Semenjak Dewan Muslimat PAS ditubuhkan pada tahun 1953, seramai 10 orang Muslimat telah dipilih untuk mengetuai saf kepimpinan Dewan tersebut. Mereka ialah:

1953 -Puan Sharifah Rahmah
1956-1960 -Ustazah Siti Zubaidah Hj. Ali Seberang Prai
1958 -Ustazah Zaharah Othman Selangor
1959-1962 -Ustazah Salmah Sheikh Hussin Pulau Pinang
1963-1964 -Ustazah Sakinah Hj Junid Perak
1965-1981 -Puan Sri Sakinah Hj Junid Perak
1981-1983 -Puan Sri Sakinah Hj Junid Perak
1983-1992 -Ustazah Wan Asma' Wan Abdul Kadir Kelantan
1992-2001 -YB. Senator Hajjah Jamilah Ibrahim Kedah
2001- 2003-Ustazah Fatimah Ibrahim Terengganu
2003-2005 -Ustazah Kalthom Othman Kelantan
2005-2007 -Ustazah Azizah Khatib Mat Pahang
2007-Kini -Ustaza Nuridah Mohd Salleh Pahang


SEJARAH PENUBUHAN

Penubuhan Dewan Muslimat PAS dicadangkan oleh Ustaz Zabidi Hj Ali yang ketika itu merupakan Ahli Jawatankuasa Agung PAS, berasal dari Seberang Perai. Cadangan penubuhan dibuat dalam Mesyuarat Agung PAS dan dipersetujui pada 3 April 1952.

Walau bagaimanapun, Dewan Muslimat ditubuhkan secara rasmi pada 3 Januari 1953 serentak dengan penubuhan Dewan Ulama', Dewan Pemuda dan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama di Kepala Batas Seberang Perai. Ketika itu, Dewan Muslimat diterajui oleh Puan Sharifah Rahmah dan ditadbir oleh sebuah Jawatankuasa Dewan Muslimat seramai tujuh orang. Bagi membolehkan Dewan Muslimat bergiat secara sah dan teratur, satu peruntukan di bawah "Aturan dan Peraturan Kecil Dewan Muslimat PAS" dirangka dan disahkan oleh Jawatankuasa Agung PAS.


VISI

"Tertegaknya Daulah Islamiyyah di Malaysia Menerusi Tenaga Muslimat"


MISI

i) Membina masyarakat berakhlak dalam semua bidang kehidupan manusia dan pendokong kepada ajaran Islam sebenar; dan

ii) Melahirkan Muslimat Mujahidah Berilmu, Beriman, Beramal, Bertaqwa berperanan sebagai Da'ei kepada masyarakat.

OBJEKTIF PENUBUHAN DEWAN MUSLIMAT

Berdasarkan cadangan asal penubuhan Dewan Muslimat yang dibuat oleh Ustaz Zabidi Hj Ali, penubuhan ini adalah untuk:

" Mengelola dan memimpin ahli-ahli wanita supaya dapat mengambil bahagian tertentu bersama ahli lelaki PAS bagi mencapai tujuan-tujuan Persatuan Islam SeMalaya (PAS) dan berusaha meninggikan taraf kehormatan serta memelihara maruah kaum wanita. Di samping, berikhtiar menjayakan rancangan-rancangan kebajikan, pelajaran, didikan, kebersihan, kesihatan dan iktisad."

Naskhah asal Peraturan Dewan Muslimat yang telah disahkan oleh Setiausaha Agung PAS pada tahun 1966 bersamaan 1386 H menggariskan bahawa tujuan penubuhan Dewan Muslimat adalah:

i) Menyatupadukan wanita-wanita Islam ke arah pembentukan perjuangan yang diredhai oleh Allah dan Rasulnya;

ii) Menanam dan menghidupkan jiwa dan semangat keIslaman sebenar agar segenap ajaran dan petunjuk Islam menjadi amalan dalam penghidupan wanita seharian;

iii) Berusaha memperbaiki nasib dan darjat penghidupan wanita-wanita Islam; dan

iv) Bekerjasama dengan ahli-ahli PAS lain untuk melaksanakan segala cita-cita dan tujuan PAS.


Pindaan Perlembagaan PAS pada tahun 1973 menyaksikan bagaimana segala urusan Dewan Muslimat telah disatukan dalam Perlembagaan PAS. Justeru itu juga maka objektif kewujudan Dewan Muslimat turut dipinda menjadi tugas-tugas am yang disebutkan dalam Fasal 28 ceraian 3, pecahan ke (7). Fasal tersebut menyatakan bahawa tujuan Dewan Muslimat ialah:

"Untuk menyatukan tenaga Muslimat-Muslimat dalam negara ini bagi meluaskan pengaruh PAS di kalangan wanita-wanita Islam melalui kegiatan-kegiatan Muslimat sambil membentuk keperibadian mereka supaya menjadi Muslimat yang bertanggungjawab kepada agama dan negara serta meyakinkan mereka kepada cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS."

dipetik dari:
http://muslimat.pas.org