KEMENANGAN KJ
"Khairy ada aura Anwar". demikian tajuk yang menjadi pilihan msomelayu.com.

KEMENANGAN Khairy Jamaluddin sebagai ketua pemuda Umno yang baru tepat dan sekaligus menunjukkan kebijaksanaan perwakilan pemuda membuat pilihan mereka. Kemenangan Khairy menjelaskan pemuda memilih mengikut citarasa mereka dan tidak terikat dengan kebendaan. Mereka tahu memilih antara intan dengan kaca.

Ada beberapa perkara menarik tentang Khairy yang meletakkan kemenangan baginya.

* Ada keberanian dan bersikap terbuka dan melatari suasana semasa.

* Gigih, tabah menghadapi kecaman ke atasnya terutamanya oleh Dr Mahathir Mohamad.

* Mempunyai keyakinan diri yang kuat dan sanggup menerjah sesiapa saja dengan pandangan dan akalnya sendiri.

* Dia juga lebih rapat dan mesra dengan pemuda.

* Perwatakannya menampakkan kepemudaan berbanding dengan dua calon lain.

* Mendapat simpati apabila beliau dikacau oleh Lembaga Disiplin.

* Kerana langsung tidak didokong oleh bapa mertuanya, Abdullah Badawi.
di petik dari msomelayu.com.

Saya bersetuju dengan apa yang dilontarkan oleh msomelayu di atas. Saya juga berasa amat tercabar dengan keterampilan KJ. Bagaimana dengan 'rijal' dan nisa' kita di luar sana? Adakah masih senang berpeluk tubuh, sekadar bekerja makan gaji, kemudian pulang ke rumah bertemu anak isteri, hidupnya hanya untuk makan tidur dan berlibur, bercerita tentang artis itu dan ini dengan gosip yang tidak habis-habis, masih bertelingkah sesama sendiri itu ini bid'ah, jamaah aku lah yang terbaik sedang yang lain semuanya salah. Adakah aku juga tersenarai dalam kelompok ini?

Alangkah sadisnya kita andai di saat bumi waqafan ini ketandusan susuk pimpinan yang berminda negarawan sedang kita masih asyik dan mahsyuk dalam dunia sendiri.


MUSLIMAT JUGA PERLU BERPERANAN.


Biarpun KJ seorang lelaki, tetapi muslimat juga perlu berperanan.

Jika KJ dilihat sebagai political will yang akan cuba memperbaiki dirinya, mempamirkan kepimpinannya dan paling bahaya ialah idea geliga yang cukup mencabar oposisi, maka muslimat juga perlu berminda politik negarawan.

Kita tidak boleh hanya terlalu berharap kepada tubuh kecil nurul izzah seorang kerana dunia memerlukan pemimpin pelapis akan datang.

Apa yang perlu kita lakukan? Bagi mereka yang masih di alam kampus, libatkan diri untuk turut serta dalam aktiviti persatuan yang ada. Buangkan selimut yang membaluti minda 'pedulikan apa yang berlaku, yang penting assigment aku siap dan aku lulus peksa'. Jika itu adalah kita, maka berubahlah! usah kita menjadi seperti Dinasour yang pupus dek kerana tidak mampu menyesuaikan dengan iklim dunia.

Muslimat era ini perlu berperanan dalam melengkapkan diri dengan sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dan thaqafah. Bagi yang telah mempunyai anak, mereka perlu bersungguh-sungguh memjadikan rumah yang didiami menjadi 'kilang' yang mampu menghasilkan 'produk' yang berkualiti tinggi. Bagi yang belum berkahwin usah berduka lara, kerana inilah masanya untuk kita mempersiapkan diri sebagaimana bonda Hujjatul Islam menyiapkan diri berpuluh tahun lamanya sebelum kelahiran beliau.

Mereka yang bergelar suami juga tidak kurang penting. Jika dahulu, hanya ibu kita sahaja yang menjaga kita, sedang ayah keluar bekerja. Maka suami yang mempunyai 'serikandi' abad ini perlu belajar untuk bersama-sama menguruskan dan menyiapkan kelengkapan anak, mengemas, memasak dan lain-lain kerana muslimat juga perlu turun untuk 'merawat' ummah yang kronik, kerana wanita lebih memahami wanita.

Membaca artikel-artikel berkenaan 'pemikiran' yang ditulis oleh PROF. DR. Sidek Baba dari laman Prof.Dr. Sidek Baba, saya menyimpulkan bahawa Muslimat hari ini bukan sahaja semata-mata perlu senantiasa mengasah minda agar tajam dan 'mekar' daya fikirnya tetapi juga perlu berfikir secara lebih; QURANI, IKUT SUNNAH, ISLAMI, TADABBUR, PROAKTIF, ANALITIKAL, HOLISTIK, KREATIF, LOGIKAL, REFLEKTIF,STRATEGIK, SAINTIFIK QURANI
(Kupasan lanjut idea pemikiran blh di rujuk ke laman web drsidekbaba.blogspot.com)


Ayuh muslimat kita gilapkan diri. Yakinlah setiap kita di anugerahkan Allah Taala punya kelebihan dan kekuatan yang lebih besar dan hebat dari yang kita sangkakan. Usah biarkan bakat itu terpendam dan terbenam, kerana bakat itu ibarat benih. Benih yang baik dan berkualiti apabila disemai dan ditanam di tanah yang subur dan dijaga dengan baik, ia akan tumbuh, membiak dan menghasilkan bunga dan buah yang berkualiti dan memberi guna kepada orang lain.

Allah Taala tidak kurniakan kita dengan bakat yang sama, kecenderungan yang serupa dan minat yang sealiran. Kerana itu, bakat yang ada pada kita semua harus dikenalpasti.

Tidak memadai jika bakat yang ada hanya untuk memacu diri ke arah kejayaan dan tidak cukup untuk mencapai sesuatu cita-cita. Ia perlu disertai dengan minat, lantas menjadi simbiosis atau gandingan yang penting agar cita-cita ke arah kecemerlangan dapat disempurnakan.

Bakat ibarat sumber, minat ibarat bahan bakar. Menyalanya lampu atau pelita kerana ia ada sumber iaitu minyak. Terangnya cahaya bakaran hasil adanya sumbu atau lampu. Apabila cahaya menerangi sekitar sifat bakat dan ilmu adalah memberi guna kepada yang lain. PROF.DR. SIDEK BABA.

Jika manusia seperti Ibn Sina punya kekuatan bakat sebagai pakar perubatan, Ibn Nafis sebagai pakar bahasa dan ilmu perputaran darah, al-Khawarizmi pakar matematik, Al-Zahrawi pakar bedah, Ibn Haitam pakar Mata dan ramai lagi yang di disebabkan oleh keyakinan mereka menguasai ilmu pelbagai dimensi dan multi-disiplin, maka bagaimana dengan kita? Adakah kita telah kenal bakat diri kita?