Dalam meraikan kemenangan barisan pembangkang, khususnya kejayaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam pilihan raya umum ke-12 ini, wajar dihargai pejuang-pejuang parti yang telah meninggalkan kita.

Antaranya Allahyarham Fadzil Nor, Yusof Rawa dan aktivis-aktivis lain yang juga banyak telah berjasa kepada parti. Termasuklah mereka yang pernah menjadi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri, atau mempertahankan diri daripada ditahan ISA hingga terkorban seperti yang berlaku dalam peristiwa Memali.

Tentunya dalam meraikan kejayaan PAS yang tidak disangka-sangka di Kedah, pendokong parti juga wajar memperingati kesusahan yang dihadapi oleh terdahulu pada zaman mereka ditekan dan dihalang untuk menyebarkan risalah perjuangan. Ustaz Fadzil berasal dari Kedah. Sementara Baling bersejarah juga di Kedah. Kali ini Baling kembali ke pangkuan PAS setelah terlepas selama sepenggal.
Pilihan raya 2008, PAS bukan saja menguasai Kelantan dan Kedah tetapi menyumbang kepada kemenangan dan penubuhan kerajaan-kerajaan pembangkang di Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Undi rakyat kepada PAS dalam pilihan raya ini bukan saja membawa kepada penubuhan kerajaan yang diterajui PAS di Kelantan dan Kedah tetapi juga pemerintahan barisan pembangkang di Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Undi untuk PAS turut membantu Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan). Begitu juga, undi untuk DAP dan KeADILan adalah juga dimanfaatkan oleh PAS.

Sesungguhnya kejayaan pembangkang dalam pilihan raya 2008 bukan saja untuk PAS, DAP dan KeADILan tetapi adalah lebih berbentuk gabungan iaitu PAS-DAP-KeADILan. Maka sewajarnya ketiga-tiga parti ini bekerjasama dengan baik dan mencari jalan persefahaman demi kebaikan negara, rakyat dan kebenaran.

Bukan saja di negeri-negeri pembangkang, kerjasama antara ketiga-tiga parti itu juga diserahkan di lain-lain tempat yang mana tidak ada kerajaan pembangkang yang ditubuhkan. Umpamanya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan yang dimenangi pembangkang.

Tambahan pula, semua undi untuk pembangkang walaupun tidak membawa kejayaan bagi calon pembangkang di banyak tempat yang dimenangi BN wajar juga dihargai. Setiap undi untuk pembangkang adalah untuk ketiga-tiga parti PAS, DAP dan KeADILan. Bila menganalisis pilihan raya ini, fokus adalah kepada Semananjung Malaysia kerana Sabah dan Sarawak mempunyai dinamika sendiri yang berbeza. Tetapi hakikatnya juga, undi yang diterima pembangkang bukan saja kepada tiga parti itu. Apabila rakyat menolak BN, mereka tidak mengira parti pembangkang yang mana, malah calon Bebas turut mewakili pembangkang dalam gelombang anti-BN ini.

Umpamanya, Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang bertanding di Johor dan gagal memenangi sebanar kerusi adalah juga mewakili pembangkang. Undi yang mereka terima juga sebenarnya adalah bagi pihak PAS, DAP dan KeADILan. Sementara di bawah lambang KeADILan, terdapat calon yang bukan ahli KeADILan. Calon-calon dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Demokratik Malaysia (MDP) yang menang di bawah lambang PKR bukan ahli parti itu.

Begitu juga dengan seorang calon PAS di Johor yang bukan ahli PAS tetapi bertanding atas lambang KeADILan. Kejayaan barisan pembangkang dalam pilihan raya umum kali ini tidak datang dengan sekelip mata, walaupun ia tidak dijangkakan. Boleh dikatakan bahawa kejayaan hari ini bermula dengan PAS mengalami perubahan besar pada tahun 1982 apabila ia mengisytiharkan dirinya sebagai mengikut Kepimpinan Ulama yang dipengaruhi dengan perkembangan Revolusi Islam Iran pada tahun 1979.

Anak-anak muda di universiti terpengaruh dengan revolusi itu dan menggerakkan suatu kebangkitan Islam. Ketika PAS dalam BN, anak-anak muda ini lebih selesa berada dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di bawah pimpinan Anwar Ibrahim dan Fadzil Nor.

Sekumpulan anak muda radikal Islam Melayu yang belajar di Britain telah menubuhkan Suara Islam. Antaranya ialah Khalid Samad, yang dalam pilihan raya umum ini, buat pertama kalinya memenangi kerusi Parlimen, iaitu di Shah Alam, ibu negeri Selangor, negeri yang kini dikuasai pembangkang.

Sekembalinya ke tanahair, mereka menubuhkan Parti Negara Islam Malaysia (PNIM) tetapi ditolak pendaftarannya. Mereka bertanding dalam pilihan raya 1982 sebagai calon bebas, tentunya kecundang. Dalam pilihan raya itu, PAS yang sudah keluar BN kalah teruk, menang hanya beberapa kerusi di Kelantan dan Kedah.

Ketika PAS berada di luar BN, sementara ABIM dan Anwar mendokong Umno, banyaklah anak muda radikal menyertai PAS, termasuk dari kalangan bekas PNIM ini. Bersama dengan Fadzil Nor dan Abdul Hadi Awang, mereka semua telah menyingkirkan Dato' Asri Muda untuk mewujudkankan PAS di bawah kepimpinan ulama. Nik Aziz Nik Mat dan Mustafa Ali menyokong perubahan baru ini. Asri keluar PAS dan menubuhkan Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM). Pada masa itu semua ahli Parlimen PAS yang jumlahnya sedikit turut menyertai Asri, yang tinggal hanyalah Nik Aziz yang menjadi ahli Parlimen PAS tunggal, iaitu bagi kawasan Pengkalan Chepa. HAMIM kemudian menyertai BN.

Di bawah pimpinan Yusof Rawa, era kepimpinan ulama telah menaikkan semangat ahli-ahli PAS yang mendapat dokongan dari[pada aktivis-aktivis muda. Dalam pilihan raya umum 1986, PAS berusaha untuk menang pilihan raya dan berjaya meletakkan banyak calon di seluruh Semenanjung Malaysia, sesuatu yang belum berlaku sebelum ini.

Daripada gerakan ceramah di seluruh negara dengan Ustaz Abdul Hadi muncul sebagai tokoh radikal popular, PAS berasa yakin untuk menang, malah menubuhkan kerajaan. Memahami realiti masyarakat majmuk, PAS mewujudkan Majlis Perundingan Cina (CCC) di mana kawasan paling aktifnya ialah di Lembah Kinta, Perak.

CCC kemudian dikenali sebagai Majlis Perundingan Komuniti untuk merangkumi semua kaum bukan Islam. Bukan itu saja, PAS menubuhkan Harakah Keadilan Rakyat (HAK) atau diterjemahkan menjadi Gerakan Keadilan Rakyat merangkumi semua parti pembangkang di Semenanjung Malaysia. Selain PAS, anggotanya ialah Parti Nasionalis Malaysia (Nasma) yang diketuai oleh seorang bekas UMNO, Parti Demokratik Sepakat (SDP), sebelumnya ialah Parti Demokratik Sosialis yang dianggotai oleh bekas pemimpin DAP dan Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM), kemudian ditukar semula namanya kepada Parti Rakyat Malaysia.

Pada mulanya DAP bersedia untuk menyertai HAK, tetapi kemudian menarik diri kerana bimbang kesan politik akiibat dikaitkan dengan PAS. Hak kecundang dan PAS kalah teruk, hanya mampu menang Pengkalan Chepa tetapi siapa sangka 22 tahun kemudian, Harakah menjadi nama akhbar PAS sementara Keadilan Rakyat sudah menjadi nama parti yang dipimpin oleh Anwar dan merupakan gabungan Parti Keadilan Nasional (Keadilan).

Walaupun PAS kalah teruk, ia memberi pengajaran besar kepada PAS dan sebenarnya daripada himpunan pengalaman ini, ia mendatangkan hasil yang berlaku dalam pilihan raya umum ke-12 ini. Selepas kekalahan 1986, timbul kesedaran mengenai kepentingan media yang membawa kepada penerbitan akhbar Harakah pada tahun 1987.

Daripada pengajaran itu, PAS bersedia untuk bekerjasaama dengan parti-parti pembangkang lain pada tahun 1990 apabila ia terbabit dengan Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan). Gabungan ini terdiri daripada PAS, Semangat 46 (S46), HAMIM, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA).

Sementara S46 pula menganggotai Gagasan Rakyat (GR) yang terdiri daripada DAP, PRM, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Barisan Progresif India (IPF).

Angkatan dan GR pimpinan Tengku Razaleigh hampir memenangi pilihan raya dan menubuhkan kerajaan. Tetapi hasilnya ialah Angkatan hanya mampu menang Kelantan, dalam bentuk menguasai semua kerusi. Banyak pengajaran yang datang daripada peristiwa ini. Kini S46 yang bertukar nama menjadi Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) telahpun dibubarkan apabila pemimpinnya bergabung ke dalam Umno. PBS dalam BN dan KIMMA serta IPF menyokong BN.

Dalam pilihan raya umum 1995, Angkatan hanya tinggal PAS, PMS46, HAMIM dan Berjasa. GR tinggal DAP, PRM dan PSM46. Keputusannya, kerusi barisan ini merosot walaupun Kelantan dapat dipertahankan.

Bagaimanapun, pada tahun 1999, muncul Keadilan yang bersama PAS, PRM dan DAP menubuhkan Barisan Alternatif (BA). Walaupun BA dapat menawan Terengganu dan mempertahankan Kelantan, tetapi DAP mengalami kekalahan teruk hingga serik untuk berada bersama PAS. DAP keluar daripada BA.

Maka dalam pilihan raya tahun 2004, BA hanya dianggotai oleh PAS, Keadilan dan PRM. DAP bertanding sendiri. Mereka dapat kembali menguasai kawasan tradisi mereka tetapi PAS kelah teruk di Terengganu.

Semua ini menjadi pelajaran berharga bagi PAS, dan perjalanan dari tahun 1986 hingga 2008 amat jauh. Bila berdepan dengan pilihan raya ke-12, PAS tidak mengharapkan yang banyak. Mereka hanya mahu mempertahankan Kelantan dan menambah kerusi di Terengganu.

Jadi apabila PAS dapat menguasai Kedah dan menyumbang kepada kekuatan pembangkang di Pulau Pinang, Perak dan Selangor, maka ia merupakan hasil pelajaran yang panjang. Tahniah kepada lima negeri: Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor. Tahniah kepada lima parti: PAS, KeADILAN, DAP, MDP dan PSM.

sumber:
HarakahDaily.Net