Sejumlah ulama Salaf telah pengsan ketika membaca Al-Qur’an.

Banyak pula yang mati dalam keadaan membaca Al-Qur’an.

Riwayat dari Bahzin bin Hakim bahawa Zurarah bin Aufa seorang tabi’in yang mulia mengimami sejumlah orang dalam sembahyang fajar. Dia membaca Al-Qur’an sehingga ayat:

“Jika ditiup sangkakala maka waktu itu adalah waktu(datangnya) hari yang sukar.”
(QS Al-Mudaththir 74:8-9)

Tiba-tiba dia tumbang dan mati. Banzin berkata:
“Aku termasuk orang-orang yang memikulnya.”

Ahmad bin Abul Hawari ra yang dijuluki Raihanatus Syam sebagaimana dikatakan oleh Abul Qasim Al-Junaidi rahimahullah, apabila dibacakan Al-Qur’an dekatnya, dia menjerit dan jatuh pengsan.

Subhanallah!

Alangkah bahagianya mereka.

Bagaimana dengan kita?

Dengarnya kita-kita ni juga ramai yang pengsan seketika sewaktu membaca al-Quran. Alhamdulillah...

Tapi sayangnya kita pengsan bukan kerana takutnya merasakan azab Allah Taala, tapi pengsan kerana mengantuk yang amat sangat. Astaghfirullah...

Moga Allah Taala ampunkan dosa hamba-Nya ini yang sering menzalimi diri sendiri.

Kata Ibn Masruq, pada suatu hari Rabia'ah al-Adawiyah telah lalu dimajlis Soleh al-Murra, lalu Soleh berkata,

"Siapa yang berterusan mengetuk pintu ketuhanan Allah akhirnya ia akan dibuka," lalu dijawab oleh Rabia'ah al-Adawiyah, " Pintu itu terbuka tapi kamu lari daripadanya. Bagaimanakah kamu boleh sampai kepada matlamat perjalanan sekiranya kamu tersalah jalan sejak dari langkah yang pertama lagi? Bagaimanakah seseorang hamba itu dapat membebaskan dirinya daripada pengaruh jahat nafsunya sedangkan ia sentiasa dikuasai oleh syahwat? Atau bagaimanakah seseorang itu mampu membebaskan dirinya daripada kongkongan hawa nafsu sedangkan ia tidak menegah dirinya daripada melakukan dosa-dosa?"

Kata al-Sulamiy, Ibn Abu Dunya berkata, para ahli hikmah berkata,

"Janganlah kamu meletakkan harapan yang tinggi untuk mendapat kejayaan menuju Allah sedangkan dirimu diselaputi dosa."

Rawatannya ialah sepertimana kata Sarij al-Saqati,

"Hendaklah kamu sentiasa menurut jalan hidayah, mempastikan segala pemakanan bersumber daripada yang halal serta menyempurnakan ketakwaan kepada Allah."