Hembusan sang bayu sesekali menyapa mesra dari tingkap biliknya yang sengaja dibiarkan sedikit terbuka malam itu.

Bertemankan unggas yang saling bersahut-sahutan di luar , kedengaran sayup-sayup bacaan al-Quran memecahkan kesunyian malam. Malam ciptaan Ilahi yang begitu mendamaikan.

Seorang hamba penuh kesungguhan, khusyuk berteleku mengalunkan kalam Ilahi. Tekun menghayati amanah yang di beri.

Menghafaz al-Quran tidak semudah memetik jari. Tanpa putus asa sang hamba tersebut melaksanakan tuntutannya sebagai seorang hamba. Memenuhi perintah Allah s.w.t. yang di sebut di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Wahai orang berselimut (Muhammad) , Bangunlah (untuk solat) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya), (iaitu) seperduanya atau kurangilah seperdua itu sedikit, atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat.”

(Al-Muzammil;1-5)


Cita-citanya amat murni, impiannya juga begitu tinggi.

Terasa sejuk mata hati melihat dan membaca al-Quran saban hari. Apatah lagi sementelah pulang dari kunjungan ke maahad tahfiz al-Quran dua tahun lepas. Perasaan kuat untuk menjadi hamba pilihan seperti kanak-kanak di situ semakin kuat.

“Ya Allah, sungguh hati ini begitu kepingin menjadi persis mereka.” Hati kecil dia bersuara perlahan.

“Menghafaz al-Quran perlukan persediaan rohani jasmani.” Nasihat akhir Ustazah Kasmah kepada dia semasa kami berjabat tangan sebelum pulang.


Dia menyimpan tekad.

“Mungkinkah ada peluang selepas ini?”

“ InsyaAllah, kau boleh melakukannya.” Hati besar memberikan keyakinan.


Al-Quran terus di baca berulang kali. Dari satu ayat berpindah ke ayat yang lain. Dia membaca dan cuba menghafaznya dengan tekun agar kalam Allah Taala yang dibacanya meresap ke lubuk hati. Membersihkan hati yang penuh noda, berpalitan dosa, karat-karat dunia dan mazmumah.


Dia berdoa dalam lirih dan sendu.

“Ya Allah! Pinjamkanlah ayat-ayat-Mu kepadaku ya Allah. Masukkanlah ia ke dalam hatiku, hamba-Mu yang dhaif agar ia membuahkan peribadi mulia seperti mana yang pernah Engkau kurniakan kepada hamba-hamba-Mu yang telah Engkau pilih sebelumku….Tolonglah hambaMu ini ya Allah…..pilihlah aku untuk menjadi pemelihara kalimah-Mu yang berat ini ya Allah…….”


Biarpun hari-hari yang dilalui penuh ujian. Namun, bertemankan ketabahan, dia teruskan juga hidup menjalani imtihan sekadar daya.


Kata doktor barah tulang belakang yang dihidapinya sudah sampai ke peringkat serius. Sekiranya pembedahan segera tidak dilakukan, harapannya untuk hidup hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi.


Biar tuhan saja memberi ganjaran. Dia pasrah segala ketentuan.


“Itulah, sibuk jaga hal orang. Pelajaran sendiri terkandas. Orang lain lulus bahagia tapi awak tu...” Sejak akhir-akhir ini, banyak benar kata-kata sedemikian dilemparkan kepadanya.


“Tidak bukan itu niatku. Aku perlu tabah. Mungkin ini ujian buat memenuhi impianku yang Allah Taala rahsiakan. Pastinya ini juga tarbiyah Tuhan buatku di Ardu kinanah ini..


Air mata dia mengalir deras.


Alhamdulillah, tahun dua dia I’adah pada tahun lepas menyaksikan dia berjaya mengkhatamkan talaqqi al-Quran tamam 30 juzu’. Bermula pada saat itulah dia berazam dan terus berusaha untuk menamatkan hafalannya pula.


Dia bersyukur kerana Allah Taala telah menggantikan tahun tersebut dengan impian yang terlalu bernilai. Dia merasakan nikmat yang Allah Taala telah kurniakan merupakan satu tanggungan yang Maha berat untuk dijaga dan disuburi.


Dalam esak dan tangis dia akhirnya terlena. Terlena bersama impian dan tekad.


Dalam suram berjalan seorang tua berkaki tempang menghampiri dia.

Berbekalkan tongkat jalanya tampak begitu payah sekali.

Lelaki tua itu tiba-tiba tersungkur.

Perlahan-lahan dia cuba mendekati lelaki tua itu. Menyapu habuk kotor yang melekat pada pakaian tubuh tua tersebut.

“Siapa kau?” Dia bertanya lembut.

Lelaki tua itu hanya memandang kepada dia. Pandangan yang sukar di tafsirkan.

Tanpa sepatah kata, lelaki tua itu kembali bangun meski payah. Meninggalkan dia terpinga sendirian.

“Tunggu.” Dia cuba menahan lelaki tua itu.

“Aku sepertinya pernah bertemu dengan engkau sebelum ini. Bukankah kau yang….. Tapi keadaanmu tidak seperti ini. Mengapa Eh…kenapa?....kenapa kau jadi begini??? Kenapa pakaian kau penuh dengan darah??” Dia seakan tergagap dalam bertutur.

“Engkau benar-benar kepingin untuk mengetahuinya? Mari aku tunjukkan…Apa dan siapakah yang menyebabkan aku jadi begini…” Jawab orang tua bersuara parau itu.

Dia terpegun seketika.

Kelihatan sekumpulan siswi sedang tekun membaca dan menghafaz al-Quran.

Tiba-tiba seorang dari mereka menutup Al-Quran lalu mengeluh:

“Hisyyyyyyyyh…..susahlah…. Dari semalam aku ngapai tak dapat-dapat lagi…..macammana nak hafaz ni… dah lah tinggai minggu depan je nak peksa..”

“Hei lisa, hari tu kan aku tengok Amy lah…ya Rabbi…dressing kalah artis…..dengan bunganya…perfume jangan katalah….semerbaknya, sepuluh batu dah boleh bau…lawalah tu agaknya….hai…perasan betul…” Seorang dari mereka tiba-tiba mencelah.

“Eh,eh, apa kau kata?” Sampuk teman mereka yang pertama.

“La……..engkau ni….aku kata, aku ada tengok Amy baru ni….dressing dia kalah artis….tak dengar ke….??”

“Camne ni kitab banyak aku tak usik lagi ni…” Teman yang lain pula bersuara.

“Aku pulak sebenarnya risaukan oral Al-Quran. Fed up lah. Hmmmm, doktor mesti tanya awal maqra je kan…..? aku yakin maqra’ 1,2,3,4 ni mesti masuk punya lah…”

“Aku setuju…Aku nak score malam periksa nanti. Alah, setakat awal maqra’ satu malam boleh prepare punya lah…ngulang untuk masuk peksa je dah lah…asal boleh jawab…kan senang…buat apa nak susahkan diri…”.

“Betul tu….aku memang sibuk giler lah sekarang ni…giler pun tak macam aku…banyak keje beb….hafal gitu memang orait sangat lah…doktor bukannya tanya banyak pun…2, 3 ayat je….alah, kau buat muka seposen...lepas jawab tu kau tiup-tiup lah ayat pengasih kat dia sikit….hahahaha…..

Ketawanya disambut rakan-rakan lain..

Mereka itulah antara yang telah mencacatkan aku….aku benar-benar pedih…tak berdaya….tolonglah, kasihanilah aku… Air mata bercucuran membasahi janggut milik lelaki tua berbongkok itu.

Lihatlah….. Betapa mereka begitu berani mempermainkan Kalam Allah Taala.

“Subhanallah.”

Bagaimanakah aku dapat membantumu?

Tanpa mempedulikan soalan dia, orang tua itu menundingkan jarinya ke satu sudut yang lain. Matanya kelihatan berkaca-kaca.

bersambung..........................................