DIPETIK DARI:http://genta-rasa.com/

Seorang isteri mengeluh mengapa suaminya sudah semakin jarang mengirim pesanan ringkas berisikan kata-kata cinta, sayang, rindu seperti mula-mula kahwin dahulu. Kalau adapun tidak sehangat dan sekerap dulu. Mungkin sepatah hanya sepatah OK, “ya” atau “tidak” sahaja yang tertera di layar telefon bimbit. Apakah dia sudah jemu? Atau cintanya sudah berkurang? Begitulah detik hati si isteri. Kadang-kadang suami sudah semakin mahal dengan senyuman. Kata-katanya boleh dikira. Sudah banyak diam. Pujuk rayu? Ah, jauh sekali.

Memang begitulah resmi lelaki, semakin banyak bebanan semakin sedikit luahan perkataan. Kesukaran kekadang menimbulkan kebisuan. Itu petanda ketenangan semakin dihakis. Dihakis oleh cabaran kehidupan. Menjadi seorang suami bererti mengucapkan selamat tinggal kepada alam bujang yang penuh kebebasan dan serba boleh. Jika tidak pandai mengawal hati, mengurus emosi… semakin bertambah usia perkahwinan, hidup akan menjadi semakin sunyi.

Namun, saya sedar apa yang saya tulis ini kemungkinan akan dicebikkan oleh pasangan yang sedang hangat bercinta. Mana mungkin pasangan yang begitu setia berSMS (kekadang sampai mencecah 100 kali sehari!) atau “bergayut” berjam-jam lamanya di gagang telefon boleh menjadi beku dan kaku seperti itu. Tidak mungkin “kami” ataupun aku jadi begitu. Mungkin itulah yang berbunga di hati kini. Tetapi nanti dulu, pesan saya cinta itu pasti diuji.

Seorang sahabat saya secara bergurau menjelaskan betapa mulut seorang wanita semakin becok apabila berumah tangga, sebaliknya mulut seorang lelaki menjadi semakin terkunci bila bergelar suami. Mengapa? Menurutnya lagi, isteri yang mula diasak oleh kesibukan tugas sebagai suri rumah (lebih-lebih lagi apabila menjadi seorang ibu), akan banyak bercakap, mengarah, menegur itu dan ini. Jika tidak dikawal, seorang isteri boleh bertukar daripada seorang wanita penyengap menjadi peleter yang tidak pernah rehat.

Manakala suami yang dahulunya begitu besar ketawa dan lebar senyumnya, perlahan-lahan menjadi seorang pemenung dan pendiam. Kesukaran tugas dan beban tanggung-jawab menyebabkan seorang lelaki banyak berfikir dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah. Ya, potensi lelaki menjadi “ahli falsafah” semakin menyerlah apabila menjadi seorang suami apatah lagi menjadi seorang ayah!

Rupa-rupanya ketawa yang lebar dahulu bukan kerana benar-benar gembira tetapi kerana belum mengenal erti kesusahan. Begitu juga yang senyap dahulu bukan kerana benar-benar pemalu tetapi kerana belum dicabar kesibukan dan cabaran tugasan. Hakikatnya, lelaki dan wanita sama-sama teruji di dalam sebuah gelanggang mujahadah yang dinamakan sebuah rumah tangga.

Musim cinta sudah berlaku. Tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa perlahan-lahan bertukar menjadi taufan. Jika tidak bijak dan sabar mengawal kemudi hati, pasti tersungkur peribadi dan runtuhlah pertautan dua hati. Benarlah kata hukama, perkahwinan boleh dimulakan oleh sebuah cinta, tetapi hanya disempurnakan oleh satu tanggung jawab.

Apa maksud tanggung jawab? Ia adalah satu beban, tugasan atau amanah yang mesti kita “tanggung” di dunia, “disoal” di akhirat dan mesti kita jawab di hadapan Allah SWT kelak. Sekalipun badai ujian rumah tangga ada kala begitu dahsyat, tetapi kita akan teruskan juga demi satu tanggung-jawab. Kita sedar bahawa menjadi seorang suami mahupun seorang isteri bukan hanya untuk menikmati keseronokan dan kemanisan yang diingini oleh fitrah setiap manusia tetapi yang lebih penting berkahwin itu adalah perintah dan amanah daripada Allah.

Telah sering kita diingatkan, bahawa untuk mengukuhkan hubungan antara makhluk (dalam konteks ini antara suami dengan isteri), Khalik (Allah) wajib menjadi matlamatnya. Begitu juga dengan perkahwinan, matlamatnya ialah mencari keredaan Allah. Rumah tangga hakikatnya adalah satu gelanggang ibadah untuk meraih pahala dan keredaan-Nya. Bukan cinta isteri atau cinta suami yang menjadi matlamatnya, tetapi itu hanya alat. Alat yang digunakan untuk mencapai matlamat. Ertinya, cintakan suami dan isteri mesti berdasarkan rasa cinta kepada Allah. Bila ini menjadi asas dan terasnya, maka itulah yang dikatakan bercinta dengan rasa tanggung jawab.

Cinta tidak boleh terpisah daripada tanggung jawab. Gabungan keduanya yang melahirkan rumah tangga yang bahagia. Jika ada cinta tetapi tidak ada rasa tanggung jawab, lambat laun cinta akan meluntur dan rumah tangga akan terkubur. Sebaliknya, jika ada tanggung jawab tetapi tidak ada rasa cinta, maka hilanglah seri dan kemanisan sebuah rumah tangga… umpama hidup segan, mati tak mahu.

Ketika kemanisan bertukar pahit, ketika keseronokan beralih kepada kesukaran, maka tinggallah rasa tanggung jawab untuk menyempurnakan sebuah perkahwinan. Ketika itu rasa cinta mungkin sedikit terumbang-ambing atau seakan-akan mula meminggir, tetapi rasa tanggung jawablah yang akan mengikatnya kembali dengan setia dan sabar. Genggam bara api biar sampai jadi arang. Begitulah kekuatan satu tanggung jawab, yang mampu bertahan ketika cuaca rumah tangga tenang ataupun bergelombang.

Salah satu ujian terbesar dalam rumah tangga ialah terserlahnya warna sebenar pasangan kita. Saat itu akan tiba. Dan jangan terkejut jika kita dapati dia seolah-olah insan lain yang belum pernah kita kenali. Hairan melihat perubahannya? Jangan, kerana dia pun hairan juga melihat perubahan kita. Hakikatnya, kita dan dia sama-sama berubah. Warna sebenar (true colours) yang menurut pakar-pakar psikologi hanya akan muncul apabila mencecah lima tahun usia perkahwinan.

Justeru, jangan sekali-kali kita merasakan sudah kenal dengan pasangan kita walaupun telah lama hidup bersama sebagai suami isteri. Proses perkenalan antara sesama pasangan mestilah diusahakan dan diteruskan secara konsisten. Ini adalah satu langkah ke arah pengukuhan cinta dalam rumah tangga. Bukankah tak kenal maka tak cinta? Jadi, apabila cinta tergugat, itu adalah petanda yang menunjukkan proses pengenalan juga telah terencat.

Oleh itu, tunggu apa lagi? Teruskanlah berkenalan dengan pasangan anda dengan cara bertanya, berkongsi, meluahkan dan meminta pandangan. Jangan sekali-kali menggunakan “fail lama” untuk mencipta keserasian baru. Terimalah hakikat bahawa kesukaan, minat, hobi dan kecenderungan pasangan kita berubah. Warna yang terang kesukaannya dahulu mungkin bertukar menjadi warna redup seiring pertambahan usianya kini. Mungkin corak seleranya juga turut berubah bersama penyakit fizikalnya yang mula singgah. Begitu jugalah dengan apa yang gemar ditonton, didengar, dilihat dan dirasainya. Mungkin jauh berbeza daripada saat mula-mula kahwin dahulu.

Membina cinta ketika tarikan fizikal dan keinginan seksual sudah menurun memerlukan keikhlasan. Di mana lagi sumber keikhlasan jika tidak kembali kepada iman? Ertinya, kembali kepada Allah. Percayalah keadaan yang serba-serbi tak kena, hilang tumpuan, kurang selera makan, tidak ada “mood” untuk bercerita dan berbicara adalah bukti terhakisnya ketenangan dalam hati. Dan itu semua adalah berpunca darinya lalai dan alpanya hati daripada zikirullah (mengingati Allah). Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” Ar Ra’d: 28

Iman dalam hati akan menyebabkan suami dan isteri saling bertanggung-jawab. Walaupun berat terasanya mulut untuk berbual dengan isteri akibat beban masalah menyara rumah tangga, namun digagahi jua oleh kesedaran kata-kata yang baik itu adalah satu sedekah. Walaupun terasa sukarnya mengukir senyuman di hadapan suami bahana kerenah anak-anak, tetapi isteri yang beriman terus bermujahadah… dan terus tersenyum di hadapan suaminya justeru menyedari senyuman itu adalah satu sunah. Sedekah dan sunah yang dilakukan oleh suami dan isteri inilah yang menurunkan sakinah dan mawaddah dalam sebuah rumah tangga.
Ya, bila musim cinta sudah berlalu, semailah “pohon” tanggung jawab. Insya-Allah, musim cinta akan kembali dan ketenangan dan kebahagiaan akan kembali harum dan mewangi!

Tip untuk bertanggung jawab:

Kenangkan selalu bahawa isteri atau suami kita adalah milik Allah bukan milik kita.
Dalam apa jua perselisihan, carilah di mana kedudukan syariat dalam hal itu.
Sentiasa bermuzakarah dalam membuat keputusan.
Sering melakukan solat istikharah dan hajat dalam menghadapi sesuatu ujian.
Bayangkan pertemuan yang indah dengan semua anggota keluarga di syurga nanti apabila masing-masing bertanggung jawab dengan perintah Allah.
Takutkan neraka dan bimbangkanlah seksanya jika mengabaikan tanggung jawab.
Bila suasana terlalu sukar, bisikan di hati… itu semua sementara, pertolongan Allah sudah dekat.

P/S; Tahniah buat sahabat-sahabat trutama sahabat saya Nadia ganu yg baru mndirikn rumahtangga. Moga kebahagiaan milik kalian hingga ke syurga. amin..

Al-hamdulillah sebahagian kandungan hard disk saya, yang saya bawa pulang sekembali bersama ke Malaysia dapat di selamatkan. Walaupun tidak banyak,sekurang-kurangnya dapat merawat rindu saya pada sahabat-sahabat terutamanya mereka yang masih menuntut di perlembahan Nil.

Membaca kisah azhan atan yang menghafal al-quran di dalam ruangan harakahdaily.net buat hati saya sebak seketika. Tidak semena saya teringatkan sahabat saya k.aishah Ho, seorang muallaf yang juga berjaya menghafaz al-Quran menggunakan kaedah Braille.

Gambar-gambar perkahwinan k.Aishah Ho yang saya perolehi dari seorang sahabat saya dari Batu Pahat, Johor







AL-QURAN TIDAK AKAN MENEMPATI HATI YANG DIPENUHI DENGAN MAKSIAT.

Apakah yang dimaksudkan dengan taqwa? Menurut kandungan kitabul 'ilmi, karangan Muhammad bin Shalih al-Uthmani, taqwa bermaksud apabila seorang hamba membuat penjaga (penghalang) antara dirinya dengan sesuatu yang di takutinya sehingga ianya mampu menjaga dirinya dari apa yang ditakutinya.

"Pelajar qiraat hari ini lebih teruk dari pelajar kuliah lain". Ngomel seorang teman semasa saya masih menuntut di Mesir suatu tika dahulu. Benarkah? saya serahkan pada anda untuk menjawabnya.

Tdak semestinya penghafal al-Quran itu taqwa orangnya, kerana al-quran sendiri di dalam surah al-hzab ada menyebut bahawa tingkatan mereka yang di gelar muslimin dan muslimat itu berbeza dengan mereka yang mukminin dan mukminat, berbeza dengan qanitin dan qanitat, berbeza dengan sodiqin dan sodiqat, berbeza dengan sobirin dan sobirat, khasyiin dan khasyiat, mutasoddiqin dan mutasoddiqat, soimin dan soimat, hafizin fujujahum dan hafizhat, zakirin dan zakirat.

Hati saya yang penuh dengan maksiat ini bertanya mengapa dan mengapa dari kalangan mereka yang menghafaz al-Quran itu masih ada yang berani melakukan maksiat secara terang-terangan? Berani menghebahkan pada orang lain si anu itu boy prend ana, naik teksi, bas, tramco bersama-sama, saling duduk bersebelahan, tidak mahu pergi tasmi' dengan syeikh yyang berkelayakkan yang telah payah disediakan oleh pihak persatuan dengan alasan lebih selesa tasmi' al-Quran dengan 'ostat' di cc. Malah ada yang lebih berani dari itu, yang kita serig kadang-kadang musykil mengapa perkara yang terkutuk itu patut terjadi di kalangan para huffaz (terlalu aib untuk diceritakan di sini).

Imam syafie sendiri pernah mengadu kepada Gurunya Waqi ttg buruknya hafalan beliau, lalu beliau di suruh agar menjauhkan diri dari maksiat, kerana ilmu itu cahaya dan cahaya tidak akan menyimbahi hati yang bergelumang dengan maksiat.

Pelik tapi benar. Ada orang yang dia hanya mampu menghafaz jika telinganya di sumbat dengan walkman lagu-lagu. Saya tidak tahu lagu apa yang dimainkannya. Apa yang pasti, mungkin alasan dia untuk menggerakkan kedua-dua otaknya serentak itu benar, namun cara ini sangat salah dan lansung tidak berkat. Bukankah Nabi Allah sendiri bergetar dan berpeluh tubuhnya setiap kali ingin menerima wahyu. Kita pula bermain-main seolah kalam itu kalam manusia.

Huffaz biarpun istilah sebenar huffaz ini adalah untuk mereka yang menghafaz hadith, sepatutnya lebih terkehadapan berbanding orang lain. Saya agak terkilan dan sedih apabila kelas pertama saya di UKM untuk subjek Metodologi dakwah dalam al-Quran Dr menyebut bahawa UKM sebenarnya tidak menerima pelajar dari jurusan tahfiz untuk terjun ke bidang Dakwah dengan alasan pelajar tahfiz ni BERMASALAH. Kata beliau lagi, beliau seperti tidak percaya bagaimana saya boleh lepas. Bagi saya jawapan teka teki ni tidak terlalu rumit. Huffaz perlu keluar dari kepompong mereka.

Hentikan alasan saya ingin menumpukan kepada hafalan saya semata-mata tanpa ingin menawarkan diri untuk aktif di gelanggang persatuan seperti mengambil pengalaman menjadi pengerusi umum atau slot untuk sesuatu majlis, menjadi fasilitator program hatta jika di minta menjadi tukang masak untuk sesuatu program.

Berubahlah kerana mengkarung itu sendiri sendiri merubahkan diri apabila ada gangguan, maka apatah kita manusia yang dikurniakan akal dan hati untuk berfikir.

Kepada serluruh teman-teman di perlembahan Nil yang kini sedang bertungkus lumus dengan imtihan, bittaufiq wan najih di ucapkan. Sesungguhnya Malysia menanti kepulangan kalian dengan ilmu&ppengalaman yang pastinya sarat di dada.

salam rindu buat kalian dari UKM.

Comel kan kanak-kanak tu? lihat juga kepada ibu dan tiga orang bakal ibu itu, mereka juga cute kan? jangan marah :) .



Tentunya ramai yang agak terkejut melihat saya menulis entri ini kan? Bergambar di samping kanak-kanak arab mesir yang cukup ramai ketika jaulah kincir air nabi yussof buat saya terasa tidak sabar untuk punya anak sendiri yang mudah-mudahan semuanya bukan sahaja soleh dan solehah, tetapi juga menjadi orang-orang yang bakal menobatkan Islam ke puncak tertinggi. Amin.

Kincir air Nabi Yussof


Ketika dalam kesibukan mencari buku-buku rujukan untuk tajuk kerja kursus berkaitan Piagam Madinah, saya terjumpa sebuah buku bertajuk "Teknik Mendidik Kecemerlangan Anak dalam Kandungan".

Buku ini tidaklah terlalu tebal untuk di baca, sekadar 322 muka surat tidak termasuk kulit.

Antara perkara penting yang cukup menarik dikupas dalam buku ini ialah berkenaan tentang Syarat-syarat mendidik anak dalam kandungan, petua-petua untuk mendidik anak dalam kandungan, mata pelajaran yang perlu kita ajarkan kepada anak-anak dalam kandungan dan banyak lagi.

Anda ingin mengetahui isi buku ini? tidak susah, anda hanya perlu pergi ke kedai buku yang berdekatan dengan anda. Selamat membaca.

Dua hari yang lepas saya menyertai kolokium siswazah di UKM. Alhamdulillah, oleh kerana program ini termasuk program yang wajib di hadiri oleh semua pelajar baru, maka tidak dapat tidak ramai juga yang menghadirinya.

Sebagai 'orang baru' di UKM, saya suka untuk lebih memerhatikan gelagat dan tabiat 'orang-orang di sana. Untuk itu, kolokium ini pada saya amat berharga. Ia bukan sahaja mendedahkan tentang teknik pembentangan disertasi kelak, tapi juga banyak maklumat baru yang diperolehi hasil dari pembentangan disertasi mereka. InsyaAllah, saya akan cuba memasukkan catatan yang boleh kita kongsikan pada tulisan saya yang akan datang.


KECEMERLANGAN YANG PATUT DI CONTOHI

Seperkara yang amat mengujakan saya ialah tatkala bertemu dengan adik saya Elly yang rupanya baru sahaja selesai menamatkan pengajian di peringkat sarjana di UKM hanya dalam tempoh dua tahun setengah dengan keputusan yang amat cemerlang. Beliau bukan sahaja ditawarkan untuk menjadi pensyarah di fakulti pendidikan UKM sendiri, malahan turut ditawarkan untuk terus melanjutkan pengajian di peringkat PHD. Tahniah Elly! Akak sangat bangga dengan adik. Moga kecemerlangan adik menjadi sumber inspirasi sahabat-sahabat dan adik-adik yang lain untuk maju dalam pelajaran tanpa mengetepikan penglibatan secara aktif dalam persatuan di kampus.

Tahniah juga buat teman-teman saya farhan jusoh yang kini masih menjadi salah seorang dari tampuk pimpinan gamis yang baru sahaja berjaya menamatkan pengajian di fakulti pendidikan. Apa yang saya tahu teman saya ini merupakan antara pelajar yang sering mendapat anugerah dekan di UKM. Tidak lupa juga buat teman-teman yang lain, syabas dan tahniah!

DEMAM YANG BERBALOI

Petang tadi saya ke rumah kakak di taman universiti indah meraikan anak buah yang mendapat 8A dalam PMR kelmarin. Kejayaan yang berbaloi rasanya sebab ecah telah di masukkan ke hospital pada hari terakhir exam PMR tempohari. Bahaya juga, maybe ini mesti kes tak berapa jaga pasal makan sebab terlalu asyik study.

Assalamualaikum

Sudah lama benar saya tidak menulis di blog. Alhamdulillah, doa mak abah, sahabat-sahabat untuk saya agar dapat melanjutkan pengajian di UKM dalam bidang dakwah dan kepimpinan di makbulkan oleh Allah Taala.

Terlalu banyak yang ingin saya coretkan, namun cukuplah sebagai permulaan sempena awal tahun baru kita ini untuk kita sama-sama mengucapkan setinggi kesyukuran pada Allah Taala atas segala nikmat yang dikurniakannya baik berupa nikmat kesakitan, ujian, rezeki atau apa sahaja biarpun kadangkala nikmat yang diberikan kepada kita itu tidak kita sukai.

Semoga tahun baru ini menjadiakn kita insan yang lebih berani ke hadapan mendepani cabaran mendatang. Buat k.ila yang saya sayangi, semoga perkahwinan k.ila bahagia hingga ke syurga bersama anak-anak yang comel lagi soleh dan solehah. buat wawa, radiah, bibah yang cute dan rajin; moga najah cemerlang dalam imtihan kelak. Istimewa buat mufid, milah, capa, sanah, nana, haiza, naim, ecah, fisah; i miss u all so much.

ilal liqo',

wassalam

my site

Islamic Calendar

Islamic Clock

Profail Penulis

Profail Penulis
No. 201, Blok E2, Seksyen 2, Wangsa Maju, Setapak, Kuala Lumpur, Malaysia.

Suamiku kekasihku, Kunci syurgaku.

Suamiku kekasihku, Kunci syurgaku.

Pengikut

Ayahanda, bonda dikau sumber inspirasiku.

Ayahanda, bonda dikau sumber inspirasiku.

Powered By Blogger

About this blog

“Barangsiapa disibukkan dengan mengkaji Al-Qur’an dan menyebut nama-Ku, sehingga tidak sempat meminta kepada-KU, maka Aku berikan kepadanya sebiak-baik pemberian yang Aku berikan kepada orang-orang yang meminta. Dan keutamaan kalam Allah atas perkataan lainnyaadalah seperti, keutamaan Allah atas makhluk-Nya.

(Riwayat Tirmidzi dan katanya: hadits hasan)