Sesungguhnya asas untuk memperbaiki Ummah ialah dengan memperbaiki usrah (keluarga) dan permulaan untuk memperbaiki usrah ialah dengan memperbaiki wanita.

Oleh itu setiap daripada kita hendaklah memperbaiki diri dengan mendidik hati sanubari kita semoga mendapat asas untuk memperbaiki keluarga kita serta orang lain dengan Fikrah Islam.

Allah swt mengajar kita:

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-jalan Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (an Nahl: 125)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

“Sebaik-baik wanita ialah wanita (isteri) yang apabila engkau memandang kepadanya, ia menggirangkan engkau. Jika engkau memerintah, ditaatinya perintah engkau (taat) dan jika engkau bepergian dijaga harta engkau dan dirinya”

Anak dan isteri wajib dididik,
Agar mereka menjadi cerdik,
Tugas mereka perlu diselidik,
Begitu juga adik beradik.


Percayakah anda jika ada orang mengatakan kerjaya atau profession sebagai suri rumah adalah suatu kerjaya yang sama penting dengan sektor awam dan swasta di luar?
Bagi yang percaya, syabas dan tahniah saya ucapkan. Bagi yang kurang percaya, terutama lelaki, anda juga mesti percaya pada kata-kata ini... Bahkan, pada ketika-ketika tertentu kerjaya sebagai suri rumah adalah jauh lebih penting dan mencabar daripada apa jua bentuk kerjaya di luar.

Bagaimana pula begitu?

Jawapannya, bukankah rumah adalah kilang untuk melahirkan produk manusia yang berkualiti?

Bukankah rumah tempat bermula lahirnya mujahid, mujahidah, insan-insan yang cemerlang , gemilang, terbilang sebelum berpindah ke sektor awam dan swasta itu?

Bukankah Ibu adalah madrasah pertama bagi bayi sebelum mereka ke madrasah luar yang pastinya lebih mencabar? Juga disebut mahaguru 'alam, mahaguru yang mula-mula sekali berperanan untuk mendidik generasi kita (atau mana-mana generasi sekali pun.) Sehingga ada pepatah menyebut “wanita yang tangan kanannya menghayun buaian, tangan kirinya bisa menggegarkan dunia”. Tidak kurang juga ada yang mengatakan bahawa wanita itu sungguh amat mempengaruhi hidup manusia, di mana seorang ibu itu memerlukan masa sehingga 20 tahun untuk mendidik anaknya tetapi seorang wanita jahat hanya memerlukan masa 20 saat untuk menjatuhkan seseorang. Nah, bagaimana sih?

WANITA DAN KERJAYA

Ramai wanita pada hari ini, asalnya professional terpaksa berhenti bekerja dan tinggal di rumah atas tekanan dan hambatan semasa. Apabila anak semakin ramai, ramai wanita mengambil keputusan berhenti kerja untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap keluarga.

Saya pernah membaca dalam sebuah majalah tentang seorang doktor perubatan yang berhenti kerja semata-mata untuk memelihara anak dirumah. Satu pengorbanan yang cukup besar dan mencabar sekali.

Namun relevankah beliau berhenti kerja, sedangkan beliau mampu mencari alternative lain, bukannya berhenti kerja, sebab zaman dan agama sangat berkehendakkan professional sepertinya terutamanya dalam bidang perubatan untuk menjana profesionalisme?

Pada saya keputusan yang beliau pilih adalah tepat dan merupakan satu pengorbanan yang cukup besar dan hebat. Namun begitu, sama-samalah kita mendoakan agar dia dapat meneruskan profession nya itu dari rumah-demi kepentingan ummah sejagat.

SURI RUMAH LEBIH HEBAT DARI PEKERJA SEKTOR
“Mana boleh macam ni…eh, ingat kerja kat sektor tu senang ke? Penat tau, dah lah balik rumah jalan raya pulak traffic jam. Ingat tak tension ke?”( saya agak-agak je diorang akan cakap macam tu..)

“Alahai, rumah sekarang ni kan banyak yang dah pakai pembantu rumah, kalau zaman dulu ye lah penat nak jaga anak , jaga suami lagi, pastu nak jaga rumah pulak..”

Ya, memang betul, tak dapat dinafikan. Namun, kita tengok balik, semua rumah ke pakai pembantu rumah? Ingat senang ke nak kemas rumah? Baru je kemas depan, belakang berselerak. Dah kemas belakang, depan pulak berseerak balik..aduh, anaknya 10 orang, kecil-kecil lagi pulak tu. Adiknya menangis abangnya pun nangis juga, nk minta perhatian..melayan diorang aje, memang tak sempatlah nk masak sepesel untuk suami tersayang yang nak balik rumah sekejap lagi...

“Alahai, pandai-pandai lah urus”..ngomel seorang lelaki

Relaks…jangan marah.. …(lelaki yang soleh dia tak ngomel macam ni, bahkan terus sahaja membantu isteri dia part mana yang dia boleh bantu)..

Memang betul setiap orang memainkan peranan pada sisi masing-masing. Cuma saya lebih suka untuk mengetengahkan pada kali ini tentang kelebihan seorang perempuan menjadi suri rumah. Tak salah kan?? Lain kali kita sentuh pasal suami soleh pulak ok?
Mengapa ye seorang perempuan yang menjadi seorang suri rumah bukan hanya seorang yang biasa-biasa tapi juga adalah seorang pentadbir, pengurus, pegawai kewangan, ahli fikir, ahli ekonomi, ahli psikologi, pekerja biasa, tauke, pemandu, doktor, jururawat, tukang masak, tukang kemas, tukang kebun, guru bahkan segalanya yang ada di dalam sebuah organisasi kerjaya sebenar di luar bahkan kadang-kadang lebih hebat lagi?

Jawabnya ....opss, jangan baca lompat-lompat ye? Baca dengan tenang dan penuh penghayatan.. tips ini bukan saya reka tau, tapi hasil saya kutip dari beberapa buah majalah tempatan kita dan beberapa buah buku.

Pertama sekali, kita kena tahu bahawa seorang isteri itu akan terus masuk syurga tanpa perlu bayar tol yang mahai macam kat KL (tu lah sapa suruh hang undi BN? Depa tu cekik darah ja tau) sekiranya perlakuannya diredhai oleh suaminya. Nikmat ini tidak akan sama sekali dapat dikecapi oleh mereka yang menolak perkahwinan kerana dia telah menolak sejauh ufuk barat dan timur untuk menjadi calon wanita solehah yang berada di bawah naungan suami. Jadi yang rasa-rasa diri tak nak kahwin tu, kahwin lah cepat ye? Oppsss.. Jangan lupa tolong doakan saya cepat kahwin juga ye?

Kedua, seorang suri rumah juga perlu memastikan rumahnya senantiasa dalam keadaan tersusun rapi dan teratur? Seronoknya kalau dapat suami yang rajin tolong kemas kan? Isteri pulak kalau tengok suami tolong kemas tu, jangan lupa cepat-cepat lah puji dia. Bodeklah sikit.. InsyaAllah, lepas ni bukan aje tolong kemas rumah, memasak ke, apa ke, semua suami akan tolong buat. Dapat hadiah istimewa lagi.. dan isteri hanya tinggal jaga anak je...

Ketiga, seorang suri rumah juga perlu memastikan agar rumahtangga yang ditadbir tidak kucar-kacir agar setiap orang yang tinggal di dalamnya merasai nikmat, ketenangan dan kelapangan? Terasa macam di syurga kata kawan saya…

Seterusnya, bukankah seorang suri rumah itu juga merupakan seorang pegawai kewangan yang akan menguruskan kewangan yang akan memastikan wang tersebut cukup untuk perbelanjaan harian? Juga seorang perancang ekonomi yang terpaksa membuat unjuran menghadapi kekangan dan hambatan musim-musim perayaan dan hari mula persekolahan?

Begitu juga, seorang suri rumah juga adalah seorang pakar psikologi hingga mampu mendidik anaknya menjadi manusia yang bernama ‘manusia’ juga. Dia juga seorang yang tak segan silu, tersipu-sipu untuk menjawat jawatan sebagai pekerja biasa yang melakukan kerja-kerja pekerja bawahan yang kerja mereka menyapu sampah, mengemas rumah, mengemop, mengelap, membasuh periuk belanga, memasak bahkan kadang mengecat rumah sendiri? Tahniah kepada HEWI Mansurah (DPMM) 07’/08 yang telah mengecat dapur markaz DPMM sehingga jadi cantik gitu..

Kadang-kadang dia juga seorang pemandu yang menghantar suaminya ke pejabat atau ke lapangan terrbang atau saban hari menghantar anak-anak ke sekolah dan mengambilnya kembali? Bahkan dia juga seorang tauke kepada perusahaan yang menjana ekonomi kelauarga yang di usahakannya dari rumah sendiri. Penat tau syeikh…

Begitu juga di saat kecemasan dialah jururawat, bahkan kekadang juga seorang doktor yang akan merawat suami dan anak-anaknya? Tu belum lagi kalau perempuan ni jenis orang yang terlibat dengan aktiviti muslimat kat luar.. samalah kita doakan mereka ye?

Sebenarnya ada banyak lagi yang kalau kita selidik betul-betul tentang tugas perempuan yang menjadi suri rumah ni…Cuma saya tak berkesempatan untuk mengutip semuanya. Dengan itu, saya pelawa sahabat-sahabiah untuk tambah jawapan saya yang sangatlah kurang ini..

ISTERI YANG SOLEHAH

Ada cita-cita untuk menjadi isteri solehah? Anda mesti baca tulisan saya di bawah ni:

Isteri yang solehah, adalah asas yang terpenting sekali daripada asas-asas yang lain. Kegagalan asas ini boleh mengakibatkan asas-asas lain tidak akan benar-benar berfungsi untuk memberi kebahagiaan sebenarnya di dalam kehidupan.

Tanpa wujud isteri yang solehah maka keluarga-keluarga Islam tidak akan dapat diwujudkan. Sedangkan pembinaan dan terbentuknya pergerakan Islam itu bergantung kepada kelahiran keluarga-keluarga Islam ini. Kalau sekiranya pergerakan Islam itu penting untuk membawa dan mempraktikkan Islam maka isteri yang Solehah juga sama pentingnya.

Isteri yang solehah itu sentiasa berjuang bersama-sama suami menyebarkan fikrah Islamiyyah, khususnya kepada kaum sejenisnya. Mendidik dan membimbing mereka sehingga lahir kefahaman dan kesedaran Islam. Sehingga mereka pula mampu untuk menjadi pejuang-pejuang akidah yang bersedia menumpukan taat setia kepada Islam dan pergerakannya.

Keletihan suami setelah melaksanakan tugas harian dan berdakwah disambut dengan wajah yang berseri dengan ucapan kata-kata yang dapat memberi kekuatan jiwa untuk lebih istiqamah, ketika menghadapi masyarakat jahiliyah tanpa mempunyai perasaan bosan dan jemu.

Isteri yang solehah juga, mengizinkan dan merasa bahagia melihat suami menjalankan tugas Islam tidak kira masa dan waktu. Bersedia memberikan rumahnya, hartanya dan masanya untuk tugas yang murni ini dengan hati yang penuh redha.

Selain itu, isteri yang solehah turut sentiasa melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya dengan sebaik-baiknya dan bersedia untuk menghadapi segala ujian-ujian dari Allah SWT.

Isteri yang Soleh mengikut pandangan Islam adalah isteri yang berpengetahuan, berakhlak mulia, tahu melayan suami serta mengasihi dan mendidik anak-anak ke jalan hidup yang dikehendaki oleh Allah dan mengikut landasan yang ditunjuki oleh Rasulullah S.A.W.

Macammana kita nak tahu kita ni isteri solehah ke tidak?

1. Isteri yang soleh itu ialah yang taat kepada Allah dan Rasul dan patuh kepada perintahNya. Sanggup menjaga maruahnya walaupun di tempat-tempat yang sunyi dari pandangan orang lain, juga yang sering mengingati Alah serta takut kepadaNya dengan sebenar-benar takut, tetapi berani di dalam menegakkan Islam.


Firman Allah S.W.T maksudnya:

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang Solehah ialah yang taat kepada Allah iagi memelihara diri di sebalik pembelakangan suaminya oleh kerana Allah telah memelihara (mereka)."
(An-Nisa': 34)

2. Isteri mesti bersyukur akan nikmat yang diberikan oleh Allah kepada suaminya.


3. Isteri mesti taat kepada suaminya.

Maksud sabda Rasulullah S.A.W.

"Kalau boleh aku menyuruh seseorang supaya sujud kepada orang yang lain nescaya aku menyuruh isteri supaya sujud kepada suaminya".

4. Maksud sabda Rasulullah S.A.W.

"Hak suami atas isterinya ialah si isteri tidak meninggalkan tempat tidurnya, hendaklah ia menghargai sumpah suami, hendaklah ia taat kepada suami dan janganlah ia keluar rumahnya melainkan dengan izin dan janganlah ia membenarkan masuk ke rumahnya orang yang tidak disukai oleh suaminya."

5. Isteri mesti menjaga hak dan kehormatan suaminya, samada suaminya ada di rumah atau tidak. Tingkah laku hendaklah disukai oleh suaminya. Ditegah menyembunyikan harta benda suami. Dan ditegah juga berbangga-bangga akan kecantikan dirinya dan pada keluarganya. Jangan pula menghinakan suaminya kerana mempunyai rupa dan wajah yang buruk.

6. Isteri mestilah mendahului hak suaminya daripada hak dirinya sendiri atau kaum kerabatnya, sentiasa menunjukkan hemah yang tinggi, lemah lembut tidak maki hamun, sumpah-seranah, umpat-keji, bantah membantah dan lain-lain.

7. Menunjukkan sikap yang jernih dan kemesraan dan lapang dada serta segala hal yang menyebabkan kesenangan suaminya diwaktu dia ada di rumah. Selalu di dalam setiap tindakan dan keputusan, tingkahlaku budi bicara, tutur bahasa dan makan-minum janganlah terkeluar dari landasan yang digariskan oleh Islam.

8. Maksud sabda Rasulullah SAW:

"Sebaik-baik wanita ialah perempuan yang apabila engkau memandangkan ia menyukakan hati dan apabila engkau tidak ada ia menjaga harta engkau dan memelihara dirinya."

9. Isteri yang Soleh mengikut pandangan Islam adalah isteri yang berpengetahuan, berakhlak mulia, tahu melayan suami serta mengasihi dan mendidik anak-anak ke jalan hidup yang dikehendaki oleh Allah dan mengikut landasan yang ditunjuki oleh Rasulullah S.A.W.


Buat yang bakal mendirikan mahligai rumahtangga, saya hadiahkan kalian dengan 10 Pesanan Imam Al-Ghazali kepada anak perempuannya di hari perkahwinannya. Semoga ada manfaatnya:

Anakku!
Engkau sekarang akan berpindah dari rumah tempat engkau dibesarkan
Dan akan berada di tempat tidur yang tidak engkau kenal,
Dan rakan hidup yang engkau tidak biasa dengannya.

Itulah suamimu;
Jadilah engkau sebagai tanah untuknya dan ia akan menjadi sebagai langitmu.
Jadilah engkau sebagai lantai untuknya dan ia dapat kau jadikan tiangmu.
Jadikanlah dirimu ibarat seorang khadam kepadanya, nescaya dia pula akan menjadi khadam kepadamu.

Jangan engkau memaksa-maksa apabila engkau meminta sesuatu daripadanya
Dengan cara yang demikian akan menjadi ia merasa benci padamu.

Jangan pula engkau menjauhkan diri nescaya ia akan melupakan engkau.
Dan kalau ia pula menjauhkan diri secara marah kerana sesuatu sebab yang tertentu, maka yang eloknya jauhkanlah dirimu dari padanya semasa marah.

Peliharalah hidung, telinga dan matanya Janganlah membiarkan dia menghidu sesuatu daripada mu melainkan yang harum,

Janganlah membiarkan dia mendengar sesuatu daripadamu melainkan yang baik,
Dan janganlah membiarkan dia melihat sesuatu daripada mu melainkan yang cantik belaka.

Ayuh wahai muslimat yang saya sayangi lagi saya cintai kerana Allah taala sekalian…

Marilah kita sama-sama berazam untuk menjadi anak dan isteri yang solehah yang akan menguatkan perjuangan sayap kanan demi Islam tercinta. Janganlah di sebabkan kita seorang lelaki yang pada awalnya seorang pemuda yang soleh menjadi toleh dan futur dari perjuangan Islam kerana kita.

Seperti mana kisah seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama al-Qamah yang oleh kerana terlalu asyik dengan isterinya hingga dia mengabaikan ibunya yang telah tua. Kecik hati ibu, maka tatkala al-Qamah nak meninggal dunia dia tak boleh mengucap, hinggalah bila pekara ini diadukan kepada Rasulullah SAW, nabi SAW bertanya kepada sang ibu dan sang ibu menjawab dia tak rela dengan al-Qamah. Maka, dia susah nak mengucap. Dengan itu, Rasululah SAW mengarahkan orang ramai agar mengumpul kayu untuk membakar al-Qamah. Mendengar berita tersebut, terus sahaja sang Ibu mengampunkan dosanya. Maka dapatlah al-Qamah mengucap dan matilah dia dalam kalimah Allah taala.

Sahabat-sahabat yang saya hormati,

Itu zaman Nabi. Bukan dia sengaja nak jadi tak soleh, tapi pengaruh isteri yang mendorong di jadi macam tu. Macam jugaklah kisah si Tenggang yang jadi batu sebab derhaka kat mak dia. Sebab apa? Isteri juga….

Perkara ini tidak terhenti setakat itu sahaja, kerana tabiat sejarah akan berulang dan terus berulang dan berulang sehingga ke satu waktu yang Allah Taala tetapkan.
Walauapapun syabas dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh muslimat, madam yang telah mendirikan bait muslim juga buat mana-mana mereka yang bakal mendirikan bait quran. Buat k.intan zaujah us Nik Shahir, Diana zaujah us Shukri, Una zaujah us Nizam dan semualah ye termasuk sahabat-sahabat dan teman di Malaysia dan seantero Buana doakan kami mengikut jejak kalin ye? Moga zuriat yang dilahirkan akan menjadi mata rantai penerus perjuangan Rasulullah SAW. Amin..

Sayangilah ibu dan ayah sementara mereka masih ada di dunia ini….lelaki boleh di cari, namun kasih ibu tiada galang ganti…moga kita semua dapat menjadi permata ibu dan ayah, anak yang soleh-solehah

firman Allah taala:

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Alllah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu”(Muhammad :7)

Syekh Abdul Qodir Jailani “Wahai orang muda, janganlah engkau berputus asa daripada Rahmat Allah ‘Azza wa Jall kerana kemaksiatan yang telah engkau lakukan. Bersihkanlah kotoran dari pakaian agamamu dengan air taubat, dengan taubat yang istiqomah dan ikhlas. Kemudian, harumkanlah pakaian agamamu itu dengan (air wangi) ma‘rifah. Berhati-hatilah engkau dengan kedudukanmu sekarang kerana ke arah mana pun engkau toleh, terdapat haiwan-haiwan yang buas sedang berada di sekeliling dirimu, dan pengaruh-pengaruh jahat yang merusak pula sedang bertindak ke atas dirimu. Lepaskanlah dirimu daripadanya dan kembalikanlah hatimu kepada al-Haqq (Allah)‘Azza wa Jalla.”


Tak tahu akhirnya biasa,
Hujung bulan pasti terima,
Jebat dikatakan berjasa,
Tuahlah tetap ternama