Sindrom Islamophobia?? Artikel ni saya kutip dari harakah kolum khas untuk wanita dengan tajuk; Maaflah ya! Ini khusus untuk wanita... Moga ada manfaatnya;

Satu episod rancangan sitcom televisyen NBC Kanada, "Little Mosque on the Prairei" amat menarik perhatian penulis. Rancangan sitcom itu penulis tonton melalui MyTube.com. "Little Mosque on the Prairei" mengisahkan kehidupan sekelompok muslim Kanada di sebuah bandar di pinggir kawasan Prairei yang terkenal dengan penghasilan gandum.

Episod itu bermula dengan kecederaan yang dialami seorang pengusaha kafe muslim yang terjatuh ketika bertengkar dengan seorang pelanggan di kafenya. Setelah dirawat oleh seorang doktor muslim, beliau dinasihatkan supaya banyak beriadah dengan berenang bagi menguatkan ligamen lututnya. Oh, lupa nak dinyatakan bahawa kedua-dua pengusaha kafe dan doktor itu perempuan.

Pada satu hari, kedua-dua mereka pergi ke kolam renang milik perbandaran. Alhamdulillah, bandar itu mempunyai hari khusus untuk wanita menggunakan kolam renang. Maka soal aurat tidak menjadi persoalan kerana semua pengguna kolam renang pada hari itu ialah perempuan. Bagaimanapun masalah timbul kerana instructor kolam renang itu ialah seorang 'lelaki lembut'. Maka kedua-dua wanita muslim itu membantah kehadiran instructor itu atas alasan mereka beragama Islam dan menjadi satu kesalahan di sisi Islam untuk mereka berbikini di hadapan seorang lelaki bukan muhrim. Lelaki lembut itu mendakwa dia seorang 'gay' dan tidak bernafsu melihat perempuan. Jadi dia enggan meninggalkan kolam renang itu kerana dia bertugas pada hari itu. Pengusaha kafe dan doktor muslim itu akhirnya terpaksa mengalah dan tidak jadi berenang kerana kelas renang hanya dikendalikan oleh instructor 'gay' itu.
Maka bermulalah perjuangan doktor muslim itu untuk mendesak datuk bandar - yang juga seorang wanita - untuk menyediakan instructor renang wanita. Beliau memohon pertolongan ibunya, pegawai perhubungan awam di pejabat datuk bandar untuk melobi majlis perbandaran agar memenuhi tuntutannya. Datuk bandar bukan muslim itu tidak membantah cadangan tersebut tetapi berkata majlis perbandaran tidak mempunyai bajet yang cukup untuk menggaji seorang instructor renang wanita. Beliau (datuk bandar) bagaimanapun berjanji akan membawa perkara itu ke mesyuarat majlis jika doktor muslimah itu berjaya mengutip tandatangan sokongan daripada sekurang-kurang 120 wanita (jika ingatan saya belum pudar).

Ibu doktor muslim itu pula berhadapan dengan masalah. Jika permohonan anaknya itu diluluskan oleh mesyuarat majlis, maka harapannya untuk menyertai lawatan ke China akan terjejas. Ini kerana bajet untuk membiayai instructor renang wanita akan diambil daripada kos membiayai lawatan beliau ke China. Maksudnya, beliau tidak akan tersenarai menyertai lawatan ke China jika instruktor renang wanita digaji. Maka bermulalah usahanya untuk menggagalkan kempen pungutan tandatangan itu. Dalam salah satu slot sitcom itu, beliau cuba mempengaruhi seorang wanita bukan muslim agar tidak menurunkan tandatangan di kertas petisyen. Bagaimanapun cubaannya gagal dan wanita bukan muslim itu menurunkan tandatangan kerana menganggap idea menggaji seorang instructor wanita bagi perenang wanita adalah baik.

Saya tidak ingat kesudahan cerita itu kerana tumpuan saya terganggu dengan tugas-tugas lain di pejabat. Tetapi pengajaran yang diperolehi dari sitcom itu adalah, bukan menjadi satu keganjilan atau kesukaran untuk mengamalkan Islam di negara-negara minoriti muslim seperti Kanada. Walaupun Barat kini diserang sindrom Islamophobia (ketakutan terhadap Islam) pasca insiden 11 September 2001, masih ada di kalangan masyarakat dunia yang mampu berfikiran rasional dan mengamalkan toleransi. Sitcom "Little Mosque on the Prairie" adalah salah satu usah untuk mengikis sindrom Islamophobia itu. Memang ada pro dan kontra dengan penyiaran sitcom itu, tetapi penulis tidak mahu mengulasnya di sini.

Apa yang cuba diketengahkan dalam tulisan ini adalah usaha mewujudkan environment yang selesa untuk wanita Islam bersosial tanpa menjejaskan pegangan syariat telah wujud di peringkat global. Di negara kita, Sukan Nisa' - acara sukan khas untuk wanita berjalan penuh meriah dan warna warni. Kehadiran ratu pecut 200m sukan Asia Doha, Ruqayya al-Ghasara mencetus semangat peserta dan penganjur. Bagaimanapun tidak semua yang melihat ini sebagai satu perkembangan sihat. Menteri Belia dan Sukan, Azalina Othman Said dan Ketua Puteri Umno, Noraini Ahmad (yang tidak punyai apa-apa portfolio dalam kerajaan) tidak berpuashati kerana lelaki tidak dibenarkan menyaksikan sukan itu. Hujah mereka kaum kerabat lelaki peserta tidak dapat memberi sokongan moral. Itu jugalah yang dikritik pengarang The Star, Wong Chun Wai yang selalunya sinis dengan apa jua perkembangan di Kelantan.

Penulis pernah berbual dengan seorang teman, prof madya di sebuah IPTA tentang perkembangan ini. Sambil menyatakan sokongannya terhadap Nisa' Games yang berlangsung di Kelantan, beliau mempunyai pandangannya sendiri tentang fenomena segregasi gender ini. Menurut beliau, mengapakah kerajaan negeri begitu obses dengan peraturan segregasi gender sehingga mengasingkan kaunter lelaki dan wanita di pasaraya. Mengapa tidak diwujudkan kaunter khas untuk wanita. Maksud beliau, biarlah wanita yang mahu berbaris di kaunter khas wanita berbuat demikian, manakala yang mahu terus berbaris di kaunter biasa berbuat demikian.

Menurutnya, adalah lebih praktikal untuk orang ramai khususnya wanita diberikan pilihan daripada dipaksa untuk ke barisan tertentu yang mungkin menyulitkan mereka khususnya kepada yang berkeluarga.

Beliau memberi contoh Jepun yang menyediakan gerabak keretapi khas untuk wanita dan beberapa bandar di India yang menyediakan bas khas untuk wanita. Pokoknya wanita diberi kebebasan untuk memilih - tempat khusus untuk wanita atau kaunter dan kenderaan awam yang bersifat uniseks. Mungkin cadangan ini dapat menutup mulut wanita dan lelaki gatal yang saja-saja mahu bercampur di khalayak umum tanpa sebarang alasan yang munasabah. Sekurang-kurangnya wanita kita bahkan wanita di seluruh dunia punyai pilihan.

Alangkah indahnya jika satu hari nanti Malaysia yang kita cintai ditadbir oleh Pemerintah Islam yang bukan hanya pada nama tapi yang benar-benar mengamalkan Islam.

Aduh, sungguh aku terpukul bila mengetahui Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ingin mencontohi Umar al-Aziz. Bagaimana dengan kita?