantu anak yatim dan orang miskin. Baginda tidak menunggu hingga ditegakkan sebuah negara Islam untuk menyusun program kebajikan.
Ternyata usaha murni Baginda ini diberkati kerana mereka inilah kemudiannya menjadi tulang belakang Baginda di Makkah dan turut bersama berhijrah ke Madinah.
Ketika di Madinah pula, pendukung Islam baru berjumlah kira-kira 100 orang, Baginda berjaya menegakkan sebuah negara Islam di tengah-tengah penduduk yang majoritinya bukan Islam. Disamping itu, strategi Baginda mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar mempertingkatkan status ekonomi dan sosial golongan Muhajirin yang berhijrah dalam keadaan sehelai sepinggang. Usaha itu juga berjaya menimbulkan perasaan kasih sayang dan rasa tanggungjawab golongan Ansar terhadap saudara Muhajirin mereka.
Kekuatan yang dimiliki oleh Muslimin.
Sahabat-sahabat yang ana kasihi sekalian..
Sesungguhnya Muslimin mempunyai kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Penegakan Daulah Islam yang pertama di Madinah telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati umat Islam. Gerakan dan cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw menjadi panduan kepada Muslimin hari ini untuk menegakkan Islam kembali. Perlu diyakini bahawa marhalah dakwah dan cara yang dilakukan oleh Rasulullah itu merupakan 'Rabbani Taujih' (panduan dari Allah) yang diberikan kepada Rasulullah sehingga Islam tertegak dengan megahnya dimuka bumi ini. Maka dengan bekalan pengalaman ini, muslimin mengatur langkah dalam menegakkan Islam kembali di muka bumi ini.
selain daripada itu, muslimin mempunyai kekuatan yang tidak boleh dipandang lekeh oleh manusia. Kita boleh simpulkan bahawa muslimin mempunyai tiga unsur kekuatan yang mampu menggugat kekuatan musuh.
Pertama: Kekuatan kuantiti.
Islam pada hari ini mempunyai bilangan penganut yang hampir suku penduduk dunia yang tersebar di seluruh benua di dunia. Sesungguhnya jumlah yang ramai ini merupakan antara aset utama dalam menegakkan Islam. Ianya merupakan satu nikmat yang seharusnya di syukuri. Sepertimana firman Allah swt:
"Ingatlah, ketika kamu masih sedikit, kemudian kamu telah menjadi banyak…"
(Al A'araf: 86).
Jamaluddin Al Afghani pernah berkata kepada rakyat India: "Jika sekiranya bilangan kamu yang berjuta-juta ini semuanya menjadi lalat, nescaya kamu mampu untuk menghancurkan telinga Inggeris."
Kedua: Hasil Bumi.
Muslimin pada hari ini menetap di negara-negara yang amat kaya dengan hasil buminya. Negara yang yang kaya dengan minyak dan bahan galian yang lain serta tanah yang subur untuk pertanian. Semuanya ini merupakan kepunyaan muslimin.
Ketiga: Manhaj Rabbani.
Inilah kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Muslimin menyeru manusia kepada satu sistem yang mampu membawa keadilan dan kebahagiaan kepada alam sejagat. Sistem ciptaan manusia yang wujud pada hari ini sebenar telah membawa kepada kerosakan dan kesengsaraan kepada manusia. Manusia yang berfikir tidak akan sekali-kali menolak sistem Allah ini.
Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa kelemahan umat Islam ini tidak akan selama-lama. Islam sekali lagi akan mencapai kejayaan dan menjadi pentadbir alam ini.
Sikap kita
Kita sebagai pejuang agama Allah ini seharusnya mempunyai sikap yang optimis dengan kejayaan yang bakal di hadapi oleh Islam. Kita tidak seharusnya bersifat putus asa dan keluh kesah dengan suasana dan penindasan musuh terhadap umat Islam. Malah kita yakin dengan janji-janji Allah bahawa Allah akan memenangkan agamanya walaupun dihalang oleh orang-orang kafir.
Dengan keyakinan ini bukan bermakna kita akan berdiam diri dan berpeluk tubuh dengan menunggunya kemenangan yang dijanjikan oleh Allah. Tetapi dengan keyakinan ini, seharusnya kita mempergandakan amalan dan usaha kita dalam menegakkan agama Allah ini.
Janganlah umat mengimpikan kemenangan muslimin terhadap Yahudi sedangkan umat masih lagi berpecah belah, berselisihan dan pergaduhan. Janganlah umat berangan-angan dengan kemenangan sedangkan umat masih lagi bermalasan dan tidak bersungguh-sungguh.
Mustahil kemenangan diberikan kepada orang yang bermalasan dalam berhadapan dengan musuh yang berjuang bersungguh-sungguh menghancurkan Islam. Mustahil kemenangan diberikan kepada umat yang hanya meluangkan cebisan waktu untuk Islam dalam berhadapan dengan musuh yang meluangkan sepenuh waktu untuk meruntuhkan Islam. Maka cepat atau lewatnya kemenangan Islam adalah di bahu kita bersama yang akan dipersoalkan oleh Allah Ta'ala nanti.
Dan ingatlah kata-kata Saidina Umar kepada sahabatnya: " Impikanlah" Seorang pemuda berkata: " Aku mengimpikan jika sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: "Impikanlah". Seorang pemuda berkata: "Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: "Impikanlah". Mereka berkata: "Kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin" Omarpun berkata: "Tetapi aku mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah bin al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah. Lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah".
Itulah sebenarnya modal utama untuk kembali memerintah dunia. Seorang pemuda lebih berharga dan bernilai dari seluruh isi dunia. Maka pemuda inilah yang akan berjuang sehingga tertegaknya Dinul Islam ini. Wallahu A'alam.
"JULANG IZZAH, TEGUH WAHDAH"
1 ulasan:
ana pun nak simpan artikel ni =)
Catat Ulasan