"Akak nak tahu sesuatu??" Seorang adik menegur saya di YM.

" ….walaupun saya ni adalah anak usrah akak yang paling malas pergi usrah suatu masa dulu tapi sehingga kini saya tak pernah lupa untuk mendoakan akak senantiasa berjaya dan cemerlang. Saya tahu akak amat kecewa dengan saya. Walauapapun saya tetap sayangkan akak…." Katanya lagi..

Air mata terasa begitu panas di pipi. Terasa ingin saya berlari, mendakap, memeluk, mendapatkan adik itu pada masa itu juga. Sungguh saya amat rindu. Syarifah Talha adalah anak usrah saya semasa kami di Darul Quran dahulu.

Terima kasih adik kerana senantiasa mendoakan akak, sungguh hati ini sangat terharu dan bangga dengan adik. Apatah lagi bila mendapat tahu adik adalah salah seorang dari mereka yang dapat sofi periksa baru-baru ini. tahniah!

Saya yakin dia bukan malas untuk ke usrah kerana usrah itu namanya usrah, tapi kerana saya yang gagal mempromosikan apakah itu sebenarnya USRAH.

Saya tidak menyangka dalam diam dia masih mengingati saya sebagai naqibat. Saya bukanlah seorang naqibat yang baik jika hendak dibandingkan dengan mufidah, kamilah, haiza, aisyah, hasanah, hafisah, ati, sarah, naim, tikah, ain, nana dan sahabat lain yang sudah saya anggap seperti adik beradik kandung saya sendiri. Bahkan mereka bagi saya lebih dari segalanya..

Saya terlalu rindukan kalian. Rindu yang tidak mampu untuk saya unggapkan dengan kata-kata…rindu yang amat.

Sungguh diri ini amat kagum dengan kalian yang berjaya melahirkan pelapis yang lebih hebat dan mantap dari kalian guna penggerak harakah islamiah. Moga usaha dan jerih perit kalian mendapat nilaian yang tinggi di sisi Allah taala.amin.


LAPAN RESOLUSI NAQIBAT

Semalam saya menghadiri satu daripada siri pertemuan naqibat Mansurah.

Walaupun tidak banyak masalah dalaman usrah yang diketengahkan oleh para naqibat berbanding siri-siri yang sebelumnya, namun saya yakin banyak sebenarnya perkara yang tidak terluah dan terbuku di hati naqibat, sahabat-sahabat yang saya kasihi fillah.

Antara resolusi tersebut ialah:

1. Memperkasa jati diri naqibat dengan memperbanyakkan taqarrub ila Allah Taala.
2. Memperhebatkan sistem tarbiah dan biah solehah dalam jiwa naqibat.
3. Memperkasa thaqafah dan ukhwah dikalangan naqibat dan ahli usrah.
4. Melahirkan naqibat yang pandai mengambil hati ahli usrah.
5. Melahirkan naqibat yang bijak dalam berkomunikasi dan celik ICT.
6. Mempelbagaikan suasana usrah untuk menarik perhatian ahli usrah.
7. Menitikberatkan penggunaan bahasa terutamanya bahasa inggeris dan bahasa arab dikalangan naqibat dan ahli usrah.
8. Memperkasakan sistem modul dalam menjayakan usrah.

"Saya rasa antara sebab kenapa mereka ini tidak berminat untuk datang ke usrah ialah kerana masalah kurangnya kehendak dalaman mereka sendiri untuk menyertai usrah." seorang naqibat bersuara.

Benarkah begitu??

Lupakah kita bahwa setiap kali satu jari menunding ke arah orang lain, empat jari sedang sedang menunding ke arah kita?

"Siapakah di antara naqibat di sini yang telah pergi ke rumah kesemua anak liqo'nya, dah tengok album keluarganya?" Kak Halimah selaku Timbalan Exco dakwah DPMM 08' bertanya kepada kami.

Saya antara orang yang TIDAK mengangkat tangan. Kerana saya sendiri sangat masih belum kenal secara mendalam setiap seorang adik beradik liqo' saya. Saya masih cuba.

Bagaimana dengan kalian? Saya yakin tentunya kalian sangat lebih BAIK dari saya kan.


SEMUA YANG BERLAKU ADALAH RAHMAT DARI ALLAH TAALA.

Pernah dengar kisah seorang tua yang meminta agar Allah Taala mengabulkan permintaannya untuk memiliki bunga dan rama-rama?

Allah Taala akhirnya mengabulkan permintaan orang tua tersebut. Tetapi bukanlah dengan memberikan bunga dan rama-rama. Allah Taala memberikan hadiah kepada orang tua tersebut dengan hadiah berupa ulat dan kaktus.

Kalau anda menjadi orang tua tersebut, agaknya apa yang anda fikirkan tentang Allah Taala pada masa itu ye? Tidak mustahil akan ada antara kita yang suu zhan dengan Allah Taala.

Orang tua itu tetap redha dengan pemberian Allah Taala. Kaktus yang pada awalnya kecil akhirnya membesar dan mengeluarkan bunga yang sangat cantik. Begitu juga dengan ulat tersebut, akhirnya menjadi rama-rama yang sangat cantik.

Hebatkan tarbiah Allah Taala? Begitulah juga dengan hidup ini. Setiap satu ujian yang diberikan oleh Allah Taala tiada yang sia-sia.


KUATKAN SEMANGAT JUANGMU

Sahabat-sahabiah di jalan dakwah yang saya sayangi sekalian…

Seorang teman saya bercerita, mahasiswa masa sekarang sudah tidak bermaya untuk hidup dalam dunia akademik, malah hampir semua pada pandangan umum tidak mempedulikan dan cakna terhadap perkembangan tanah air dan semasa.

Mereka lebih memilih kehidupan mereka sendiri yang sarat dengan sajian hiburan dan kesenangan yang kadang-kadang agak malah sangat melampau. Setujukah anda dengan kenyataan ini? Pada saya anda kena setuju.

Adatlah orang tidak mahu diajak terus menjejakkan diri dalam dunia Islamik tanpa mengetahui apakah kebaikan dan keuntungan yang bakal diperolehi. Maka tidak seharusnya kita hanya menawarkan pahala dan syurga yang tidak nampak.

Sesuatu yang nampak di hadapan mata dan bersifat segera mesti disediakan dalam proses menarik hati orang. Gerakan juga mestilah bersifat menyediakan apa yang umum inginkan, bukan menyediakan apa yang gerakan mahukan.

Sebegitulah dalam kita menggerakkan usrah. Kita tidak boleh terlalu berharap semuanya akan jadi macam mee segera. Lebih cepat dimasak, lebih cepat dimakan. Tapi sedap ke kalu kita asyik makan maggi sahaja hari-hari sebab nak cepat masak??

Bukankah kari mamak tu sedap sebab hari-hari kena perangat. Yang kita makan kat kedai tu pun bukannya yang kari yang dia baru masak, tapi kari yang tah berapa hari, berapa minggu duk kat dapur dia. Paham tak ni maksud saya??

Kadang-kadang, wujud sesebuah gerakan yang mendabik dada apabila melihat ramai sekali penyokongnya dengan tidak mengambil kira ramai yang sebaliknya.

Gerakan tersebut sangat bertungkus lumus menyediakan pelbagai kemudahan yang mana semuanya berdasarkan pandangan mereka tanpa dilakukan satu kajian, apakah yang diinginkan oleh umum.

Kita perlu berubah. Zaman sekarang bukan lagi zaman kita berusrah hanya dengan mendobitkan kitab berdasarkan silibus semata. Tapi zaman kita untuk melahirkan kader yang bukan sahaj bijak akademik tapi turut sama sanggup untuk membuat kerja-kerja kebajikan.


MASALAH UMUM NUQABA'

Berikut adalah antara beberapa perkara dan permasalahan yang perlu diberi perhatian oleh Naqibat yang saya ambil dari catatan blog salah seorang pimpinan GAMIS (namun, telah saya ubah sedikit dari kanyataan asal beliau) ialah;

Betulkan pemikiran kita bahawa Nuqaba' hanya memilih orang yang baik sahaja untuk dikaderkan.

Hentikan beralasan "Saya sudah mesej adik-adik supaya datang tetapi mereka tidak datang."

Banyaknya Nuqaba' tidak mencari ahli usrah sebaliknya hanya menantikan ahli usrah datang bertemu dengan mereka.

Elakkan dari menjadi Nuqaba' yang hanya berbaik dengan ahli usrah dalam perbincangan sahaja. Apabila di luar perbincangan. mesej pun tidak, tegur pun tidak, malah melemparkan senyuman semasa berselisih pun tidak. Nuqaba' sebegini dinamakan "Nuqaba' Bulat-bulat" kata beliau..

Ramainya Nuqaba' hanya memegang adik-adik dalam masa satu penggal sahaja. Setelah adik-adik itu tidak berjaya dikaderkan, mereka terus meninggalkan adik-adik itu terkapai-kapai dahagakan pengisian.

Nuqaba' hanya menumpukan silibus buku sebagai bahan perbincangan tanpa meluaskan lagi skop perbincangan mereka kepada isu-isu semasa. Nuqaba' sebegini dinamakan "Nuqaba' Silibus". Ermm, ada macam terkena je kat saya.

Nuqaba' hanya memberikan arahan kepada ketua usrah untuk mengumpulkan ahli usrah sedangkan mereka hanya bergoyang kaki. Nuqaba' ini dinamakan "Nuqaba' Pemalas".

Nuqaba' yang asyik berasa rendah diri kerana kekontangan ilmu sedangkan mereka tidak sedar bahawa usrah umum adalah lebih kepada pembinaan ukhuwah manakala ilmu boleh didapati sekiranya nuqaba' membawa ahlinya mendengar kuliah-kuliah dsbg.

Nuqaba' yang sibuk memaksa ahli usrah untuk ke program PMRAM, DPM dan BKAN tetapi mereka sendiri tidak pernah ke tempat program yang dianjurkan oleh adik-adik usrah mereka.

Banyaknya kelemahan saya. Moga kita sama-sama dapat memperbaiki kelemahan ini guna memperkasakan gerakan dakwah Islam.