Saudara-saudariku di dalam Islam:

Semenjak kita berada di pusat asuhan kanak-kanak sehingga menjejakkan kaki ke menara gading, kita sentiasa di suntik dengan racun-racun yang berbisa oleh musuh-musuh Islam samada dari dalam atau luar negeri. Kita sentiasa didedahkan dengan perlakuan Barat dan kita digalakkan supaya bergerak bersama arus kebaratan yang
telah merosakkan akidah dan juga akhlak perlakuan umat Islam. Kita sentiasa disuapkan dengan dasar-dasar pelajaran, ideologi-ideologi dan juga kemajuan yang
sedang dinikmati oleh Barat .

Tidak hairanlah wahai saudara-saudariku, jika kita lihat sebahagian besar daripada lapisan para pemuda dan pemudi terjunam ke lembah kerosakan dan ketandusan akhlak yang mulia, selain daripada kekontangan akidah Islam yang menjamin kebahagian di dunia dan akhirat. Mereka lari daripada cara hidup Islam. Bahkan yang lebih menyedihkan lagi, mereka mengeji dan memperolok-olokkan cara hidup Islam dan orang yang beramal dengannya.

Kita tidak menyalahkan nereka seratus-peratus. Ini adalah kerana kadang-kadang mereka yang rosak itu disebabkan ketiadaan orang yang membimbing mereka ke jalan Islam yang sebenar. Mereka hanya mengenali Islam ketika di bilik-bilik darjah semasa di alam persekolahan dahulu.

Untuk itu, ayuh kita pasakkan thabat mendepani sejuta ribut dan kabut, mehnah dan tribulasi yang mendatang dalam pelayaran menjejak denai pecinta islam yang pastinya bukan sedikit dan tidak mudah, tetapi indah dan tersusun pelaksanaannya andai ia dilaksanakan secara berjemaah.

Mari bersama kita bergandingan membina keperibadian Islam dan mewujudkan sebuah masyarakat Islam serta mencapai cita-cita menegakkan sebuah negara yang mengibarkan bendera Islam dan melaungkan slogan jihad demi membebaskan manusia daripada kepekatan alam jahiliah kepada kejernihan alam Islami yang agung.